Pages

Thursday, February 16, 2017

Sinopsis Filem Nasib

RUNME SHAW Menghidangkan SIPUT SARAWAK Dan S.ROOMAI NOOR Di Dalam NASIB Penggambar CHOW CHENG KOK Penolongnya CHAN CHIEW FOONG Pengarang Lagu-Lagu Dan Pancharagam OSMAN AHMAD Pelakon PUTERI ROHANA Siput Sarawak KASSIM Roomai Noor KALAM  Haji Gong PENGHULU LANUN Jaafar Wiryo PUTEH D.Harris BAKI P.RAMLEE ZAINAB Tina DELIMA Normala DAYANG Panna DAYANG Zainab DAYANG Junaidah DAYANG Junainah PENGARAH B.S RAJHANS

Tahun Diedarkan: 1949 (Julai)
Masa Tayangan: 1 Jam 48 Minit (Lebih Kurang)

RINGKASAN CERITA


Kassim, tidak disukai abangnya (Kalam), kerana menganggapnya cuai dan tidak menjaga kerbau-kerbaunya dengan baik. Atas hasutan isterinya (Zainab) yang memfitnah Kassim mahu merampas harta pusaka bapa mereka, kalam telah menghalau Kassim dari rumahnya. Setelah dihalau, Kassim bersama dua orang kawannya (Puteh dan Baki) membuat kerja menangkap ikan di laut tetapi malangnya perahu yang mereka gunakan bocor dan tenggelam. Berikutan itu mereka terdampar di sebuah pulau. Di pulau tersebut Kassim, Puteh dan Baki membuat kerja memotong kayu dan ketika memotong kayu mereka terserempak dengan sekumpulan lanun sedang membawa barangan rompakan ke sebuah gua. Puteh dan Baki enggan bersama Kassim pergi ke gua untuk melihat apa yang dibuat kumpulan lanun tersebut. Kassim pergi bersendirian saja.

Bila berada berhampiran gua fahamlah Kassim kumpulan lanun itu menjadikan gua tersebut sebagai tempat menyembunyikan harta-harta yang mereka rompak. Dan apabila perompak-perompak itu meninggalkan gua tersebut, Kassim mengambil sedikit dari harta rompakan itu. Dengan itu, Kassim menjadi saudagar besar dan orang kaya. Harta-harta itu juga dikongsinya bersama dengan Puteh dan Baki. Ketika berada di Pasar Harian, Kassim telah dapat menatap wajah Puteri Rohana dan serta merta dia terpikat. Zainab yang telah mengetahui yang Kassim sudah menjadi kaya dan memiliki sebuah rumah besar telah memberitahu keadaan tersebut kepada suaminya (Kalam), dan dia mahu Kalam membuat siasatan. Kalam kemudian pergi menemui Kassim dan telah disambut baik oleh Kassim. Melalui Kassim yang jujur itu tahulah Kalam bagaimana Kassim memperolehi kekayaan dan kerana ketamakan dan kebakhilannya itu, dia pergi ke gua lanun itu untuk mengambil harta-harta yang ada di situ. Tetapi malangnya Kalam telah dibunuh.

Oleh kerana Kalam tidak pulang-pulang yang membuatkan Zainab risau, Kassim bersama Puteh dan Baki pergi mencarinya di gua. Dan di sana mereka dapati Kalam telah dibunuh kumpulan lanun tersebut. Mayat Kalam pun dibawa pulang untuk dikebumikan. Oleh kerana sudah terpikat dengan Puteri Rohana, Kassim pergi ke taman larangan istana untuk menemui Puteri Rohana dan ketika berada di taman tersebut, Kassim telah menyelamatkan Puteri Rohana apabila Kassim menyambut puteri tersebut yang hampir jatuh dari pokok. Dengan pertolongan itu Puteri Rohana terpikat pula dengan Kassim. Di gua, Penghulu Lanun naik berang apabila didapatinya banyak harta rompakannya diambil. Dia menyuruh orang-orangnya mencari orang yang mengambilnya. Apabila gagal, dia sendiri dengan beberapa orangnya menyamar untuk mencari pengambil hartanya iaitu Kassim. Melalui Zainab tahulah Penghulu Lanun itu sioapa yang mengambil harta-harta rompakannya.

