Pages

Tuesday, January 5, 2016

Sinopsis Filem Pendekar Bujang Lapok

Pendekar Bujang Lapok

(SB) MALAY FILM PRODUCTION PRESENTS PENDEKAR BUJANG LAPOK
STARRING: S.SHAMSUDDIN AZIZ SATTAR P.RAMLEE
WITH: MUSTARJO AHMAD NISFU SHARIFF DOL IBRAHIM PENDEK ANNI JASMIN
SUPPORTED BY: A.RAHIM ALI FIJI AHMAD C. OMAR SUWITA KEMAT HASSAN IBRAHIM HASSAN AHMAD GHANI MOHD RAFI'I S.SUDARMAJI
INTRODUCING: ROSE YATIMAH MOMO LATIFF
STORY: MADJILEE
SCREENPLAY: P.RAMLEE
DIALOGUE: P.RAMLEE
MUSIC ARRAGEMENTS & ORKESTRA: P.RAMLEE
PLAYBACK SINGERS: SALOMA P.RAMLEE MALINDO TRIO
DIRECTOR OF PHOTOGRAPHY: A.BAKAR.ALI
1958 GOLDEN HARVEST AWARD
AUDIOGRAPHY: KAMAL MUSTAFFA & YAP POH KAI 
DIRECTOR: MUSTAFA YASSIN
ART EDITOR: H.R.NARAYANA
PROCESSING: CHOW CHENG KOK
PRODUCTION MANAGER: KWEK CHIP JIAN
STUDIO SUPERVISOR: S.Y.HSU
ASSISTANTS DIRECTOR: S.SUDARMAJI
PHOTOGRAPHY: M.YAAKOB
SOUND: CHUA SHO TONG
EDITOR: K.K.RAM
MUSIC: KASSIM MASDOR
PRODUCED BY: RUN RUN SHAW
DIRECTED BY: P.RAMLEE


