Pages

Sunday, May 1, 2016

Sinopsis Dan Pengajaran Filem Ali Baba Bujang Lapok

MALAY FILM PRODUCTION LTD. MEMPELAWAKAN BUJANG LAPOK SHAM RAM ZIZ DI DALAM CERITA JENAKA ALI BABA BUJANG LAPOK 
TURUT BERLAKON: NORMADIAH K. FATIMAH LENG HUSAIN 
DIBANTU: IBRAHIM PENDEK A.RAHIM SHARIF DOL KEMAT HASSAN M.RAFEE H.M.BOSRA MD.ZAIN NYONG ISMAIL ALI FIJI HASHIM SALLEH IBRAHIM HASSAN
PELAKON UNDANGAN: ZAITON S. KADARISMAN MUSTARJO
MEMPERKENALKAN: SARIMAH SEBAGAI MARJINA
TERAJU FOTOGRAFI: A.BAKAR.ALI
TERAJU RAKAMAN SUARA: KAMAL MUSTAFFA
TERAJU RAKAMAN AKHIR: KAM SIM BOON
SENI SUNTINGAN: H.R.NARAYANA
SENI OLAHAN: WONG HONG PENG
PENGURUS LABORATORY: CHOW CHENG KOK
MANAGER: KWEK CHIP JIAN
PENOLONG-PENOLONG FOTOGRAFI: YA'AKOB MAHMOOD
RAKAMAN SUARA: AHMAD SURADI
SENI SUNTINGAN: K.K.RAM HAYAT HARRIS LEE THIAM YIAK
PEGAWAI SAMBONGAN DAN TERAJU SENI: KASSIM MASDOR
TERAJU MUDA: S.SUDARMAJI
TERAJU SOLEK HIAS & PANORAMA: MUSTAFA YASSIN
TERAJU TARI: NORMADIAH S.SUDARMAJI
SUARA GHAIB: NORMADIAH RAHMAH RAHMAT AHMAD C. AZIZ SATTAR P.RAMLEE & MFP CHORUS
DIIRINGI OLEH: P.RAMLEE ORKESTRA
JALAN CERITA & BAHASA DISUSUN SEMULA: P.RAMLEE
DIPETIK DARI CERITA: ALI BABA DENGAN 4O PENYAMUN
TERAJU SENI LAGU: P.RAMLEE
TERAJU UTAMA: P.RAMLEE


Tahun Diedarkan : 1961 (Januari)
Masa Tayangan: 1 Jam 45 Minit

RINGKASAN CERITA

Di Pekan Persada Marjina telah dilelong dan dia telah dibeli oleh Kassim Baba dengan harga 1001 darham. Tujuan dibelinya Marjina itu ialah untuk membantu isterinya - Aloyah, yang terlalu banyak kerja rumah terpaksa dibuatnya. Kedatangan Marjina itu telah disambut baik oleh Aloyah. Ali Baba (adik Kassim Baba) kerana dasar pemalasnya hidup dalam kemiskinan. Dia sentiasa saja datang ke rumah Kassim Baba meminjam gandum dan pada kebiasaannya kalau pinjam satu gantang kena bayar balik dua gantang. Mahu tidak mahu terpasa Ali Baba menyetujuinya.

Sepulangnya dari meminjam gandum dan setelah dimarahi Kassim Baba, Ali Baba pula dimarahi isterinya - Norsiah, kerana pemalas dan tidak mahu mencari kerja. Bagaimanapun, Ali Baba memberi alasan bukan pemalas tetapi tulangnya reput. Oleh kerana tidak tertahan dengan leteran Norsiah (kerana dimarahi) oleh Kassim Baba ketika pergi meminjam gandum dan mengugut pula yang dia akan pergi mencari rezeki, barulah Ali Baba beralah. Dia pergi ke hutan mencari kayu.



