Pages

Friday, February 5, 2016

Legenda Bola Sepak Malaysia Abdul Rahim Abdullah


Tiada siapa menaruh harapan kepada skuad negara untuk layak ke Sukan Olimpik Munich di Seoul, Korea Selatan, termasuk pemain sayap kanan, Abd Rahim Abdullah.

Apatah lagi dengan reputasi Jepun selaku pemenang pingat gangsa bola sepak Sukan Olimpik Mexico 1968 dan keazaman tinggi pasukan tuan rumah apabila melakukan persediaan di Amerika Selatan bagi kelayakan kumpulan Asia Timur itu. Skuad negara bimbingan pengurus dari Scotland, Dave Mclaren juga tewas dalam satu aksi persahabatan menentang kelab tempatan sebelum itu, namun tanggal 2 Oktober 1971 menyaksikan segala keraguan berjaya dilenyapkan malah mencipta sejarah terulung buat sukan bola sepak Malaysia.

Tuah beraksi dalam cuaca hujan di Stadium Seoul turut memainkan peranan apabila Abd Rahim and Co. berjaya membuat kejutan dengan meraih tiket Olimpik Munich selaku juara kumpulan yang turut mengandungi Taiwan dan Filipina. Bekas pegawai polis berpangkat Supritenden ini mengimbas, "Kami tidak begitu serius dalam perlawanan pertama menentang Jepun yang memiliki penyerang kembar handalan Asia, Ruichi Sugiyama dan Kunishige Kamamoto.

"Tuan rumah pula seperti sengaja menjadikan kami dengan Jepun terlebih dahulu. Seolah-olah mahu melihat kami didera lawan yang bereputasi hebat di Olimpik sebelum mereka menentang Malaysia, dua hari kemudian," Namun formasi 4-2-4, pengenalan sweeper dan taktik serangan balas pantas Mclaren berjaya menjerat Jepun 3-0 hasil dua jaringan daripada Syed Ahmad Abu Bakar dan Looi Loon Teik sebelum Syed Ahmad kembali mengejutkan pasukan tuan rumah menerusi tandukan.

Antara rakan sepasukan Abd Rahim yang diberikan sambutan wira dan diarak dengan berkereta sebaik kembali ke tanah air, khususnya di barisan serangan ialah Mohamad Bakar, Wan Zawawi Yusof, Yap Eng Kok, Salleh Ibrahim, V.Kalimuthu dan Wong Chong Wah. Anak jati Nibong Tebal, Pualau Pinang ini kemudian mencipta satu lagi sejarah dan kenangan manis apabila menikmati pengalaman beraksi di Sukan Olimpik Munich pada 27 Ogos 1972 beraksi selama 61 minit sebelum digantikan oleh Loon Teik.

"Saya tercedera dalam perlawanan itu sekaligus terlepas peluang untuk baki aksi Kumpulan A ketika Malaysia menewaskan Amerika Syarikat 3-0 dan tewas kepada Maghribi 6-0." Lahir pada 12 September 1947, Abd Rahim meraih penampilan sulung di peringkat antarabangsa semasa Piala Kemerdekaan Vietnam Selatan 1971 selepas membantu Perak menjuarai Piala Malaysia 1970. Dia kemudian menyertai Selangor pada tahun 1971 atas sebab-sebab kerja.  

Bekas penjaring terbanyak MSSM dan pemenang Piala Burnley dengan Pulau Pinang ini juga pernah membawa Selangor memenangi Piala Malaysia, menewaskan Perak dan Terengganu dalam perlawanan akhir 1971 hingga 1973. Abd Rahim turut dikenang dalam kejayaan Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka 1973 selepas menewaskan Kuwait 3-1, menjadi penyumbang kepada salah satu gol tandukan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.

Dia bagaimanapun bersara setahun kemudian akibat kecederaan belakang namun sempat menjaringkan satu gol dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 1973 Kumpulan A2 di Seoul ketika Malaysia menewaskan Thailand 2-0. Dia mengikut jejak Mohamad Bakar dan Datuk M.Chandran sebagai pemain ketiga daripada skuad Olimpik Munich 1972 yang menceburi karier kejurulatihan dengan menguruskan pasukan negara.

FAM mengarahkan Abd Rahim untuk mengemudi skuad negara ke Sukan SEA Manila 1991 selepas dia membantu Datuk Ahmad Shafie di Sukan Asia Beijing 1990. Namun skuad negara, yang menerima bantuan Bakri Ibni (tonggak juara Kelayakan Olimpik 1980) di kejutkan Filipina 1-0 dalam temasya itu walaupun terdahulu membuat persediaan dengan menentang England yang menewaskan Malaysia 4-2. Abd Rahim akhirnnya meletakkan jawatan selepas kecewa dengan prestasi pasukan yang disifatkan berpunca daripada kebanjiran pemain import di Liga Semi Pro negara sejak tahun 1989. 


SUMBER: Wikipidea

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078