Oleh kerana berhasrat untuk menghapuskan Kumpulan Lanun itu, Kassim serta Puteh dan Baki pergi menghadap Baginda Sultan iaitu ayahanda Puteri Rohana. Kassim meminta pertolongan dengan menyediakan tentera untuk memusnahkan kumpulan lanun tersebut. Penghulu Lanun sudah memastikan siapa yang mengambil harta rompakannya dan bercadang membuat serangan ke rumah Kassim. Tetapi belum pun sempat dia berbuat demikian, gua tempat kumpulan lanun bersembunyi telah diserang oleh tentera yang diketuai oleh Kassim. Kumpulan lanun tewas, manakala Penghulu Lanun telah ditangkap. Dengan kejayaan tersebut, Baginda Sultan telah melantik Kassim sebagai Panglima Agung Tentera. Dan dengan itu, Kassim lebih mudah merapati Puteri Rohana.

Dalam pada itu, Penghulu Lanun yang dipenjara untuk menunggu hari perggantungannya berjaya melepaskan diri dengan pertolongan orang-orangnya lalu turut membawa lari Puteri Rohana di samping dia mahu menjadikan puteri tersebut sebagai isterinya. Kassim cuba mengesan ke mana Penghulu Lanun membawa lari Puteri Rohana, sementara Puteh dan Baki menyusul mengetuai tentera Sultan. Kassim berjaya mencari tempat persembunyian Penghulu Lanun dan orang-orangnya. Tetapi dalam pertarungannya dengan Penghulu Lanun, Kassim tewas. Kassim telah dihukum bunuh dengan cara membakarnya di hadapan Puteri Rohana yang bakal berkahwin dengan Penghulu Lanun itu. Bagaimanapun, tentera Sultan datang tepat pada masanya dan berjaya menyelamatkan Kassim beserta Puteri Rohana, manakala semua lanun telah ditangkap. Berikutan itu, Panglim Agung Tentera telah ditunangkan dengan Puteri Rohana dan Baginda Sultan pula telah menyatakan hasratnya untuk menunaikan Haji ke Mekah. Baginda Sultan kemudian menyerahkan kuasa pemerintahan kepada Puteri Rohana bersama Panglima Agung Tentera yang kini bergelar Datuk Kassim.

P. RAMLEE SEBAGAI PELAKON

P.RAMLEE dalam filem ini masih belum mendapat keyakinan B.S.Rajhans untuk memegang peranan utama, malah diserahkannya peranan pelawak sekali lagi berpasangan dengan D.Harris seperti juga "Noor Asmara". Dalam filem ini, B.S.Rajhans masih mengutamakan peranan penting (hero) kepada S. Roomai Noor. Ini dilakukannya kerana dia mahu mengekalkan supaya setiap filem yang diarahkannya terjamin mendapat sambutan hangat dan membuat kutipan pendapatan seberapa banyak yang mungkin. Bagi menguatkan kehebatan filem ini sekali lagi B.S.Rajhans menggandingkan S.Roomai Noor dengan Siput Sarawak yang sebelumnya berpasangan dalam "Chinta". Sebagaimana "Chinta" dan "Noor Asmara", di samping berlakon P.RAMLEE juga menjadi 'continuity' (penjaga sambungan" dan menjadi 'play back singer' yang digunakan oleh S.Roomai Noor.

ULASAN & KRITIKAN

Bila diteliti jalan ceritanya ternyata filem ini dipadankan kisah "1001 Malam" ("Arabian Nights") yang termasyur itu yang pernah difilemkan dalam tahun 1944 bertajuk "Ali Baba And he Forty Thieves" dan diarahkan oleh Arthur Lubin dengan bintang utamanya Maria Montez dan John Hall. Begitu pun juga, filem arahan arthur Lubin itu tidak mengikuti versi "!001 Malam" sebenarnya yang mana Ali baba termasyuk di kalangan 40 penyamun bukannya diluar 40 orang penyamun. Bagaimanapun kemungkinan juga B.S.Rajhans mengambil versinya dari filem Hindi atau pun Tamil dengan memberi banyak perubahan serta menyesuaikan keadaan dan kehidupan masyarakat di alam kepulauan Melayu.

Cerita memang sudah tidak asing lagi, dan menarik. Tetapi peranan utama diambil oleh lagu-lagu merdu yang boleh dikatakan kesemuanya menarik belaka lebih-lebih lagi yang mendendangkannya P.RAMLEE, Nona Asiah dan Momo. Pasangan Siput Sarawak dan S. Roomai Noor merupakan satu lagi kekuatannya yang pada ketika itu cukup popular dan diminati ramai lebih-lebih lagi kecantikan dan kejelitaan Siput Sarawak. Begitu pun juga, dari segi lakonan hanya D. Harris yang mencuit hati, yang lainnya hanya D. Harris yang mencuit hati, yang lainnya hanya sederhana saja. P.RAMLEE masih banyak kelemahannya dan lawaknya nampak sangat dibuat-buat dan tidak setanding dengan kelucuan D.Harris. Apa pun pada keseluruhannya filem ini sangat menghiburkan.

