Pages

Saturday, April 30, 2016

Sinopsis Dan Pengajaran Filem Bujang Lapok

MALAY FILM PRODUCTON LTD. Present Bujang Lapok
STARRING: S.SHAMSUDDIN AZIZ SATTAR P.RAMLEE
CO STARRING: ZATON NORMADAH
SUPPORTED BY: SITI TANJUNG PERAK SA'AMAH M.BABJAN SHARIFF DOL MALIK SUTAN MUDA WITH PRANI PRAMAT NEN JUNAINAH ROKIAH KEMAT HASSAN EM RAFEE BIBAH NYONG ISMAEL
INTRODUCING: DAYANG SOFIA RAHAYU MADJI
STORY: B.H.CHUA
SCREEN PLAY AND DIALOGUES: P.RAMLEE
CONTINUITY: KASSIM MASDOR
MUSIC & ARRANGMENTS: P.RAMLEE
LYRICS: S.SUDARMAJI
ORCHESTRA: B.YUSOFF
PLAYBACK SINGERS: ASIAH NEN JUNAINAH NORMADIAH JASNI P.RAMLEE
PHOTORAPHY: A.BAKAR.ALI
AUDIORAPHY: KAMAL MUSTAFA
EDITOR: H.R.NARAYANA
ART DIRECTOR: MUSTAFA YASSIN
LABORATORY: LIM YEW HAI
PROCESSING: WONG HONG PENG
STILLS: A.RAHIM
STILL PHOTO DEPT.: LEE LEONG HING
ASSISTANTS DIRECTOR: S.SUDARMAJI
CAMERA: YAAKOB MAHMUD
SOUND: CHUA SOH TONG
EDITORS: P.V.JOHN K.K.RAMAN
MUSIC: KASSIM MASDOR
PRODUCED BY: RUN RUN SHAW
DIRECTED BY: P.RAMLEE


Tahun Diedarkan: 1957 (November)
Masa Tayangan: 1 Jam 40 Minit


SINOPSIS BUJANG LAPOK

Ramlee, Sudin dan Aziz (tiga Bujang Lapok) menyewa bilik di rumah kepunyaan janda muda - Cik Norma. Ramlee bekerja sebagai 'salesman' (penjual ubat), Sudin kerani manakala Aziz pemandu lori. Sudin sedang berkasih-kasih dengan Zaiton, anak Cik Siti Tanjung Perak, yang tinggal bersebelahan mereka menyewa. Ramlee pula tidak menyedari yang dirinya dicintai Cik Norma sedangkan Aziz setakat ini belum ada sesiapa dihatinya. Dalam pada itu Sofia sering datang ke rumah Cik Norma untuk meminjam beras kerana kesimpatan hidup atas perbuatan ayah angkatnya yang kaki judi dan kuat minum arak.

Cik Siti mahu menjodohkan Zaiton dengan orang kaya tetapi dibantah oleh Zaiton dan ini membuatkan Cik Siti tidak senang dan terus menyerang emak Sudin apabila dia mendapat tahu dari Ayu (adik Zaiton) yang Zaiton sedang membuat hubungan sulit dengan Sudin. Dalam pada itu, Ramlee sering saja diperdayakan oleh wanita-wanita yang ditemuinya untuk dipikat. Ketika bersendirian di tepi sungai, Aziz menyelamatkan Sofia yang terjun ke dalam sungai untuk membunuh diri.

Aziz membawa Sofia ke rumah Cik Norma dan dia mendapat perlindungan di situ kerana Sofia menyatakan yang dirinya mahu diperkosa oleh seorang lelaki sebagai menebus hutang berjudi ayah angkatnya. Tetapi Sofia dapat dapat melepaskan dirinya. Ayah angkat Sofia datang untuk membawanya pulang dan dia telah menumbuk dan memukul Aziz dan Sudin kerana turut campur mengenai hal Sofia. Bagaimanapun dia mendapat tentangan dari Ramlee yang terus mengecam yang tindakannya itu seperti binatang dan menggalakkan persundalan.

