Pages

Wednesday, February 1, 2017

20 Februari 2016 Hari Kedua (Jerman)

Dingin subuh memecah suasana. Aku dikejutkan oleh Abe Mat yang sudah pun berada di tikar sembahyang. Walaupun tempoh tidurku agak pendek, namun ia amat berkualiti untuk mengembalikan semula tenaga yang hilang sepanjang perjalanan hari pertama.  

Setelah selesai menunaikan solat subuh, Abe Mat mula bersiap-siap untuk pergi bekerja. Beliau memberitahuku mengenai aktiviti yang boleh aku lakukan pada hari ini dan tempat mana yang boleh aku lawati. Sebuah peta metro Munich dihulurkan padaku. Peta tersebut memaparkan maklumat tentang metro yang perlu dinaiki untuk pergi ke satu-satu tempat.

Aku bercadang untuk melawat Marietplatz, Stadium Allian Arena, Olympic Stadium, BMW Headquarter dan beberapa kawasan lain di Munich. Aku mempunyai masa dari pagi hingga ke malam untuk melawat tempat-tempat yang aku nyatakan. Abe Mat memberitahuku bahawa harga tiket untuk One Day Pass adalah sebanyak 6 Euro. Lalu, sejumlah wang 26 Euro dihulurkan kepadaku untuk membeli tiket tersebut dan selebihnya untuk berbelanja. Aku menolak wang tersebut kerana menurutku bajet yang aku sediakan sudah mencukupi. Namun, Abe Mat tetap memaksa aku untuk menerima wang tersebut sambil berkata, "Demo nak tolak rezeki ko? Nanti rezeki dok maghi doh, payoh."

Aku akur dengan kemurahan hati Abe Mat dan mengucapkan terima kasih kepadanya. Moga rezeki bertambah murah.

Beliau keluar dari rumah, meninggalkan aku sendirian. Aku mula bersiap-siap dan membelek-belek peta metro yang diberikan kepadaku. Sempat jugak aku search tempat-tempat menarik lain yang boleh dilawati melalui laman sesawang oogle. Apabila sudah bersedia, aku keluar dari rumah menuju ke stesen metro U-Bahn bernama Untersbergstrasse yang mengambil masa lima minit berjalan kaki untuk tiba di sana.

Sebaik memasuki stesen tersebut, aku terus menuju ke sebuah mesin persis mesin LRT di Kuala Lumpur untuk mendapatkan tiket daily pass bernilai 6 Euro (sekitar RM 27). Kecil saja saiz tiketnya seperti tiket yang pernah aku beli ketika menaiki metro di Cairo, Mesir. Bezanya, cuma tarif harga tiket. Jika di Mesir, harga tiket adalah sama iaitu satu enih (sekitar 50 sen) untuk setiap perjalanan sama ada perjalanan itu jauh ataupun dekat.

Destinasi pertama yang dituju ialah Stadium Alianz Arena yang terletak di kawasan Frottmaning, sebelah utara Kota Munich. Para peminat bola sepak UEFA pasti mengenali stadium ini kerana ia menjadi stadium tuan rumah bagi kelab gergasi Eropah, FC Bayern Munchen dan menjadi stadium perlawanan pembukaan bagi Piala Dunia FIFA 2006.

Sebaik tiba di stesen U-Bahn Frottmaning, aku perlu berjalan kaki terlebih dahulu selama 0 minit untuk menuju ke stadium. Terbayang di fikiranku keadaan orang ramai yang berpusu-pusu menuju ke stadium bagi menyaksikan perlawanan bola sepak. Yang pasti, masih ramai orang yang datang walaupun tiket perlawanan bola sepak dijual dengan harga yang cukup mahal. Dari jauh, sudah kelihatan stadium kebanggaan FC Bayern Munchen yang berwarna putih dan seni binanya seakan balutan ketupat. Pada waktu malam, stadium yang mampu memuatkan 66000 orang penonton itu akan berubah warna menjadi biru, merah dan sebagainya.