Ketika sedang memotong kayu tiba-tiba Ali Baba dikejutkan dengan kedatangan 40 orang penyamun yang sedang menuju ke gua dengan membawa barangan yang mereka samun. Apabila penyamun-penyamun tersebut keluar pergi menyamun Ali Baba masuk ke gua apabila Chief Penyamun memberi kepadanya cara-cara membuka dan menutup pintu gua setelah Ali Baba menyatakan dirinya 'reporter'. Dengan mengambil hanya sedikit saja harta-harta penyamun itu, Ali Baba berubah dari miskin menjadi kaya.

Kemurahan hati Ali Baba menabur wang emas kepada orang ramai disertai pula menghadiahkan wang tersebut kepada Kassim Baba, pengintip (Sarjan Penyamun) memberitahu Chif Penyamun dan dia pun membuat rancangan menyamun rumah Ali Baba. Kassim Baba mendesak Ali Baba supaya memberitahunya bagaimana dia memperolehi wang emas yang banyak itu dan kerana kejujurannya dan tidak tamak, Ali Baba pun memberitahu tempatnya iaitu di Bukit Koma - tempat 40 penyamun menyimpan barang-barang yang mereka rompak.

Ali Baba mengajar cara-cara masuk ke dalam gua iaitu membuka pintunya, 'niat nyinson mata kaji, semar nyisen," kepada Kassim baba, tetapi belum sempat Ali Baba mengajar cara-cara menutup pintu gua, "lampong isen, semar tilem" kerana ketamakannya Kassim Baba terus pergi ke gua membawa lori besar dengan niat untuk menyapu bersih segala harta yang terdapat di dalam gua tersebut. Bagaimanapun, belum sempat Kassim Baba membawa pulang harta-harta tersebut, Chif Penyamun dengan penyamun-penyamunnya pulang setelah berpesta merayakan 'public holiday', Kassim Baba terperangkap dan ditangkap.Disebabkan Kassim Baba menyamun harta penyamun dia telah diadili, dan kemudian didapati bersalah dan dihukum kepalanya dipancung.

Bila Kassim Baba tidak pulang-pulang (atas desakan Aloyah), Ali Baba pergi ke gua di mana dia telah bertemu dengan mayat Kassim Baba dengan anggota badannya bercerai dan kemudian dibawanya pulang, Ali Baba menyuruh Apek Tukang Kasut menjahitnya sebelum dikebumikan. Oleh kerana mayat Kassim Baba sudah hilang dari gua, Chif Penyamun telah mengarahkan Sarjan Penyamun pergi ke Baghdad mencari rumah Kassim Baba dan bila berjumpa hendaklah dibuat tanda pangkah. Melalui Apek Tukang Kasut, Sarjan Penyamun berjaya menemui rumah Kassim Baba lalu ditandanya pangkah di pintu rumah tersebut.

Tanda pangkah tersebut disedari oleh Marjina dan kerana meraguinya Marjina memadamkan pangkah tersebut dan dipangkahnya pula pintu tandas Apek Tukang Kasut.Bila serbuan dibuat bukan rumah Kassim Baba yang diserang tetapi tandas Apek Tukang Kasut yang menjadi mangsa dan akibatnya kesemua penyamun-penyamun terpalit dengan najis. Kegagalan Sarjan Penyamun menyebabkan dia dihukum dan untuk tugas selanjutnya Chif Penyamun mengarahkan pula Tarosan pergi membuat intipan dan membuat pangkah jika bertemu dengan rumah Kassim Baba.Tarosan berjaya menemui rumah Kassim Baba lalu dipangkah di pintunya.

Bagaimanapun, bila didapati ada tanda pangkah di pintu rumah Kassim Baba, dengan kebijaksanaannya Marjina memangkah pula setiap pintu rumah yang ada di lorong Kota Baghdad itu. Apabila serbuan dibuat, Chif Penyamun dan orang -orangnya terkeliru dan sekali lagi penyamun-penyamun itu tertipu dan gagal. Disebabkan dua kegagalan itu Chif Penyamun mengambil keputusan menyiasat sendiri dengan menyamar sebagai Saudagar Bermacam Minyak manakala penyamun-penyamun lain bersembunyi dalam takar minyak yang dibawa bersamanya. Mereka merancang merompak rumah Ali Baba tepat jam 12.00 tengah malam.