Sementara itu, bagi menyelesaikan masalah antara Zaiton dengan Sudin, Ramlee telah mencadangan supaya Cik Norma menjadi orang tengah. Bila usaha dijalankan hasilnya berjaya di mana emak Zaiton berdamai dengan emak Sudin di samping emak Zaiton bersetuju supaya Zaiton dikahwinkan dengan Sudin dengan hantaran 1000 ringgit serba satu, dan dipersetujui emak Sudin. Sudin bimbang dengan nilai hantaran itu tetapi emaknya berjanji akan mendapatkan bantuan dengan membuat pinjaman daripada adik beradik Sudin. Ramlee dalam usahanya memikat wanita yang disukainya terus kena tipu, manakala Aziz dan Sofia merancang untuk berkahwin lebih-lebih lagi ayah angkat Sofia telah insaf dan sedar atas kesilapan yang dilakukannya dan merestui Sofia berkahwin dengan Aziz dan terus tinggal bersama Cik Norma.

Masalah Sudin mahu berkahwin dengan Zaiton timbul lagi apabila emak Sudin menyatakan yang adik beradik Sudin tidak dapat memberi pinjaman wang untuk dijadikan hantaran belanja. Bagaimanapun dengan menggunakan kepala otak Ramlee lagi, (Ramlee, Cik Norma, Sudin, Aziz dan Sofia) memujuk Zaiton supaya mengambil cincin berlian emaknya untuk digantikan dengan yang palsu. Dengan cincin tersebut, bolehlah digadaikan (ditebus semula kemudian) untuk dijadikan perbelanjaan perkahwinan Sudin dengan Zaiton. Hasil tipu helah cadangan Ramlee itu berjaya.

Sewaktu perkahwinan Sudin dengan Zaiton dan Aziz dengan Sofia sedang berlangsung, Ramlee kena tipu lagi apabila dia terpaksa menyerahkan semua pakaiannya kepada tauke restoran yang mana dia tidak mampu membayar harga makanan yang diminta oleh seorang kanak-kanak (yang sedang menunggu kakaknya) dan ketika mereka makan datang pula kakaknya dengan membawa ramai adik beradiknya dan memesan makanan. Keadaan majlis perkahwinan menjadi huru hara sebentar apabila Ramlee masuk dengan berpakaian seperti roti kirai (compang campeng) dan pada saat itulah Cik Norma menyatakan perasaan hatinya kepada Ramlee. Ramlee mengucap panjang, tidak disangkanya selama ini tuan rumah yang rumahnya disewa mencintai dirinya. Dengan tidak lengah lagi mereka pun mengadap Tok Kadi untuk berkahwin.

ULASAN & KRITIKAN

Setelah berjaya dengan tiga filem yang diarahkannya - "Penarek Becha" (drama), "Semerah Padi" (purba) dan "Panca Delima" (fantasi) - P.Ramlee beralih selera mengarah filem bercorak komedi pula. P.Ramlee begitu berminat dengan filem-filem lawak 'clapstik' 3 Stooges disamping Laurel & Hardy dan Charlie Chaplin. Oleh yang demikian, beliau telah mendapatkan cerita yang dihasilkan oleh B.H.Chua (saduran dari filem Cina yang mengisahkan peristiwa lucu yang berlaku di rumah pangsa di Hong kong) dengan dialog dan lakon layarnya dibuat sendiri oleh P.Ramlee. 3 Stooges mempunyai tiga watak komedi menggunakan nama sendiri - Moe, Curly dan Larry, dan filem ini juga menggunakan nama - Ramlee (P.Ramlee), Aziz (Aziz Sattar) dan Suidn (S.Shamsuddin). Nama sebenar digunakan bukan sahaja kepada Ramlee, Aziz dan Sudin saja tetapi meliputi semua pelakonnya antaranya Zaiton (Aton), Normadiah (Cik Norma), Dayang Sofia (Sofia), Siti Tg Perak (Cik Siti) dan Rahayu (Ayu).

