Pages

Thursday, February 16, 2017

Sinopsis Dan Pengajaran Filem Penarek Becha

PENGAJARAN 

Penarek Becha (1955) merupakan filem arahan P.RAMLEE yang pertama. Filem ini dilihat biasa dan tidak ada apa-apa penonjolan isu yang istimewa, melainkan isu perbezaan taraf di antara golongan kaya dan miskin, percintaan yang tidak mendapat restu dan penindasan kepada golongan yang tidak mampu. Filem ini memiliki sifat filem-filem dari India yang sempurna. Gaya penceritaan yang tragis dengan kemelaratan dan malang yang selalu menimpa golongan miskin. Filem ini seolah-olah meminta kita untuk bersimpati dengan golongan miskin dan mereka yang tidak memiliki kemampuan. Sememangnya jika kita mempunyai hati dan perasaan sebagai seorang manusia normak, kita akan merasa sedih dan pilu dengan nasib yang menimpa Amran dan ibunya di dalam filem ini. 

Kita mulakan pembacaan filem ini dengan babak pembukaan. Kita boleh sifatkan bahawa babak pembukaan filem ini kelihatan seperti cubaan untuk zoom-in ke dalam kehidupan masyarakat. Dimulakan dengan kepesatan pembangunan dan kota yang penuh kemewahan kita dibawa secara pantas kepada kehidupan dan pekerjaan golongan marhaen di dalam filem ini. Kita lihat bagaimana seorang pemuda menjual surat khabar berlari-lari untuk menjual. Ini melibatkan kepayahan untuk mendapatkan wang. Kemudian kita dibawakan pula kepada Amran, si pengayuh beca. Dua pekerjaan ini merupakan pekerja marhaen dan merupakan di antara pekerjaan yang menerima upah rendah pada masa berkenaan. Zoom in yang dimaksudkan tadi ialah daripada satu latar yang umum kita dibawakan kepada satu latar yang khusus, kehidupan marhaen dan ini menjadi petanda bahawa filem ini tentang kehidupan golongan miskin. Kemudian kita lihat pula bagaimana ketika Amran membawa Orang Kaya Marzuki menggunakan becanya, dia emlalui kawasan kediaman orang miskin sebelum sampai di rumah Orang Kaya Marzuki. Ini satu lagi bentuk peralihan latar yang menarik. di mana melalui perjalanan ini kita dapat mengetahui bahawa akan wujud penentangan di antara miskin dan kaya dalam filem ini.

Sebaik sahaja Amran menghantar Orang Kaya Marzuki sehingga ke rumahnya, tiba masa untuk Amran mendapatkan bayaran yang setimpal. Namun, Orang Kaya Marzuki yang sepatutnya kaya dan tidak kisah dengan wang, telah membayar dengan niali yang cukup sedikit dan tidak sewajarnya terhadap perkhidmatan yang diberikan oleh Amran. Ini menjadi titik bahawa kita menyedari sikap Orang Kaya Marzuki sebagai seorang penindas dan gemar mengambil kesempatan. Apa yang lebih menarik P.RAMLEE membawakan konsep budi dengan menunjukkan bahawa orang kaya miskin budi dan dalam babak seterusnya P.RAMLEE menonjolkan orang miskin sebagai kaya budi.

"Encik."

"Hey! Mengapa kau tak pergi lagi? Oh kurang ya? Kau kenal ini tak? Pergi! Bodoh!"

Selepas Amran menerima bayaran yang sedikit, dia terus bergerak ke kedai Pak Mat untuk membeli makanan. Di sini kita akan dapat melihat apa yang disebut sebelum ini sebagai orang miskin kaya budi. Pak Mat seorang yang miskin tetapi Pak Mat telah memberi nasi percuma kepada Amran tanpa mengambil sebarang wang tambahan dan kemudian Amran, apabila bertembung dengan seorang peminta sedekah telah memberikan nasi percumanya kepada peminta sedekah berkenaan. Dalam hal ini kita dapat melihat satu hierarki unik yang cuba ditonjolkan P.RAMLEE. Seorang miskin (Pak Mat) membantu seorang yang lebih miskin (Amran) dan Amran pula membantu seorang yang lebih melarat hidupnya (peminta sedekah). Ini merupakan satu penonjolan kitaran hidup masyarakat yang jelas. Manusia miskin membantu sesama sendiri untuk meneruskan hidup.

