Pages

Thursday, February 16, 2017

Sinopsis Filem Hujan Panas

RINGKASAN CERITA

Ameer (pelayan bar) bekerja di sebuah restoran kepunyaan Tuan Rahim. Dia berhasrat menjadi penggubah lagu. Dia telah menggubah sebuah lagu untuk dinyanyikan oleh penyanyi di restoran tersebut (Aminah) yang dicintainya. Tetapi Aminah dengan sombong menolak permintaan Ameer kerana menganggap Ameer tidak setaraf dengannya. Kata Aminah, taraf Ameer terletak di bawah kakinya sahaja. Sementara itu, Ameer dicintai oleh Hasnah yang turut bekerja sebagai juruwang di restoran tersebut tetapi kerana dia tahu Ameer sangat-sangat mencintai Aminah terpaksalah perasaan cintanya kepada Ameer dipendamkan begitu sahaja. Walaupun dipujuk dan dirayu supaya Aminah menyanyikan lagu ciptaannya (Merak Kayangan), namun kerana sikap sombongnya Aminah itu dia terus menerus menolak. Oleh yang demikian apabila tuan punya opera (Zakaria) datang berkunjung ke restoran tersebut, Ameer terpaksa menyanyikan sendiri lagu ciptaannya itu setelah dipujuk dan menerima nasihat Hasnah.    

Lagu nyanyian Ameer berjaya memikat hati Zakaria lalu dia menawarkan Ameer untuk bekerja di tempatnya. Ameer menerimanya dan kerana mula menjadi terkenal sikap Aminah terhadap Ameer berubah malah sanggup pula menjadi isteri Ameer. Oleh kerana bakatnya dalam seni begitu menonjol akhirnya Ameer dan Aminah hidup dalam kemewahan. Tidak lama kemudian, Aminah pun melahirkan anak lelaki (Nana). Bagaimanapun krisis rumah tangga Ameer dan Aminah mula terjadi apabila Aminah membuat perhubungan sulit dengan teman baik Aminah, Hassan yang sememangnya berhasrat memikat Aminah hanya untuk mengikis hartanya bersama Ameer. Kerana terpengaruh dengan pujukan Hassan, akhirnya Aminah meninggalkan Ameer dan anaknya. Disebabkan kehilangan Aminah, Ameer sangat berdukacita dan keadaan hidupnya sudah tidak tenteram. Hasnah, kerana cintanya terhadap Ameer, memujuk Ameer bekerja semula di restoran di mana pada mulanya dia bekerja sebagai pelayan bar.

Sementara itu, perhubungan Aminah dan Hassan mulai retak. Hassan mengabaikan Aminah disebabkan Aminah sudah kehabisan wang dan harta. Apabila sudah menyedari Hassan tidak jujur dengannya dan keadaannya pula sudah tidak terurus, Aminah cuba mendapatkan pekerjaan lamanya sebagai penyanyi di restoran Tuan Rahim tetapi tidak diterima kerana semua orang tahu tentang perangai buruknya. Dalam pada itu, Nana yang dihantar Aminah ke rumah Kebajikan Masyarakat sakit kuat dan apabila Aminah menelefon Ameer memberitahu keadaan Nana dia bergegas pergi ke hospital tersebut tetapi hanya sempat menyanyikan sebuah lagu (Aduhai Sayang) kemudian Nana pun menghembuskan nafasnya yang terakhir. Apabila melihat anaknya meninggal dunia menjadikan fikiran Ameer kacau hingga cuba membunuh Aminah tetapi dapat mengawal perasaannya, tetapi Aminah yang begitu kecewa membawa diri pergi entah ke mana melalui landasan keretapi yang mana dia terjatuh kemudian digilis keretapi. Keadaan Ameer kembali normal, dan cinta Hasnah masih tetap berbunga terhadap Ameer. Ameer pun mendirikan rumah tangga bersama Hasnah.

P.RAMLEE SEBAGAI PELAKON

Filem ini telah memperlihatkan kematangan P.RAMLEE berlakon. Peranannya sebagai Ameer begitu penting dan berat. Namun sebagai pelakon tang telah mendaki dari bawah dan filem ini merupakan yang ke-19 untuknya, lakonannya tetap baik dan memuaskan. Boleh dikatakan dengan berlakon dalam filem ini P.RAMLEE sudah mencapai ke tahap kematangan.