Dalam pemilihan watak utama bagi menjayakan filem sulung bercorak komedinya P.Ramlee dikira berjaya kerana Aziz Sattar, S.Shamsuddin dan dirinya sendiri bersesuaian dengan peranan yang diwujudkan - tiga orang bujang lapok setengah tua yang mempunyai perangai dan ragam yang berlainan seperti juga Moe, Curly dan Larry. Dalam filem ini P.Ramlee boleh dianggap sebagai Moe dalam lawak jenaka 3 Stooges. Dari segi lakonan, boleh dikatakan filem ini berjaya.Berjaya menghiburkan penonton dengan telatah-telatah lucu oleh kesemua pelakonnya terutama P.Ramlee, S.Shamsuddin, Aziz Sattar, Siti Tg. Perak dan Rahayu Madji (anak S. Sudarmaji). Zaiton yang tidak pernah berlakon dalam filem komedi sebelum ini, tetapi P.Ramlee berjaya membentuk lakonannya membuat penonton ketawa lebih-lebih lagi apabila berbalah dengan adiknya (Ayu) dan emaknya (Cik Siti). Normadiah pernah berpasangan dengan P.Ramlee dalam "Perjodohan", oleh itu lakonannya tidak mengecewakan. Lakonan Dayang Sofia, biasalah sebaai pelakon baru peranannya tidak boleh dikategorikan baik. Dia lebih banyak berdrama daripada berkomedi.

P.Ramlee bukanlah 'comedian' tetapi telah menghasilkan sebuah filem yang boleh mentertawakan penonton, malah lawak P.Ramlee lebih sempurna jika dibandingkan "Perjodohan". Filem ini bukan sahaja memberi hiburan tetapi memberi banyak tauladan. Antara contohnya, jangan bernikah menggunakan perbelanjaan yang besar (berhutang) kerana hingga lahir ramai anak hutang tidak juga langsai-langsai. Jangan berjudi, kerana berjudi kadang-kadang membuat seseorang ayah itu sanggup menjual maruah anak perempuannya. Jangan memaksa anak berkahwin dengan orang yang tidak disukainya walaupun orang itu kaya dan berharta. Satu adegan yang boleh dianggap klasik dan sesiapa yang menonton pasti akan ketawa terbahak-bahak ialah ketika Aziz dan Sudin beria-ia benar menahan emak Sudin (lakonan Sa'amah) kerana Cik Normah berada di dalam bilik mereka bersama Ramlee (boleh dikatakan bercumbu walapun Ramlee sedang tidur dan bermimpi).

Lakonan yang dibawakan oleh Aziz dan Sudin sangat mencuit hati lebih-lebih lagi apabila Aziz berdepan dengan Cik Norma. Mimik dan kerut muka Aziz sangat-sangat melucukan. Cik Norma yang tersipu-sipu malu terus melompat ke dalam biliknya juga melucukan. Lain-lain adegan yang lucu dicipta oleh P.Ramlee yang tidak boleh dilupakan dan menjadi klasik ialah apabila Ramlee menjual ubat kepada Manager (Malik Sutan Muda) yang pada mulanya sudah bersetuju untuk membeli minyak wanginya tetapi apabila kalah dalam pertaruhan lumba kuda (mendengar melalui radio) dia membatalkan niatnya. Dialognya, "Rokok Radiocar, rasa curut" dan "Biarlah saya pakai minyak kelapa" juga sangat melucukan hati. Pertanyaannya kepada Sudin jam berapa dia datang bekerja juga melucukan. Habis semua jam dikira oleh Sudin akhirnya Manager Malik (garang tetapi baik hati) terpaksa memberikannya wang 2 ringgit untuk memperbaiki jamnya yang rosak di potong daripada wang gajinya.

Satu lagi dikira menarik, apabila Ramlee, Aziz dan Sudin mengadap makanan yang mereka masak sendiri kerana Cik Normah pinjamkan dapur. Mereka menjemput dia makan bersama. Ketika Ramlee memanggil Cik Normah dia tersasul beberapa kali termasuk memanggilnya "tuan khemah". Setelah Cik Normah menolak, dialog Sudin, "Mari kita cekik," pula membuat penonton ketawa. Tiga sifat yang berlainan dikemukakan P.Ramlee ketika adegan makan ini. Ramlee berkerut muka kerana lauk yang dimasak terlebih garam. Sudin asyik menggigit ayam yang keras macam kayu tetapi Aziz terus makan tanpa banyak kerenah. Katanya: "Waktu inilah Din, kalau batu sekali pun aku cekik". Pada keseluruhannya, bolehlah dianggap filem ini salah satu filem bercorak komedi yang terbaik diarahkan P.Ramlee. Kejayaan bukan sahaja diperolehi dari persembahannya tetapi juga sambutan dari peminat-peminat filem tempatan yang meminati P.Ramlee. Dan boleh dikatakan, setelah filem ini P.Ramlee lebih banyak mengarahkan filem bercorak komedi daripada genre yang lain.