Suntingan di dalam fuilem ini juga menarik apabila dalam satu babak semasa ribut melanda rumah Amran, kamera memberi fokus kepada nasi di dalam pinggan yang tidak sempat dijamah Amran sudah basah dan tidak boleh dimakan lagi, daripada syot nasi di dalam pinggan berkenaan, transisi babak berlaku dan kamera menunjukkan kek yang sudah siap di kelas yang dihadiri anak Orang Kaya Marzuki, Azizah. Pinggan berkenaan berbentuk bulat dan kemudian beralih kepada kek yang juga berbentuk bulat dan kedua-duanya ialah makanan. Bezanya ialah nasi di dalam pinggan Amran amat penting untuk kelangsungan hidup, namun kek di tempat Azizah belajar hanya untuk hiasan dan sekadar suka-suka.

Babak di Kelab Melati Joget yang melibatkan Ghazali lakonan Salleh Kamil juga memiliki sifat dan makna yang tersendiri. Ketika pengacara di kelab berkenaan mengumumkan mengenai persembahan berikutnya ialah tarian Inang Baru, Ghazali menjerit tidak mahu menonton tarian berkenaan, sebaliknyadia mahukan Samba. Dalam babak ini, P.RAMLEE cuba menonjolkan sikap golongan Melayu kaya atau aristokrat yang lupa tentang soal jati diri dan tidak lagi mengenal asal dan kebudayaan sendiri, sebaliknya lebih berbangga dengan budaya dan cara hidup berbeza. Ini merupakan satu sindiran dan Ghazali sebenarnya menjadi lambang kepada aristokrat Melayu yang berlagak moden tapi sudah terlupa siapa dirinya yang sebenar. Ghazali menganggap joget itu bukan tarian yang bagus, tetapi samba lebih bagus daripada itu.

"Minta perhatian! Minta perhatian! Saudara dan saudari yang dihormati sekalian, sekarang kita meneruskan exhibition kita yang penghabisan ya itu merupakan satu tarian yang bernama Inang Baru!"

"Hey! Kita tak mahu exhibitionlah! Kita mahu samba! Apa duit kita tak laku ke?"

"Bukan fasal duit tak laku saudara, tapi ini fasal exhibition. Saudara-saudara saksikanlah tari Inang Baru!"

"Hey! Sambalah! Lagu joget pula orang minta Samba. Mari kita baliklah, menyampah aku!"

"Asyik lagu joget sahaja. Mereka ni tak tahu menari ke?"

Kita dapat melihat juga bagaimana P.RAMLEE menggambarkan manusia atau golongan kaya yang suka menindas, seharusnya diajar dengan tindakan berani dan tegas. Ini dapat dilihat pada babak Orang Kaya Marzuki cuba menahan dan menaiki beca untuk pulang ke rumah dan meminta tambang yang cukup murah dikenakan kepadanya. Tiga penarik beca dalam babak ini semuanya mengenakan caj seringgit ke atas dan Orang Kaya Marzuki hanya mahu membayar 25 sen, satu jumlah yang terlalu murah. Dua penarik beca sebelumnya tidak melayan Orang Kaya Marzuki dan terus berlalu sahaja, tetapi penarik beca ketiga bertindak lebih berani dengan mencampakkan tongkat sebelum bertindak menolak Orang Kaya Marzuki sehingga jatuh sebelum dilanggar kereta yang dipandu Ghazali. Tindakan penarik beca ketiga itu boleh ditakrifkan sebagai sebahagian daripada reaksi yang muncul dan boleh berlaku kepada golongan marhaen jika hidup dan nasib mereka dipermainkan. Nasib yang menimpa Orang Kaya Marzuki, boleh sahaja menimpa sesiapa sahaja orang kaya dan yang berkepentingan jika mereka masih berterusan menindas untuk menunjukkan kuasa.