ULASAN & KRITIKAN

Cerita masyarakat yang sudah lumrah. Kisah seorang wanita berkahwin kerana kepopularaan suaminya kemudian berlaku curang dengan teman baik suaminya sendiri. Sungguhpun filem terakhir dengan 'happy ending' dengan P.RAMLEE (Ameer) kembali ke pangkuanm Hasnah (Aini Hayati) yang mencintainya sejak mula bertemu namun tragedinya ada apabila anak kesayangan Ameer meninggal dunia begitu juga dengan Aminah (Siput Sarawak) mati digilis kereta api. Kesemua pelakon telah membawa peranan masing-masing dengan baik. Aini Hayati yang berperanan jahat dalam "Ibu" membawa peranan seorang wanita yang bersimpati dengan Ameer yang akhirnya berkahwin dengan Ameer setelah Ameer mengalami berbagai-bagai masalah dan penderitaan bila menghadapi kerenah Aminah.

Haji Mahadi berperanan baik dalam "Ibu" berperanan jahat (Hassan) dalam filem ini yang hanya berdampingan dengan Aminah kerana mahu mengaut harta Ameer dan Aminah sahaja. Aminah dijadikan alat untuk tujuan tersebut. Lagu-lagu turut memainkan peranan. Boleh dikatakan semuanya menjadi popular terutama Merak Kayangan dan Ingin Tahu. Pada keseluruhannya, filem ini berada dalam kesempurnaan dan menambah memuncakkan lagi P.RAMLEE sebagai pelakon yang disayangi dan diminati ramai.

IRAMA & LAGU

Sebuah lagi filem P.RAMLEE yang mengandungi lagu-lagu menarik. Antaranya:

  1. Tiru Macam Saya (Nona Asiah)
  2. Mari Dengar Ini Cerita (P.RAMLEE)
  3. Merak Kayangan (P.RAMLEE)
  4. Ingin Tahu (P.RAMLEE & Nona Asiah)
  5. Aduhai Sayang (P.RAMLEE)
  6. Derita (P.RAMLEE)
Ciptaan & gubahan: P.RAMLEE
Lirik: Jamil Sulong
Muzik iringan: Pancaragam pimpinan P.RAMLEE  
  • Ingin Tahu apabila dirakamkan ke piring hitam suara P.RAMLEE digantikan dengan Abdullah Chik berpadusuara dengan Nona Asiah.
  • Agak menarik lagu Aduhai Sayang dinyanyikan P.RAMLEE tiga kali.

ANUGERAH

  1. Filem Terbaik
  2. Pelakon Lelaki Terbaik (P.RAMLEE)
  • Anjuran majalah Filem Raya (1953)
  1. Filem Terbaik
  • Anjuran majalah Utusan Filem & Sport (1953)  
FAKTA & ANGKA

  • Inilah kali pertama P.RAMLEE dan Siput Sarawak digandingkan sebagai hero dan heroin. Sebelumnya, "Chinta", "Nasib" dan "Nilam". Siput Sarawak berperanan penting P.RAMLEE hanya pembantu sahaja manakala "Rachun Dunia" mereka berpasangan tetapi berperanan jahat dengan Osman Gumanti dan Kasma Booty sebagai hero dan heroin. "Bakti" pula P.RAMLEE sebagai hero (heroin Kasma Booty) tetapi Siput sarawak berperanan jahat bersama S. Roomai Noor.
  • Inilah juga filem terakhir P.RAMLEE berlakon bersama Siput Sarawak di MFP kerana selepas "Penchuri" (berlakon bersama Yusof Latiff), dia berpindah ke Cathay keris Film. P.RAMLEE dan Siput Sarawak kembali berlakon bersama 14 tahun kemudian di Merdeka Studio apabila P.RAMLEE mengambilnya membintangi filem "Keluarga 69" (1967).
  • Inilah satu-satunya filem Siput Sarawak berlakon dengan Haji Mahadi dalam filem P.RAMLEE.
  • Lagu Merak Kayangan ciptaan P.RAMLEE menjadi begitu poipular dan apabila Festival Filem Malaysia Pertama (FFM1) diadakan pada 11 - 13 April 1980 salah satu anugerahnya dinamakan Merak Kayangan.
  • Siput Sarawak (nama sebenarnya Ramlah Sulaiman) mengakhiri karier filemnya melalui "Layar Lara" arahan Shuhaimi Baba ( pernah suatu ketika menjadi isteri S.Roomai Noor ) meninggal dunia di Singapura pada 3 Jun 1999.

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078