IRAMA & LAGU

Hanya 4 lagu menghiasi filem ini:

  1. Resam Dunia (Dunia Ini Hanya Palsu) - P.Ramlee & Normadiah
  2. Manusia (Jasni & Nen Junainah)
  3. Nak Dara Rindu (P.Ramlee)
  4. Kampung Nelayan (Nona Asiah) Ciptaan & gubahan: P.Ramlee Lirik: S.Sudarmaji Muzik Iringan: Orchestra B.Yusoff
  • Manusia apabila dipiringhitamkan P.Ramlee & Saloma menyanyikannya.
  • Nona Asiah sering menyanyi berpadu suara dengan P.Ramlee tetapi inilah filem pertama dan terakhir dia menyanyi dalam filem arahannya. Suaranya digunakan Zaiton mendendangkan lagu Kampung Nelayan.


FAKTA & ANGKA


  • Filem pertama P.Ramlee mengarahkan filem bercorak komedi.
  • Filem pertama dibintangi Dayang Sofia. Selepas ini dia muncul dalam "Anak Pontianak" (arahan Ramon A.Estella) di samping Jins Shamsudin dan Hashimah Yon.
  • Filem kedua P.Ramlee menggunakan namanya sendiri P.Ramlee selepas "Juwita".
  • Filem kedua P.Ramlee memberi kepercayaan kepada A.Bakar.Ali menjadi jurugambar selepas "Panca Delima".
  • Filem kedua P.Ramlee melakonkan watak komedi (dalam kontek 'male actor in leading role') selepas "Perjodohan".
  • Inilah filem terakhir Siti Tg.Perak berlakon dengan P.Ramlee sebelum berpindah ke Cathay Keris. P.Ramlee seringkali berlakon bersama Siti Tg.Perak dengan membawa berbagai peranan termasuk sebagai ibunya - "Sedarah", "Merana" dan "Hang Tuah".
  • Siti Tg.Perak meninggal dunia di Singapura pada 6 Ogos 1992.


PENGAJARAN FILEM BUJANG LAPOK

Bujang Lapok (1957) muncul pada tahun Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Filem ini merupakan filem yang memaparkan masyarakat moden dengan pekerjaan di bandar. Kekalutan dan tekanan hidup masyarakat. Paparannya jelas. Masalah demi masalah. Isu demi isu kemudiannya wujud penyelesaian untuk setiap masalah itu. Ada juga masalah yang tidak diselesaikan dan dibiarkan tetap berlaku kerana dianggap sebagai norma dan sandiwara. Ini boleh kita rujuk di dalam babak P.Ramlee mengekori Perani yang telah menipunya sehingga ke rumah. Apabila di sampai di rumah Perani, Ramlee hilang punca dan tidak tahu untuk melakukan apa-apa melainkan hanya beredar dan menyaksikan sebuah sandiwara yang tidak mampu dihalang.

Filem ini bermula dengan unik dan boleh dilihat pada cara persembahan kredit pembukaan filem ini dilakukan. Bukan setakat wajah pelakon, malah wajah semua kru termasuk produser turut ditunjukkan. Ini seolah-olah mahu memperkenalkan kepada kita siapa yang ada di belakang P.Ramlee ketika menyiapkan filem ini. Bujang Lapok merupakan sebuah filem yang penting kepada P.Ramlee kerana tema dan strukturnya berbeza daripada dua filem awal yang diarahkannya dan ini kali pertama P.Ramlee bergaul dengan genre komedi sebagai seorang pengarah.