Namun, sindiran paling tajam dalam filem ini ialah semasa babak Orang Kaya Marzuki sudah keluar dari hospital dan tiba di rumah ditemani oleh Ghazali. Orang Kaya Marzuki masuk ke biliknya dan Ghazali mengekori di belakang. Semasa berbaring, Orang Kaya Marzuki menyebut nama-nama Tuhan, ya Allah, Ya Karim dan yang lebih menarik di dinding bilik Orang Kaya Marzuki dan tepat di atas kepalanya tergantung kalimah suci, Bismillahirahmanirahim (Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi maha mengasihani). Apa yang disindirkan P.RAMLEE ialah walaupun Orang Kaya Marzuki mengingati Tuhan dia tetap kejam dan Tuhan sebenarnya hanya pada bibirnya semata-mata dan untuk Ghazali, walaupun berdepan dengan kalimah paling agung dalam agama sendiri, Ghazali masih berani memfitnah dan menebar pembohongan apabila mengatakan yang buruk-buruk tentang Amran. Fitnah ini menyebabkan Orang Kaya Marzuki hilang pertimbangan walaupun baru selesai menyebut nama Tuhan. Kesan daripada fitnah di depan nama Tuhan ini, Amran dihalau dan Azizah dimarahi dengan tanpa usul periksa. Ini adalah satu songsangan.

Sewajarnya Orang Kaya Marzuki, seorang yang mengingati Tuhan pasti memiliki pertimbangan, namun P.RAMLEE menunjukkan bahawa orang yang kejam dan bersifat penindas tidak memperdulikan agama dan kalau pun mereka ambil peduli tentang agama, ia hanya untuk kepentingan diri semata-mata. Kalimah tentang kasih sayang dan sifat pemurah itu seperti tidak mempunyai kesan apabila Orang Kaya Marzuki dikenali sebagai seorang yang tidak memiliki sifat penyayang dan selain itu dia bukan orang yang pemurah apabila sering berkira tentang harta dan selalu menghina orang yang miskin. Ini ialah kontradiksi sifat manusia yang ditonjolkan P.RAMLEE, dan jelas merupakan satu sindiran dan peringatan yang cukup baik di dalam filem ini. Ghazali di dalam filem ini merupakan watak jahat dan dikenali sebagai seorang penipu dan juga mempunyai hasrat mahu mencuri harta Orang kaya Marzuki. Dalam satu babak ketika Ghazali mengejar Amran selepas Amran bertemu dengan Azizah di taman, Ghazali memekik "Pencuri! Pencuri!".Menarik apabila Ghazali menjerit dan memekik kononnya sedang mengejar pencuri, sedangkan dirinya sendiri ialah pencuri sebenar.

Filem ini memaparkan struktur masyarakat dengan elemen patriarki yang cukup kuat. Kita dapat lihat di dalam filem ini, lelaki menguasai segala-galanya dari pencetus konflik sehingga ke penyelesaian konflik. Wanita hanya pinggiran dan dipentaskan untuk menangis, mengenang nasib dan menerima sahaja apa yang diputuskan lelaki. Kedudukan wanita di dalam filem ini tidak progresif. Namun, P.RAMLEE dilihat sengaja membentuk keadaan sedemikian bagi membuktikan golongan aristokrat seperti Orang Kaya Marzuki merupakan penindas termasuk kepada wanita. Penarik Becha pula boleh dianggap sebagai corak permulaan kepada karya-karya P.RAMLEE seterusnya yang banyak mengangkat tema pertembungan kels, penindasan, gila kuasa, kerenah feudalisme, kebodohan orang atasan dan yang berkaitan dengannya. Kita pun tidak tahu mengapa P.RAMLEE seperti berdendam dengan golongan aristokrat dan kelas atasan.

 Di dalam filem ini dua petikan dialog yang menarik perhatian ialah Kekayaan Manusia Itu Hanya Daki Dunia yang diungkapkan oleh Azizah sementara ibu kepada Amran pula menyebut Budi Bahasa Tidak Memerlukan Modal. Dua dialog yang memiliki kualiti dan makna mendalam terhadap suasana masyarakat materialistik. Dialog ibu Amran yang mengaitkan budi bahasa dengan modal merupakan satu perbandingan yang bijak kerana ibu Amran cuba membuktikan bahawa budi bahasa bukan komoditi dagangan dan boleh diukur melalui indeks-indeks di bursa saham.  