Kerana ketulusan hatinya, Ali Baba membenarkan Chif Penyamun bermalam serta membenarkan Chif Penyamun bermalam serta membenarkan takar-takar minyak diletrakkan di belakang rumahnya. Bagaimanapun Marjina, Aloyah dan Norsiah mendapat tahu orang yang bersama Ali Baba itu bukanlah Saudagar Bermacam Minyak tetapi Chif Penyamun yang bertujuan merompak dan seterusnya membunuh Ali Baba. Kerana menyedari yang takar-takar minyak itu sebenarnya disisi dengan penyamun-penyamun Marjina, Aloyah dan Norsiah pun memasak minyak dan apabila panas lalu mereka siram ke dalam takar-takar tersebut yang mana menyebabkan kesemuanya terbunuh.

Apabila selesai tugas menyiram minyak panas itu, Marjina pula meluru ke arah Chif Penyamun lalu menikamnya dengan pisau iaitu sebelum dia sempat membunuh Ali Baba. Ali Baba marah kerana perbuatan Marjinan itu, tetapi apabila dibuktikannya yang Chif Penyamun dan penyamun-penyamun yang lain berniat merompak dan membunuhnya barulah Ali Baba mengetahui keadaan sebenarnya. Disebabkan Marjina sudah menyelamatkannya, Ali Baba pun membebaskan Marjina tidak lagi menjadi hamba. Kata Marjina selepas pembebasan itu; "Alhamdulillah syukur nikmat."

ULASAN & KRITIKAN

Setelah "Pendekar Bujang Lapok" membawa penonton ke masyarakat kampung, dalam filem ini P.Ramlee membawa kita ke alam fantasi cerita yang diceritakan oleh Shehanezed dalam "Arabian Nights" iaitu "Ali Baba Dengan 40 Penyamun". Kisah Ali Baba ini begitu popular bukan sahaja telah difilemkan di Barat (Hollywood terutamanya) tetapi juga oleh filem Tamil dan juga Hindustan. Kalau pada tahun 1949 "Nasib" dibuat secara serius tetapi dalam filem ini P.Ramlee mengkomedikan dan hasilnya cukup berjaya. Walaupun dibuat secara beranekaragam (tidak seperti kisah Ali Baba yang sebenarnya) tetapi asal ceritanya tetap sama. Filem ini berjaya menggeletekkan hati terutama yang dilakonkan oleh Aziz Sattar sebagai Ali Baba dan S.Shamsuddin sebagai Kassim Baba yang mana telatahnya menggunakan bahasa Cina sangat melucukan.

Dari segi arahan, cara-cara P.Ramlee mengolah cerita yang serius menjadi komedi sangat berjaya. Dari segi lakonan tetap baik, Sarimah yang diperkenalkan dalam filem ini masih banyak kelemahannya tetapi berjaya sebagai pendatang baru. Lakonan Leng Hussain (ketika disuruh menjahit badan Kassim Baba) dan K.Fatimah (pertama kali membawa watak berat) telah berhasil membawa peranan masing-masing dengan sempurna. Pada keseluruhannya filem ini dikira sederhana saja baiknya tetapi tetap memberikan hiburan. 