Berdasarkan kepada jalan ceritanya, Bujang Lapok boleh dianggap sebagai sebuah filem bercorak komedi romantik. Namun apa yang lebih menarik filem ini melangkaui satu aspek yang jarang-jarang diberikan oleh filem-filem Melayu waktu itu. Isu materialistik diangkat cukup tinggi di dalam filem ini. Dari awal hingga ke akhir filem isunya hanya tentang masyarakat materialistik. Sikap yang memandang kebendaan dan bagaimana sikap ini membawa kemusnahan kepada masyarakat itu sendiri. Masyarakat materialistik ialah masyarakat yang terbentuk hasil daripada sistem kapitalis dengan wang segala-galanya mungkin. Filem ini bermula dengan menonjolkan aspek pekerjaan setiap watak utama. Sudin bekerja di pejabat (mungkin kerani), Ramlee bekerja sebagai jurujual dan Aziz sebagai pemandu lori. Pekerjaan dan pendapatan merupakan asas kepada pembentukan sesebuah masyarakat yang materialistik.

Kita kemudian akan dapat melihat bagaimana kehendak manusia sentiasa tidak puas dan kadangkala melangkaui keperluan hidup itu sendiri. Di antaranya kita dapat melihat bagaimana Ramlee yang kesempitan wang boleh bergaya dan makan beef steak sedangkan itu ialah makanan dengan harga mahal. Jelas sekali kehendak dan keperluan merupakan sesuatu yang tidak dapat dibezakan dengan jelas oleh masyarakat, lebih-lebih lagi kepada golongan yang cuba untuk berlagak kaya sedangkan diri sendiri sebenarnya tidak memiliki kemewahan hidup.

Filem ini berjalan terus dengan sesuana sebuah rumah besar yang bilik-biliknya disewa oleh ramai orang. Rumah besar ini kepunyaan seorang janda kaya bernama Cik Norma. Gambaran di dalam rumah ini jelas menunjukkan struktur feudal, apabila amsyarakat berlindung di dalam rumah milik seorang kaya dan perlu membayar sewa untuk terus hidup di dalamnya. Namun, dalam Bujang Lapok, orang kaya yang bernama Cik Norma itu ditonjolkan sebagai seorang yang baik, bertimbang rasa dan sering membantu orang-orang yang tinggal di rumah sewanya. Malah, beliau juga merupakan orang yang disegani di kampung itu. Memaparkan watak sebagai perempuan seperti Cik Norma yang mendominasi, memiliki kuasa dan suaranya didengar oleh penduduk kampung merupakan sesuatu yang luar biasa dalam filem-filem Melayu waktu ini. P.Ramlee seolah-olah lari daripada amalan patriarki sebelum ini yang melihat perempaun sebagai golongan yang harus mendengar kata, lemah dan tidak memiliki kuasa.

P.Ramlee tetap P.Ramlee dan beliau tidak akan dapat lari daripada membicarakan soal penentangan kelas. Isu feudalis memerupakan isu yang sentiasa mahu diberikan perhatian oleh P.Ramlee di dalam setiap filem beliau. Beberapa dialog di dalam filem Bujang Lapok juga begitu. Isu kelas akan sentiasa menghambat perbualan setiap wataknya. Kita lihat sahaja dialog di antara Sudin dengan Zaiton ketika bertemu di suatu malam. Mengikut Sudin jika Zaiton berkahwin berkahwin dengan orang kaya maka peluangnya untuk menjadi janda adalah tinggi. Sudin mengandaikan orang kaya kerjanya selalu kelam kabut dan akan membawa kereta mewah milik mereka dengan laju. Ini menurut Sudin boleh mendedahkan orang kaya kepada risiko kemalangan maut. Zaiton pula membalas, berkahwin dengan orang kebanyakan boleh membawa kepada kehidupan yang tenang, boleh bersiar-siar di kaki lima dan tidak akan terdedah kepada risiko dilanggar dalam kemalangan jalan raya. Kemudian Sudin menambah lagi contoh risiko berkahwin dengan orang kaya, kita tidak boleh menaiki perahu atau kolekkerana orang kaya akan pakai barang-barang perhiasan emas yang banyak dan jika kolek atau perahu itu terbalik, orang kaya tidak mampu untuk berenang kerana terlalu berat dengan perhiasan emas. Penentangan kelas ini diteruskan dengan dialog di antara Zaiton dan emaknya lakonan Siti Tanjung Perak. Menurut emak Zaiton, berkahwin dengan orang kebanyakan tidak membawa apa-apa keuntungan dan kita perlu hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, tetapi jika berkahwin dengan orang kaya, hidup pasti senang sampai ke usia tua.