TAHUN DIEDARKAN: 1959 (Januari)
MASA TAYANGAN: 1 Jam 50 Minit

Filem Pendekar Bukang Lapok merupakan sebuah filem Melayu yang diterbitkan di Malaysia pada tahun 1959. Filem Pendekar Bujang Lapok diterbitkan dalam bentuk filem hitam putih tanpa warna. Filem Pendekar Bujang Lapok diarahkan oleh pengarah Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pada tahun 1959.
Kisah ini bermula apabila 3 rakan baik menyaksikan sendiri tentang kehebatan Pendekar Mustar menewaskan dua orang samseng (pekerja penambang perahu) di Penambang Sampan Sungai Kemunting. Ramlee, Sudin dan Aziz pergi mencarinya hingga sampai ke Kampung Pinang Sebatang. Tujuan tiga orang bujang lapok ini ialah untuk belajar silat dengan Pendekar Mustar.
Sebelum sampai ke rumah Pendekar Mustar, mereka telah bertemu dan mengekori Rosnah (kebetulan pula dia anak Pendekar Mustar) yang pulang ke rumah setelah habis mengajar (menjadi guru) di Sekolah Umum Buta Huruf di Kampung Pinang Sebatang itu.
Kerana tidak suka dengan perangai Ramlee, Sudin dan Aziz ketika mengusik dan mengekorinya sampai ke rumah, Rosnah mengadu kepada bapaknya (Pendekar Mustar) yang mereka bertiga itu menganggunya dan menuduh sebagai pencuri. Oleh yang demikian, Pendekar Mustar mencabar Ramlee, Sudin dan Aziz untuk berlawan silat. Bagaimanapun, hatinya lembut apabila mereka berjaya mematikan langkah Pendekar Mustar (dengan mengangkat dan mendukungnya) serta menyatakan hasrat kedatangan mereka untuk belajar silat.
Tindakan Pendekar Mustar itu telah membuatkan Rosnah marah. Dan bila bertemu dengan emaknya Rosnah berkata: "Bencilah bapak tu, bila jumpa orang terus bawa naik rumah". Begitu pun juga, bila emaknya bertemu dengan Ramlee, Sudin dan Aziz dia menyukai mereka juga. Sikap Rosnah menjadi masalah bukan saja kepada Pendekar Mustar tetapi juga Ramlee, Sudin dan Aziz.
Dalam pada itu, tauke sampan yang lebam-lebam di mata serta pekerja-pekerjanya yang berlagak samseng (Pendekar Mustar menganggap mereka samseng taik minyak) yang kena belasah oleh orang-orang di penambang ekoran kehandalan yang ditunjukkan oleh Pendekar Mustar, telah menyuruh tiga orang samseng mencari rumah Pendekar Mustar dan juga tiga orang Bujang Lapok.
Risaukan Ros (nama timangan Rosnah) tidak menyukai mereka berada di rumah tersebut, Ramlee, Sudin dan Aziz cuba mengambil hatinya dengan menyanyikan lagu "Maafkan Kami". Berikutan itu, hati Rosnah menjadi lembut dan mula menyukai mereka. Apabila sudah diketahui tempat Pendekar Mustar dan Bujang Lapok berada, tauke sampan datang ke rumah Pendekar Mustar membuat tuntutan ganti rugi bernilai 74 ringgit 71 sen atas kerugian dialaminya ketika berlaku pergaduhan di Penambang. Tetapi Pendekar Mustar beserta Ramlee, Sudin dan Aziz enggan membayar.
Bila Rosnah muncul, tauke sampan yang mata keranjang terpikat dengan kejelitaan Rosnah dan membuat syarat hutang boleh selesai sekiranya Pendekar Mustar mahu mengahwinkan anaknya Rosnah dengannya. Rosnah marah dan menolak. Ramlee, Sudin dan Aziz pula cuba berlagak menunjuk kehandalan bersilat walaupun mereka baru saja diajar Pendekar Mustar.
Begitupun juga gertakan Ramlee, Sudin dan Aziz berjaya juga membuatkan tauke sampan serta orang-orangnya meninggalkan rumah Pendekar Mustar. Tetapi tiba-tiba Aziz menjerit kesakitan terkena batu yang dilontar oleh salah seorang samseng yang mengenai dahinya. Tanya Pendekar Mustar: "Kenapa kau tak elak". Jawab pula Aziz: "Bagaimana saya nak elak, ilmu elak batu Pak Cik belum ajar lagi". Semua mereka ketawa.
Ketika belajar isem, apa yang dikata oleh Pendekar Mustar lain pula yang ditulis oleh Ramlee, Sudin dan Aziz. Dengan itu tahulah Pendekar Mustar yang tiga Bujang Lapok itu tidak tahu menulis dan membaca. Maka Pendekar Mustar pun memerintahkan supaya Ramlee, Sudin dan Aziz pergi belajar di sekolah buta huruf bergurukan Cikgu Rosnah.
Semasa belajar silat masing-masing cuba memikat Rosnah bagaimanapun Ros lebih menunjukkan minatnya terhadap Ramlee. Bagi meneruskan ilmunya dan menentang "cubaan", Pendekar Mustar menyuruh Aziz ke perigi buta, Sudin ke rumah kosong yang telah lama ditinggalkan dan Ramlee pula di arahkan ke kubur. Bagaimanapun masing-masing gagal menghadapi "cubaan" yang dimahukan Pendekar Mustar. Kerana belum apa-apa lagi mereka sudah cabut lari.
Selepas itu, Pendekar Mustar menyuruh mereka ke kubur orang yang mati dibunuh dan kali ini mereka bertekad tidak akan takut dan lari, mereka tetap akan menentang "cubaan". Sewaktu mereka sedang menuntut, Pendekar Mustar telah diserang samseng-samseng tauke sampan dan diikat bersama isterinya dan juga pembantu rumahnya. Rosnah pula dibawa lari untuk diserahkan kepada tauke sampan. Walaupun Ros dilarikan di depan mata mereka dan meminta tolong, namun mereka tidak mempedulikannya dan menganggapnya sebagai "cubaan".
Pendekar Mustar dan pembantu rumahnya (Aini) bermacam-macam cara menerangkan yang Ros dilarikan oleh samseng-samseng adalah betul-betul terjadi bukannya "cubaan", namun Ramlee, Sudin dan Aziz tetap menganggapnya "cubaan" juga hingga menyebabkan Pendekar Mustar menghempas-hempaskan dirinya di tanah. Cuma, setelah diberikan penjelasan sejelas-jelasnya oleh isteri Pendekar Mustar, ibu Rosnah, barulah mereka tersedar dari lamunan "cubaan" lalu tidak membuang masa lagi mereka pergi menuju ke rumah tauke sampan untuk menyelamatkan Rosnah.
Ramlee, Sudin dan Aziz dengan menggunakan ilmu yang dipelajarinya telah menewaskan ke semua samseng-samseng itu termasuklah ketuanya, tauke sampan. Ros dapat diselamatkan. Di atas keberanian mereka itu menentang samseng-samseng beserta menangkap ketuanya dan menyelamatkan Ros, Pendekar Mustar menggelarkan Ramlee, Sudin dan Aziz – "Pendekar Bujang Lapok".