IRAMA & LAGU

Terdapat 7 lagu dalam filem ini berbagai irama dan rentak terutama Arab dan Cina:
  1. Beginilah Nasib (Aziz Sattar)
  2. Indahnya Di Waktu Pagi (Normadiah)
  3. Hoi Hoi Ya Hoi (Beramai)
  4. Apek Dan Marjina (Aya Cik Siti) - Ahmad C. & Normadiah
  5. Ali Baba Rock (Beramai)
  6. Alhamdulilah Syukur Nikmat (Normadiah)
  7. Ya Habibi Ali Baba (P.Ramlee) Ciptaan & Gubahan: P.Ramlee Lirik: S.Sudarmaji Muzik Iringan: P.Ramlee Orkestra.
  • Beginilah Nasib adalah lagu klasik barat yang menjadi kesukaan Raj Kapoor. Dia menggunakan sepenuhnya lagu tersebut dalam "Barsaat" dan sedikit saja dalam "Sangam", "Bobby" dan "Mere Naam Joker". Di piring hitam P.Ramlee menyanyikannya.
  • Indahnya Di Waktu Pagi ialah lagu Lebanon - Banat Iskendaria (Gadis Iskandaria). Bagaimanapun, banyak negara mengakui lagu tersebut kepunyaan mereka termasuk Turki, Greece, Macedonia, Albania, Serbia, Bulgaria, Bosnia, Sarejevo dan juga Sepanyol. Yang mana satu betul? Entahlah. Tajuk Inggerisnya A Clear Moon Is On Rise (Bulan Mengambang) dan pernah juga dinyanyikan oleh penyanyi tersohor Lebanon - Fairuz.
  • Apek Dan Marjina (Aya Cik Siti) merupakan lagu saduran Apek Tua Dan Nyonya Manis yang pernah dipopularkan Dollah Sarawak dan Tarminah. Dipiring hitam P.Ramlee dan Normadiah menyanyikannya.
FAKTA DAN ANGKA

  • Siri ketiga Bujang Lapok yang melibatkan P.Ramlee, Aziz Sattar dan S.Shamsuddin yang diarahkan P.Ramlee selepas "Bujang Lapok" dan "Pendekar Bujang Lapok".
  • Filem pertama dilakonkan Sarimah (usianya ketika itu 17 tahun) baik di bawah arahan P.Ramlee mahupun di MFP> Peranannya sebagai Marjina.
  • A.Rahim adalah bekas adik ipar P.Ramlee (kerana dia berkahwin denan Junainah - adik Junaidah). Dia meninggal dunia di Kuala Lumpur pada 20 April 1992 kemudian di bawa ke Sinapura untuk dikebumikan.
  • Filem kedua disadur dari filem "Ali Baba And Forty Thieves". Pertama "Nasib" arahan B.S.Rajhans. P.Ramlee turut berlakon memegang peranan pelakon pembantu (sebagai Baki berlawak bergandingan dengan D.Harris.)
  • Aziz Sattar hero filem ini dan P.Ramlee sebagai crook, ertinya pelakon pembantu. 
  • Nama sebenar Chif Penyamun (P.Ramlee) dalam filem ini Abu Hassan.
  • Pada peringkat awal S.Shamsuddin sepatutnya memegang peranan Ali Baba. Tetapi kemudian P.Ramlee menukar fikirannya dan diberikannya kepada Aziz Sattar. 
APEK TUA DAN NYONYA MANIS (DAYUNG SAMPAN)

Dayung Sampan adalah lagu Cina dan tidak diketahui pula siapa penciptanya. Ia memang cukup popular dan sudah dianggap klasik. Dollah Sarawak dan Tarmina pernah merakamkan lagu ini ke piring hitam dengan jodohnya Apek Tua Dan Nyonya Manis. Tarminah pernah membintangi "Menantu Durhaka" keluaran Tan Wong Filem Company dari Indonesia yang diusahakan pada 1942 tetapi hanya dapat ditayangkan selepas Perang Dunia Kedua tamat (1942). Turut berlakon S.Kadarisman, D.Harris, Yusof Banjar dan Mochtar Wijaya. Dollah Sarawak (ayah Siput Sarawak) memang sudah tidak asing lagi kerana sering membintangi filem-filem keluaran Cathay Keris terutama yang bercorak seram seperti "Pontianak", "Dendam Pontianak" dan "Sumpah Pontianak". Noraniza Idris juga pernah menyanyikan lagu ini dengan iringan Erhu (biola Cina) gesekan He Yun. Hetty Koes Endang turut merakamkan lagu ini dalam albumnya "Hetty Koes Endang" (Pop Keroncong Vol. 2) 
PENGAJARAN FILEM