Setelah selesai melawat kawasan sekitar stadium, langkah aku dituju semula ke stesen metro untuk menghala ke Olympiazentrum. Sebaik tiba di sini, aku melawat Olympiapark Munich yang dibina untuk Sukan Olimpik Musim Panas 972. Kawasan Olympiapark ini sangat luas dan mengambil masa yang agak lama untuk dilawati. Aku melihat orang ramai menggunakan masa untuk beriadah bersama keluarga berehat dan sebagainya. Suasana damai dan indah di Olympic Area yang berbukit ini dilengkapi dengan Olympic Stadium, Olympic Hall, Olympic Tower, Olympic Swim Hall dan Olympic Event Hall. Kesemuanya masih digunakan sehingga kini.

Oleh kerana kawasan di sini agak berbukit, papan tanda larangan untuk bermain ski di kawasan bukit tersebut turut diletakkan bagi melarang para pengunjung untuk bermain ski ketika musim sejuk tiba. Langit Olympiapark ini juga dihiasai dengan Uptown Skycraper of O2 yang boleh dilihat dari jarak jauh. Begitu juga dengan BMW Headquaters yang terletak berhampiran.    

Aku sempat melawat ke bahagain dalam BMW Headquaters yang menjadi pusat operasi yang utama bagi kesemua kilang kereta mewah milik BMW di seluruh dunia ini sejak 973. Di dalam bangunan tersebut, dipamerkan kereta-kereta mewah milik BMW yang pelbagai. Pengunjung boleh merasai pengalaman menaiki kereta-kereta tersebut dan bergambar tanda kenangan.

Aku juga sempat mencuba menaiki sebuah kereta BMW 428I yang mana tempat kerusi pemandu berada di sebelah kiri. Bergaya seperti menaiki kereta milik sendiri. Namun, untuk membelinya jauh sekali. Terdapat juga tayangan video yang menggambarkan bagaimana syarikat BMW beroperasi dan keluaran-keluaran kereta baru yang bakal menembusi pasaran dunia, seperti BMW i8.

Usai melawat, aku kembali ke stesen untuk menuju ke destinasi seterusnya iaitu Marienplatz. Sebelum itu, aku sengaja singgah di stesen Universitat kerana teringat akan kawasan Universiti Malaya, tempat aku berjuang menuntut ilmu, juga terdapat sebuah stesen bernama Stesen LRT Universiti. Justeru, menurut fikiranku, pasti ada universiti di kawasan berdekatan dengan stesen.

Telahanku benar. Sebaik keluar dari stesen di Ludwigstr itu, aku melihat papan tanda untuk menuju ke Ludwig Maximilian University. Namun, kelihatannya seperti agak jauh dari stesen. maka, aku batalkan hasratku untuk meninjau ke universiti tersebut. Apa yang menariknya, berdekatan dengan universiti tersebut, terdapat sebuah binaan unik dipanggil Stegestor yang ketika ini disebut sebagai monumen simbol keamanan. Binaannya seakan Ard de Triophe di Perancis, tetapi lebih kecil.

Setelah mengambil beberapa keping gambar kenangan, aku terus ke setsen Universitat untuk menuju ke Marienplatz merupakan sebuah dataran utama dan pusat penting di kota Munchen sejak tahun 1158 lagi. Seni bina bangunan yang unik dan menarik menghiasi kawasan dataran Marientplatz ini. Antaranya bangunan City Hall, Neues Rathaus dan juga Frauenkirche yang merupakan salah sebuah gereja di kawasan ini.

Jika di negara Islam, binaan masjid ada di mana-mana. Namun di Eropah, bangunan cathedral (gereja) lebih senang dilihat. Tepat jam 12.00 tengah hari, bunyi loceng dari gereja bersahutan di sekitar dataran ini. bergema dentingan locengnya. Aku teringat sewaktu di Sweden sahabatku pernah berkata, jika kita mendengar bunyi loceng dari gereja janganlah kita merungut kerana kelak mereka akan mempersoalkan pula tentang mengapa kita boleh melaungkan azan dengan menggunakan pembesar suara tetapi mereka tidak.

Sebaliknya yang berlaku di Masjid Besar Stockholm, Sweden. Pembesar suara tidak boleh digunakan untuk melaungkan azan. Suara azan yang boleh didengari hanya di kawasan dalam masjid semata-mata. Sungguh tidak ada bagi kita umat Islam yang menganggap bahawa azan itu adalah syiar Islam. Namun, ia bukanlah asbab (faktor) serta halangan kepada Islam untuk terus berkembang di bumi Eropah.