Di dalam filem ini juga digambarkan orang kaya itu sentiasa mahu berlumba-lumba untuk fasih di dalam bahasa Inggeris. Di dalam hal ini emak Zaiton memandang bahasa Inggeris itu sebagai lambang ketinggian status. Apabila mampu bertutur di dalam bahasa Inggeris masyarakat akan memandang tinggi kepada mereka. Ini dapat dilihat apabila emak Zaiton cuba bercakap bahasa Inggeris walaupun bunyinya salah. Bagi emak Zaiton, bahasa Inggeris perlu dipelajari sedikit demi sedikit untuk mengelakkan daripada dibodoh-bodohkan orang. Kita lihat bagaimana ibu Zaiton tetap mahu bercakap bahasa Inggeris dan mencuba seboleh-bolehnya walaupun kekok dan ketara salahnya.

Watak Ramlee di dalam filem ini merupakan watak penting dan watak ini merupakan sebab utama filem ini dibikin. Pada watak Ramlee inilah terletak niat P.Ramlee untuk menbikin Bujang Lapok. Ramlee itu, mewakili individu di dalam masyarakat yang yang benar-benar materialistik, walaupun terpaksa menjadi palsu serta hidup di luar kemampuan diri. Kita lihat semula ketika watak Ramlee pulang dari kerja dan mahu menyalin pakaian kita dapat melihat yang seluar dalamnya berlubang, walaupun hakikatnya pakaian kerjanya kemas dan bergaya. Begitu juga dengan Sudin, pakaian kerjanya kemas, bertali leher namun pakaian dalamnya koyak rabak. Ini satu lagi idea menarik untuk menonjolkan kecantikan luaran yang menampung keburukan dalaman individu. Ini yang dilakukan masyarakat secara keseluruhannya. Ini adalah asas kritikan yang disampaikan oleh P.Ramlee di dalam Bujang Lapok. Orang akan memandang luaran kamu, jadi jangan bimbang tentang hal dalaman kamu. Tutuplah dengan kecantikan, walaupun dalaman kamu sebenarnya hodoh.

Berbalik kepada watak Ramlee. Beliau sebenarnya terlalu inginkan kekayaan. Mahu hidup mewah, bergaya dan sentiasa senang hati. Melalui perilakunya sahaja kita sudah mengetahui bahawa bagi Ramlee kekayaan merupakan jalan paling mudah untuk mendapatkan cinta dan jodoh. Jadi tidak hairan, walaupun beliau tidak ada wang, tapi beliau tetap mahu keluar ke bandar dan singgah di restoran mahal untuk membelanja gadis cantik makan. Ramlee sanggup meminjam wang semata-mata untuk memenuhi tuntutan dirinya yang mahu kelihatan seperti orang kaya dan perkara paling buruk dilakukan Ramlee ialah meminta Sudin meminjamkan duit emaknya untuk dia keluar ke bandar. Watak Ramlee sering dilihat bijak memberikan nasihat atau memberikan penyelesaian terhadap masalah. Tetapi hakikatnya dia tidak mampu untuk menyelesaikan masalah sendiri. Lebih parah, setiap masalah yang timbul di dalam hidup Ramlee merupakan masalah yang dicari dan diciptanya sendiri. Ketika hasrat Sudin untuk berkahwin sudah diketahui, Ramlee meminta Sudin bekerja kuat untuk menyimpan wang, namun hakikatnya dia sendiri tidak mempunyai wang. Ramlee telah ditipu oleh dua perempuan yang ditemuinya dan pertemuannya dengan Perani begitu mengesankan. Ini dapat dilihat dalam dialog di antara Perani dengan ibunya yang membongkar mengapa Perani menipu Ramlee. Perani menyatakan bahawa apabila manusia berkata jujur, tidak bercakap banyak dan baik hati maka mereka akan senang dipijak, tetapi kalau berkata bohong, menipu dan meninggikan diri maka orang akan memandang mulia. Ini merupakan satu babak yang memberi kesan dan sekali lagi hal materialistik dan kepincangan masyarakat akibat wang jelas menjadi subjek utama untuk filem ini.          