Ali Baba Bujang Lapok (1961) boleh dikatakan sebagai filem komedi terbaik P.Ramlee. Keistimewaan filem ini terletak kepada jenakanya yang bersahaja dan mengandungi kritikan sosial yang tajam, ini membuatkan filem ini lain daripada filem jenaka yang lain. P.Ramlee memilih mod rekonstruksi, dengan membikin semula kisah Ali Baba Dan 40 Penyamun. Di tangan P.Ramlee filem ini keluar dengan lmrah kisah asalnya. Suntikan elemen semasa dan penggunaan set dan prop yang bercampur membuat kita tertanya-tanya apakah zaman kisah ini sebenarnya., Ada telefon, kipas angin, skuter, kalendar bercetak dan sebagainya. Ini sebenarnya sebuah parodi kehidupan dan semuanya disatukan P.Ramlee di dalam filem ini.

Dipaparkan satu kehidupan di sebuah negeri yang diberi nama Baghdad (sudah tentu nama ibu negara Iraq). Wajah penduduknya seiras penduduk Malaya, tetapi berpakaian dan mengamalkan gaya hidup seperti orang Arab. Mereka juga bertutur dalam Bahasa Melayu dengan pelat Arab. Kota Baghdad di dalam filem ini digambarkan mengalami masalah yang rumit. Pelbagai perkara negatif diamalkan secara terbuka di kota ini. Misalnya perjualan hamba dan pemerdagangan orang. Masyarakatnya juga gemar mempercayai tilikan nasib daripada seorang tabib yang menipu dan bertujuan mengaut keuntungan semata-mata. Kota yang pentadbirnya misteri dan tidak didedahkan di dalam filem ini. Undang-undang dan peraturan-peraturan di kota ini semuanya pelik-pelik belaka. Sindiran tajam P.Ramlee ialah apabila candu dan ganja boleh dijual secara terbuka, tetapi belacan terpaksa dijual secara senyap-senyap kerana bimbang dirampas pihak berkuasa. Ini kita dapat lihat semasa babak di antara Marjina dan Penjual Belacan.

"Jual candu ada lesen, jual ganja ada lesen tetapi jual belacan tak ada lesen. Saya smuggle dari Malaya."

Ini satu kritikan tajam yang ditujukan kepada penguatkuasa undang-undang pada ketika ini yang mungkin dilihat P.Ramlee berdepan masalah. Segala macam perkara-perkara salah boleh dibuat secara terang-terangan, tetapi perkara baik-baik terpaksa dilakukan secara sembunyi-sembunyi. Ini jelas menunjukkan bahawa melakukan kebaikan ialah satu jenayah di kota ini. Filem ini juga langsung tidak melibatkan sebarang sosok anggota keselamatan atau pengkuatkuasaan seperti polis, walaupun pelbagai jenayah dan penipuan berlaku secara berleluasa. Ini selanjutnya menimbulkan persoalan besar mengenai siapa sebenarnya yang menerajui, mentadbir dan menjaga keselamatan kota yang penuh muslihat ini. Lebih menghairankan, penduduk kota ini membuka jalan untuk segala penipuan berlangsung secara berterusan kerana mereka sering mengambil jalan mudah untuk cepat kaya dan melanggar segala hukum termasuk berjudi dan mempercayai skim cepat kaya seperti tikam nombor ekor yang dianjurkan oleh Sarjan.

Parodi kehidupan yang disebut sebelum ini dapat dikesan pada beberapa babak penting di dalam filem ini. Misalnya ketika Ali Baba datang ke rumah Kassim Baba dan dia mahu meminjam satu gantang gandum, Kassim Baba bersetuju memberi pinjam, tetapi perlu dipulangkan semula sebanyak dua gaantang. Kassim Baba seolah-olah seperti bank yang memberi pinjam dengan kadar bayaran balik lebih tinggi lengkap dengan riba. Selain itu, Kassim Baba juga meminta Ali Baba untuk menandatangani dokumen perjanjian.