Di dataran Marietplatz ini, aku melihat satu demonstrasi yang sedang dijalankan. Aku tidak faham apa yang dibicarakan oleh mereka. Namun, ku lihat para demonstran memegang sekeping gambar masjid yang ditanda pangkah dengan dakwat merah dan tertera tulisan ISLAMOPHOBIA yang mula meracuni minda masyarakat barat setelah peristiwa runtuhan World Trade Centre (WTC) pada 11 September 2001 dengan menuduh Islam sebagai punca berlakunya kemusnahan dan menganggap Islam sebagai pengganas. Propaganda jahat barat semata-mata.

Aku seakan dapat mengagak apa yang ingin diutarakan oleh mereka. Tambahan pula, bendera negara haram Israel turut dipacak di kawasan khemah demonstrasi tersebut. Sah! Demonstrasi mengecam islam. Pihak polis atau disebut polizei di Jerman mengawal kawasan demonstrasi, walaupun rakyat yang turut serta dalam demonstrasi tersebut boleh dikira dengan jari sahaja. Mungkin rakyat sudah muak dan bosan dengan demonstrasi sebegitu rupa, yang bersifat rasis semata-mata.

Aku sempat bertanya kepada seorang warga di sini tentang apa yang terjadi dan maksud perkataan yang tertera di salah satu kertas yang ditunjukkan oleh demonstran. Katanya, mereka menuntut supaya pihak berwajib agar menghentikan pembinaan masjid bagi umat islam yang dikatakan semakin berkembang biak. Jika dibiarkan berlarutan, kelak Islam akan menguasai Jerman. Betapa takut dan gentarnya mereka sekiranya Islam menang di bumi mereka.

Aku diam berfikir lalu meninggalkan kawasan demonstrasi untuk membeli cenderahati. Biarkan sahaja mereka terus beraksi sehingga mereka berpuas hati. Seperti biasa, bendera negara dan fridge magnet pasti dibeli walaupun harga untuk dua barangan ini sahaja sudah mencecah 8 Euro. Ingat, aku kini berada di Eropah. Nilai mata wangnya tidak sama dengan nilai mata wang  Malaysia. Jauh lebih mahal. Maka, anggap sahaja 8 Euro ini seperti RM 8. Mudah cerita, tutup sebelah mata, nanti usaha gandakan semula wang yang ada.

Hari sudah mulai petang. Kakiku terus melangkah semula ke stesen metro untuk pulang ke rumah Abe Mat. Sepanjang perjalanan di Kota Munich amat memenatkan dan perutku juga sudah mula menyanyi kelaparan. Sebaik tiba di stesen metro pertama yang aku naiki pagi tadi, barulah aku sedar tentang apa yang dimaksudkan dengan kejujuran rakyat Jerman, khususnya yang pernah diceritakan oleh rakyat Malaysia yang lama menetap di sini.

Benar, aku merasakan bahawa tiket metro yang dibeli pagi tadi tidak berfungi sama sekali. Masakan tidak, bermula dari metro pertama yang aku naiki hingga ke akhirnya, tidak ada seorang konduktor yang datang memeriksa tiketku. Malahan, untuk masuk ke dalam metro juga, tidak ada halangan seperti mana menaiki LRT di Kuala lumpur yang memerlukan kita tap coin yang dibeli untuk membuka halangan. Di sini, cuma diletakkan beberapa tiang setinggi pinggang yang menyuruh kita untuk memasukkan tiket yang dibeli. Jika tidak mahu masukkan juga tidak mengapa. Boleh menaiki metro begitu sahaja.

Dalam situasi seperti ini, harus diingat bahawa nasib tidak sentiasa menyebelahi kita. Sekiranya konduktor atau security metro membuat pemeriksaan mengejut, mereka yang tidak mempunyai tiket yang sah akan dikenakan denda yang sangat tinggi. Maka, lebih baik kita membeli tiket daripada membayar denda yang jauh lebih mahal. Tidak hairanlah, walau pemeriksaan dilakukan secara mengejut sekalipun, kesemua rakyat Jerman pasti mempunyai tiket yang sah. ia adalah perlambangan budaya dan sifat jujur mereka. Wajar dicontohi oleh kita semua.

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078