Satu lagi hal menarik di dalam filem Bujang Lapok ialah penekanan serius terhadap masalah korupsi atau rasuah yang berleluasa dalam kalangan masyarakat. Ini dijelaskan melalui peranan adik Zaiton bernama Ayu yang sering meminta upah berjumlah 20 sen untuk menutup mulut daripada membongkarkan semua rahsia kakaknya. Ayu diletakkan dalam kerangka antagonis dan hidup dalam budaya makan suap yang ketara. Beliau hanya akan menyebelahi orang yang memberinya wang. Watak Pak Nyong merupakan salah satu sindiran paling ketara P.Ramlee terhadap masyarakat Melayu ketika itu dan masih relevan kritikan berkenaan sehingga kini. Pada babak awal Bujang Lapok ketika mereka membawa pulang ayam dan meminta Pak Nyong membantu mereka menyebelih ayam itu, Pak Nyong sempat menyindir Bujang Lapok sambil menyebut dengan maksud kalau Bujang Lapok sudah berkahwin tentu senang kerana ada yang akan memasak dan melayan mereka. Kenyataan Pak Nyong ini seolah-olah membuktikan perkahwinannya bahagia dan sentiasa gembira.

Namun hakikat sebenar perkahwinan Pak Nyong ditelanjangi P.Ramlee di dalam babak yang melihatkan pergaduhan besar di antara Pak Nyong dengan isterinya. Pergaduhan itu dapat disimpulkan sebagai dendam Pak Nyong terhadap keluarga isterinya kerana ketika mereka mahu berkahwin dulu, keluarga isteri Pak Nyong mengenakan bayaran hantaran yang mahal dan Pak Nyong terpaksa berhutang untuk berkahwin dan sehinggalah mereka memiliki tiga anak, hutang masih belum selesai. Keadaan ini seterusnya menimbulkan keruncingan kewangan kepada keluarga. Pak Nyong dan mengekang mereka untuk hidup bahagia.

"Ceraikan aku! Ceraikan aku! Ceraikan aku! Kau tak guna jadi jantan! Jantan tak malu! Kau! Kau!"

"Apa yang kau merepek yang bukan-bukan ini? Apa kurang aku kasi sama kau?!"

"Ya! Memang kurang! Asal aku minta kau marah! Asal aku minta kau murah! Cuba kau tengok orang sebelah tu! Nah! Gelangnya! Aku semayang emas pun tak pernah kau belikan!"

"Siapa yang bersalah dalam soal ini? Siapa yang bersalah?! Ini semua mak bapak kau yang punya salah. Waktu aku kahwin dulu dengan engkau, mak bapa kau minta wang sampai lima ribu. Aku tidak ada wang! Aku pinjam Benggali. Sekarang dah ada sampai ada tiga anak. Hutang Benggali pun belum habis-habis dibayar. Kau tau? Bunga makin naik! Mak bapa kau yang salah!"

"Kalau mak bapa aku minta lima ribu, kenapa mak bapa engkau terima?"

"Sebab kau berjanji! Kau nak sehidup semati dengan aku itu sebab aku terima. Kalau aku tahu kau nak minta cerai begini, aku tak ingin sama kau!"

Isu berhutang dalam perkahwinan dibincang dengan baik, ringkas dan padat dalam Bujang Lapok. Ibu Sudin juga begitu, memiliki kecenderungan untuk berhutang . Ibu Sudin memberi cadangan kepada Sudin supaya jangan bimbang tentang soal wang untuk berkahwin kerana boleh meminjam dengan saudara mara. Ini satu lagi sikap negatif masyarakat yang sehingga kini menjadi beban. Berkahwin secara besar-besaran dengan cara berhutang dan akhirnya menjejaskan kebahagiaan keluarga. Isu hutang dalam perkahwinan ini disangkal dengan baik oleh Aziz. Bagi Aziz perkahwinan secara besar-besaran ini semata-mata membazir dan akan membawa lebih banyak musibah.

"Oi kichi, bunga takde, pokok takde, saya saman court dalammmmmm....."

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078