Pages

Saturday, April 30, 2016

Legenda Bola Sepak Malaysia M. Govindarajoo




Pegawai kanan polis, pemain sayap kiri yang lincah serta pemenang Pestabola Merdeka, Sukan SEA dan Sukan Asia.

Tiga peranan ini menggambarkan kehebatan mendiang M. Govindarajoo. anak jati Butterworth, Pulau Pinang. Dia bagaimanapun lebih banyak mencipta nama bersama Selangor selain menyarung jersi Malaya dari tahun 1952 hingga 1965. Dia seangkatan dengan jagoan silam Malaysia seperti Raja Bola, Allahyarham Tan Sri Ghani Minhat, Mendiang Sexton Lourdes, Allahyarham Ahmad Nazari Min Zohari, Datuk Ng Boon Bee, Robert Choe, Chan Tuck Choy, Allahyarham Rahim Omar dan Allahyarham Jalil Che Din. Mereka merupakan skuad Malaya pertama yang menjuarai Pestabola Merdeka 1958 malah kekal tanpa kalah selepas menewaskan Indonesia 3-2, Hong Kong 3-0, seri 0-0 dengan Singapura dan Korea Selatan 2-0 dalam format persaingan liga satu pusingan.

Lahir pada 9 Januari 1933, Govindarajoo juga membantu Malaya memenangi pingat gangsa Sukan SEAP Bangkok 1959 sebelum melebarkan rekod itu kepada sebutir emas temasya Rangoon 1961. Di Bangkok, Malaya menundukkan Burma 2-1 dikalahkan Thailand 3-1 dan menewaskan Vietnam Selatan 2-1 untuk berada di tangga ketiga liga manakala di Rangoon, mereka menewaskan Kemboja 4-0, Burma 2-1 dan 2-0 (akhir) serta seri 2-2 dengan Thailand.

Turut menyebelahi mereka apabila Jawatankuasa Pertandingan Sukan SEA Rangoon mengundi Malaysia mara ke perlawanan akhir setelah kedudukan 2-2 masih terikat menentang Thailand walaupun sehingga masa tambahan. Terdahulu pada tahun 1959, dia dipilih menganggotai kesebelasan Malaya menentang Pilihan FA England yang diketuai Tom Finney dan memenangi perlawanan persahabatan dengan keputusan 4-2 di Stadium Merdeka.

Dia kemudian menyertai skuad pemenang pingat gangsa Sukan Asia Jakarta 1962 yang berdepan kekalahan 2-1 dalam masa tambahan kepada Korea Selatan, sekaligus menafikan kemaraan mereka ke perlawanan akhir. Turut bersama Govi ketika itu termasuklah Kamaruddin Ahmad, Mahat Ambu, Boey Chong Liam, Roslan Buang, Richard Choe, Edwin Dutton, Foo Fook Chuan, Stanley Gabrielle, Tunku Ismail Ibrahim Mydin, Inder J.Singh dan Yee Sin Choy.

Di Stadium Senayan, Jakarta, mereka turut mencatat rekod jaringan terbesar Malaya yang bertahan sehingga ke hari ini apabila membelasah Filipina 15-1 pada 26 Ogos 1962 selain mengesahkan pingat gangsa dengan membenam Vietnam Selatan 4-1 sekitar seminggu kemudian. Govi yang berpangkat Asisten Supritenden meninggal dunia ketika berusia 51 tahun pada 1 Julai 1984 akibat serangan jantung selepas rebah ketika berjoging. 

Dia meninggalkan isteri, Sarasvathi Rajan dan empat orang anak - Mangayakarasi, Thilagaganesh, Shoba dan Rathimalar. Jasa mendiang yang pernah mengetuai pasukan negara dalam Piala Kemerdekaan Vietnam Selatan, turut dikenang Zulkifli Norbit - sayap kiri Malaysia yang menjuarai Pestabola Merdeka 1968. "Saya tidak akan melupakan jasa dia sampai bila-bila ketika mula mewakili Polis Selangor dalam persaingan Liga Perdana. Dialah individu pertama yang memberikan perangsang dan tunjuk ajar kepada saya supaya terus bergiat dalam sukan ini," kata Zulkifli.  

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078