IRAMA & LAGU

11 lagu terkandung dalam filem ini yang boleh dikatakan menarik belaka. Antaranya:

  1. Nasib (P.RAMLEE, S. Roomai Noor & D.Harris)
  2. Raja-Raja Taklokkan Daratan (Tangkap Ikan) (P.RAMLEE, S. Roomai Noor & D.Harris)
  3. Lanun (Semua Ini Kekayaan Kita) (Jaafar Wiryo)
  4. Gadis Rupawan (Nona Asiah & Momo)
  5. Awas-Awas Jangan Tertawan (P.RAMLEE, S. Roomai Noor & D. Harris)
  6. Udara Nyaman (P.RAMLEE, S. Roomai Noor, D. Harris, Nona Asiah & Momo)
  7. Adam Dan Hawa (Nona Asiah & Momo)
  8. Oh! Bulan (P.RAMLEE & Nona Asiah)
  9. Asmara Bergelora (P.RAMLEE & Nona Asiah)
          Ciptaan & gubahan: Osman Ahmad
          Lirik: S.Sudarmaji
          Muzik Iringan: Pancaragam pimpinan Osman Ahmad

  • Difahamkan, S. Roomai Noor menggunakan suara P.RAMLEE manakala P.RAMLEE pula menggunakan suara S. Roomai Noor.
  • Boleh dikatakan kesemua lagu-lagu tersebut dirakamkan ke piring hitam tanpa suara S. Roomai Noor dan D.Harris.
  • Antara yang paling popular Udara Nyaman (P.RAMLEE & Nona Asiah), Oh! Bulan (P.RAML:EE & Nona Asiah) dan Asmara Bergelora (P.RAMLEE & Nona Asiah).
  • Awas-Awas Jangan Tertawan dipiringhitam nyanyian P.RAMLEE, Nona Asiah & Momo.
FAKTA & ANGKA

  • Filem ketiga P.RAMLEE selepas "Chinta" dan "Noor Asmara"
  • Filem kedua S. Roomai Noor bergandingan dengan Siput Sarawak sebagai hero dan heroin selepas "Chinta"
  • Agak menarik, dalam filem ini terdapat adegan S. Roomai Noor cuba dibakar hidup-hidup atas arahan Jaffar Wiryo (ketua penyamun) dengan diiringi tarian yang dikepalai Dollah Sarawak. Adegan yang serupa diulang L.Krishnan dalam "Virgin Of Borneo" ("Chinta Gadis Rimba" - 1958) di mana S. Roomai Noor sekali lagi cuba dibakar hidup-hidup tetapi kali ini atas arahan Dollah Sarawak yang menjadi ketua.
  • Filem ini turut dihantar ke London menyertai Festival Filem yang dianjurkan British Film Institute (BFI) pada 1950 bersama "Rachun Dunia" 
OSMAN AHMAD

Osman Ahmad berasal dari golongan kurang berada di Arab Street, Singapura. Alat muzik awal dimainkannya serunai buluh dan gitar kadbod yang dibuatnya sendiri. Kerana kesempitan hidup dan sudah pula bergelar ayah, Osman Ahmad terpaksa bermain muzik di sebelah malam disamping menjalankan kerja biasa di siang hari. Dalam masa yang sama dia juga cuba menubuhkan kumpulan bangsawannya sendiri (Madam Bangsawan) tetapi kemudian terpaksa dibubarkan kerana kekurangan ahli.

Selepas Perang Dunia Kedua tamat, filem menguasai opera bangsawan. Disebabkan kepesatan dan filem-filem Melayu mulai mendapat sambutan Osman Ahmad telah ditawarkan menyertai MFP Studio di mana dia telah berganding rapat dengan Yusoff B., Ahmad Jaafar dan P.RAMLEE. Filem pertama, Osman Ahmad diberi kepercayaan mencipta dan menggubah lagu-lagu ialah "Nasib", kemudian disusuli antaranya lakonan P.RAMLEE seperti "Nilam", "Bakti", "Takdir Ilahi" dan "Aloha". Osman Ahmad telah menghasilkan beratus-ratus lagu ettapi cuma 36 saja yang tercatat di bawah namanya. Antaranya yang telah dirakamkan ke piring hitam dan kemudian menjadi popular Alam Di Tiup Bayu, Oh! Bulan, Asmara Bergelora, Hidup Berdua, Merpati Dua Sejoli, Taman Puspawarna, Penawar Hati dan Tasik Madu. Osman Ahmad meninggal dunia pada 30 November 1964.


SUMBER: FILEM-FILEM P RAMLEE

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078