Kassim Baba walaupun dilihat sebagai seorang kaya yang kedekut dan gilakan harta dan wang, namun dia masih memiliki perikemanusiaan dengan menjaga hambanya, Marjina dengan baik. namun, sikap kedekut Kassim Baba begitu ketara apabila isterinya Aloya menyebut Kassim Baba tidak membayar bil air dan menyebabkan perkhidmatan air terpaksa dipotong. Selain itu, Kassim Baba juga memiliki rekod di pajak gadai yang memberi maksud dia mungkin seorang kaya, tetapi hidupnya tidak selalu senang. Pintu bilik Kassim Baba juga menampakkan motif ukiran seperti zaman Firaun dan ini menjadi petanda sikap negatif yang ada pada Kassim Baba. Kasim Baba juga seperti suka menunjuk-nunjuk kelebihan sendiri walaupun sebenarnya ada perkara yang dlakukannya hanya sia-sia misalnya mengupah pekerja untuk mengangkat bebanan yang sebenarnya bukan besi tetap kayu itu.

Berbeza dengan Kasim Baba, Ali Baba pula hidup bersama-sama isterinya Norsiah di rumah usang yang kelihatan terpencil. Ali Baba merupakan cerminan kemiskinan yang berlaku dalam masyarakat. P.Ramlee cuba menjelaskan bahawa tidak semua kemiskinan itu berlaku kerana kurang nasib baik, tetapi ada juga kemiskinan yang berlaku atas dasar malas. Seperti Ali Baba, dia merupakan seorang miskin yang malas. Hidupnya hanya berharap kepada peminjaman gandum dengan Kasim Baba. Ali Baba tidak mahu berusaha, bekerja atau membantu isterinya. Segala kerja rumah dilaksanakan oleh isterinya seorang diri. Sikap Ali Baba yang malas ini diterjemahkan oleh P.Ramlee sebagai di antara punca utama kemiskinan dalam kalangan masyarakat. Apa yang Ali Baba tahu hanyalah mencipta alasan, tetapi gagal dan tetap tidak mahu berusaha. Misalnya dia ada menyebut kepada isterinya yang dia bukan tidak mahu bekerja tetapi tulang-tulangnya telah reput. Selepas isterinya merajuk Ali Baba bergerak ke dalam hutan dan mencari kayu-kayu yang boleh dipotongnya. Namun, kita dapat melihat betapa pemalasnya Ali Baba apabila dia memotong pokok yang terlalu besar dengan kapak yang kecil. Selepas dengan hanya beberapa kali percubaan, dia putus asa dan terus berbaring. Di dalam filem ini, P.Ramlee bukan sahaja menyindir orang kaya yang kedekut dan gilakan wang, tetapi juga orang miskin yang malas dan gagal berusaha gigih untuk mengubah nasib diri. Ali Baba hanya bergantung kepada nasib semata-mata dan kebetulan dia bertemu dengan gua tempat 40 penyamun tinggal dan dari situasi itu, nasibnya berubah menjadi kaya.

Kini kita ke bahagian yang paling menarik untuk dikupas sepanjang filem Ali Baba Bujang Lapok ini. Bahagian berkenaan ialah tentang 40 penyamun yang diketuai oleh P.Ramlee yang hanya dikenali sebagai Chief atau ketua. Bentuk organisasi dan cara bekerja kumpulan 40 penyamun ini menyamai organisasi asas sesebuah kerajaan di mana-mana negara di dunia. Misalnya memiliki ketua untuk menguruskan organisasi mereka. Ketua ini akan memberi arahan dari semasa ke semasa dan semua 40 penyamun ini akan melaksanakana arahan berkenaan dengan baik dan teliti. Jika mereka tidak melakukan kerja dengan baik, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib seperti yang berlaku kepada Sarjan dan Momotaro San. Mereka didapati bersalah kerana disangka meletakkan tanda pangkah yang salah dan akibatnya mereka telah dihukum duduk didalam penjara yang ada di gua yang menjadi markas 40 penyamun.