DI BELAKANG TADBIR

Ada dua versi bagaimana P.RAMLEE boleh jadi pengarah. Pertama, 'lobby' yang dilakukan Norizan, ketika itu isteri P.RAMLEE. Norizan begitu kuat menyakinkan Run Run Shaw yang P.RAMLEE boleh menjadi pengarah sekiranya diberi peluang. Ini diberitahu sendiri oleh Norizan dalam ruangan Bintang Bertemu Bintang (UFF, 1976) bersama M.Shahdan. Katanya: Mungkin ramai yang tidak tahu terkabulnya hasrat P.RAMLEE menjadi pengarah filem di studio filem MFP Singapura dengan filem arahannya "Penarek Becha" atas usaha Kak Nor. Ketika menjadi isteri Sultan Kak Nor baik dengan Run Run Shaw, dan kerana atas permintaan Kak Nor dia telah bersetuju melantik Allahyarham sebagai pengarah."

Kedua, petugas-petugas MFP sendiri menulis surat kepada pihak atasan MFP mencadangkan supaya P.RAMLEE dilantik sebagai pengarah. Jika diperhatikan lakonan P.RAMLEE mulai "Chinta" hingga ke "Abu Hassan Penchuri" ternyata sukar Run Run Shaw mahu melantik P.RAMLEE sebagai pengara filem. Lakonannya masih lemah manakala kerja-kerja di belakang layar tidak begitu cemerlang. Cuma P.RAMLEE mempunyai suara merdu (menyanyi), mencipta dan menggubah lagu serta ada karisma untuk menarik orang ramai berduyun-duyun ke pawagam. 

FAKTA & ANGKA


  • Filem pertama arahan P.RAMLEE
  • Filem kedua lakonan Udo Omar selepas "Hang Tuah". bagaimanapun filem ini diedarkan terlebih dulu daripada "Hang Tuah"
  • Filem pertama P.RAMLEE berpasangan dengan Sa'adiah sebagai hero dan heroine. Sebelumnya mereka pernah berlakon bersama tetapi tidak sebagai hero dan heroine dalam "Juwita", "Anjoran nasib" dan "Sedarah".
  • Tercatat dalam sejarah perfileman Malaysia, P.RAMLEE sebagai hero kepada dua adik beradik - Mariam dan Sa'adiah. Mariam ("Anjoran Nasib" dan "Abu Hassan Penchuri") dan Sa'adiah (filem ini, "Semerah Padi", "Sergeant Hassan", "Musang Berjanggut" dan "Antara Dua Darjat").
  • Pada mulanya P.RAMLEE mahu mengambil Daeng Idris membawa peranan Orang Kaya Marzuki tetapi oleh kerana sesuatu sebab terpaksa P.RAMLEe mengambil Udo Umar sebagai penggantinya. Bagaimanapun, dalam filem arahannya yang kedua ("Semerah Padi") P.RAMLEE berjaya mendapatkan Daeng Idris dengan memberikan peranan sebagai Penghulu Semerah Padi dengan Sa'adiah berperanan sebagai anaknya - Dara.
  • Sa'adiah ketika berlakon dalam filem ini, berbadan dua. Siapakah anak dalam kandungannya itu, tidak dapat dipastikan. Yang pasti, anak tersebut bukan Ogy Ahmad Daud kerana Sa'adiah masih menjadi isteri dengan suaminya yang pertama dan belum juga berkahwin dengan Ahmad Daud.
  • Runme Shaw merupakan produser untuk filem pertama P.RAMLEE, kemudian disusuli Run Run Shaw untuk filem keduanya, "Semerah Padi", dan Vee Meng Shaw untuk "Labu dan Labi"
  • Saloma merupakan penyanyi pertama menyanyi (Inang Baru) dalam filem arahan P.RAMLEE, kemudian diikuti Momo (penyanyi kedua) yang berpadu suara dengan P.RAMLEE menyanyikan Dengarlah Sang Ombak Berdesir.
  • Ali Fiji 'stand in' (pelakon gantian) untuk P.RAMLEE.
  • Salleh Kamil yang lahir pada 24 April 1924, meninggal dunia di Singapura pada 24 Julai 1998 ketika usianya 74 tahun iaitu hampir 25 tahun selepas P.RAMLEE meninggal dunia.



   

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078