Kumpulan ini juga memiliki pakaian seragam dan akan berbaris sebelum melaksanakan apa-apa tugasan. Mereka dipuji sebagai memiliki disiplin yang tinggi. Mereka akan diberikan bonos dan dalam kes Momotaro San dia diberi bonos setengah bulan gaji kerana berjaya merompak banyak wang emas, manakala seorang perompak yang lain pula dipotong gaji setengah bulan kerana merompak kasut buruk. Di sini Chief sebenarnya perlu memotong gaji penyamun berkenaan untuk menampung kos memberi bonos kepada Momotaro San. Selain itu, terdapat juga pelbagai kemudahan untuk semua penyamun berkenaan dan di antara yang paling mudah dilihat di dalam filem ini ialah perubatan percuma. H.M.Busra memainkan perana sebagai doktor yang merawat penyamun yang sakit. Namun, doktor ini kelihatan agak garang dan mahu dilayan dengan baik.

Kumpulan 40 penyamun ini juga dibenarkan melaksanakan kerja lebih masa dengan arahan dan persetujuan daripada Chief. Mereka tidak dibenarkan untuk melakukan kerja lebih masa sesuka hati. Apa yang lebih menarik sistem pembayaran gaji mereka juga mengikut waktu yang telah ditetapkan dan setiap daripada penyamun ini akan menerima gaji selepas menandatangani pernyata yang diberikan oleh Chief. Ternyata urusan kewangan berjalan dengan teratur dan cukup berperaturan. Penyamun dibenarkan untuk membuat pinjaman, namun potongan gaji akan dikenakan setiap bulan seperti yang terjadi kepada Sarjan yang hanya menerima gaji berjumlah 30 Dirham walaupun penyamun lain menerima 150 Dirham. Ini kerana Sarjan telah membuat pinjaman dan potongan gaji telah dilaksanakan terhadap gajinya.

Lebih menggelikan hati dan membuatkan kita terfikir adakah P.Ramlee sedang menyentuh perihal sebuah Kerajaan ialah apabila Chief menerangkan mengenai peraturan waktu bekerja yang baru kepada Sarjan.

"Sekarang kita sudah pakai undang-undang baru. Satu hari lapan jam kerja. Hari Sabtu setengah hari, hari minggu holiday. Faham?"

Lebih menarik, semasa hari gaji yang jatuh pada hujung minggu, 40 penyamun akan keluar bersuka ria dan semasa ini kita dapat melhat mereka memakai pelbagai jenis pakaian yang melambangkan pelbagai jenis latar belakang masyarakat. Ini menunjukkan kepelbagaian dalam keanggotaan 40 penyamun itu. Kumpulan 40 penyamun ini pula sering dihubungi oleh orang-orang kaya yang meminta bantuan untuk merompak rumah mereka bagi membolehkan mereka lari daripada membayar hutang (dialog sebenarnya lari dari bayar income tax, perhatikan gerak bibir Sharif Dol dan P.Ramlee) dan seorang lagi orang kaya meminta agar 40 penyamun menculiknya kerana tidak tahan dengan perangai isteri yang suka meminta dibelikan barangan sama seperti apa yang jiran-jirannya peroleh. Kumpulan 40 penyamun ini dilihat menjadi tempat aduan umum, khususnya golongan kaya.



P.Ramlee juga seolah-olah cuba menunjukkan Kumpulan 40 Penyamun ini turut terlibat di dalam urusan ekonomi melalui jawapan Chief apabila ditanya tentang perniagaan yang dijalankan oleh kekasihnya.

"Kanda meniaga import. Kanda tak pernah eksport. Lain orang eksport. Kanda Import."

Secara nyatanya, import bemaksud membawa sesuatu barang atau perkhdimatan itu masuk ke dalam negara dan memang benar, 40 penyamun menjalankan perniagaan import kerana mereka membawa masuk barang ke dalam gua persembunyian mereka. Semasa 40 penyamun berjaya menangkap Kasim Baba yang sedang leka mencuri di dalam gua, Chief telah memanggil salah seorang penyamun yang berpakaian seperti hakim dan menanyakan tentang hukuman yang sesuai dijatuhkan terhadap Kasim Baba. Nampaknya 40 penyamun ini turut memiliki sistem kehakimannya sendiri. Hakim berkenaan dengan yakin menjatuhkan hukuman bunuh walaupun perbicaraan tidak langsung dijalankan. Mereka juga turut mengumumkan cuti umum khas sempena menghormati kematian Kasim Baba dan ini dilakukan selaras dengan permintaan terakhir Kasim Baba.



Di dalam filem ini juga ada terdapat watak lelaki Cina yang dikenali sebagai Apek. Lelaki ini yang telah membantu menjahit mayat Kasim Baba dan peniaga ini ketika berbual dengan Sarjan kelihatan cukup gembira dan berbangga mendapat kerakyatan di Kota Baghdad. Apabila ditanya dia menjawab sudah 80 tahun tinggal di negeri ini namun umurnya baru 50 tahun. Tetapi menurut Apek bapanya telah tinggal di sini sudah 30 tahun jadi menunjukkan dan merasakan dirinya ialah sebahagian daripada negeri ini. Dia juga menganggap dirinya memiliki hak yang sama dengan warga tempatan lain di negeri ini ketika meleraikan pengeseran di antara pelanggan (warga tempatan) di hadapan kedai kasut miliknya.

"Tak usah gaduh. Gua pun local citizenship."

Sebelum dan selepas mencapai kemerdekaan, isu kerakyatan jus soli menjadi isu penting dan P.Ramlee menonjolkan isu berkenaan di dalam filem ini dengan cukup cemerlang. Beliau meletakkan bagaimana seorang Cina yang telah lama menetap kelihatan telah menyesuaikan diri dengan masyarakat setempat sehingga dapat membuka perniagaan sendiri.  


Pada babak penghujung filem ini Chief menyamar sebagai saudagar yang sudah bertaubat dan berpura-pura menjadi saudagar minyak. Namun niatnya untuk mengahacurkan keluarga Ali Baba. Sebagai seorang yang telah bertaubat Chief mengenakan jubah dan berkopiah. Penyamaran sebegini adalah berkesam kerana manusia akan tersentuh hati jika pakaian yang dipakai itu terkait dengan soal agama. Ketika berpelukan dapat dilihat bahagian belakang badan Ali Baba menghadap kamera dan Chief memperlihatkan mukanya yang jahat. Ini sebenarnya memberikan petanda bahawa sesuatu yang buruk bakal berlaku kepada belakang badan. Ternyata permainan petanda seperti itu amat menarik di dalam filem ini dan yang menjadi mangsa tikaman belakang badan ialah Chief yang ditusuk pisau oleh Marjina. Tikaman dari belakang oleh Marjina juga memberikan maksud sebenar bidalan 'tikam belakang' yang sering disebut orang. Chief yang cuba menikam belakang telah berjaya ditikam terlebih dahulu.


Inilah yang dimaksudkan dengan parodi kehidupan P.Ramlee meletakkan kehidupan kita seolah-olah ditadbir oleh 40 penyamun. Manakala 40 penyamun ini pula diandaikan seperti sebuah kerajaan. Memiliki disiplin dan organisasi yang elok, menyusun pergerakan dengan baik dan memiliki aturan pentadbiran yang sistematik walaupun hakikatnya penyamun, persis sebuah kerajaan yang dapat kita lihat di mana-mana di seluruh dunia pada hari ini. Parodi sebegini merupakan satu parodi yang bijak. Sindiran dan kritikan yang dikeluarkan memerlukan proses penghadaman yang bersesuaian untuk kita fahami maksud dan tujuannya. Ali Baba Bujang Lapok berada pada kelasnya yang tersendiri. 


No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078