Pendekar Bujang Lapok (1959) sebuah lagi filem satira garapan yang cantik daripada P.Ramlee. Filem ini secara umumnya mengambil tema gangster dan memberikan suntikan parodi kepada dunia gangster Melayu Tidak salah jika kita katakan ini merupakan filem terawal yang menyindir gangster. Kita dapat lihat dari segi penampilan gangster di dalam Pendekar Bujang Lapok cukup simbolik dari segi penampilan, percakapan, gerakan, pakaian dan operasinya. Pertama kita lihat pada pakaian mereka, berpakaian hitam dan putih dengan tiga jalur terpampang jelas pada badan setiap anggota gangster ini. Kita tinggalkan kisah tiga jalur ini terlebih dahulu, biarkanlah ia terus menjadi misteri.


Kita dapat melihat yang semua anggota gangster yang menjaga kawasan penambang ini cukup liat dan angkuh. Mereka bercakap dan bertindak kasar terhadap orang awam dan mereka menjadikan penambang itu sebagai ‘negara’ mereka sendiri. Selain daripada melakukan kekasaran, gangster ini juga korup dengan menggelapkan wang tambang, mencuri pisang milik orang ramai, mengamalkan kronisme serta nepotisme dan sebagainya. Aspek pengamalan kronisme dan nepotisme dengan mendahulukan kepentingan peribadi dan keluarga sendiri berbanding kepentingan masyarakat secara seluruhnya amat berleluasa di penambang berkenaan. Kita dapat melihat bagaimana orang ramai yang tidak mempunyai kepentingan terpaksa beratur dalam jangka masa yang cukup lama, namun apabila ahli keluarga atau kenalan terdekat anggota gangster ini datang, mereka diberikan layanan cukup mesra, malah mereka dibenarkan memotong barisan dan diberikan hak untuk menaiki sampan tanpa perlu beratur seperti orang lain.

P.Ramlee dan kutukan serta sindiran terhadap feudalisme sememangnya tidak dapat dipisahkan. Kita dapat melihat yang gangster-gangster ini hanya menjadi aparatus kepada pemilik penambang dan sampan lakonan Ahmad Nisfu. Dari segi penampilan, Ahmad Nisfu kelihatan segak seperti berpakaian seorang berbangsa Inggeris dan jelas memiliki status tinggi kerana memiliki kereta. Kita dapat melihat bagaimana gangster-gangster yang tadinya ganas dan liar memukul serta mengherdik orang awam, kelihatan tunduk hormat, bercakap penuh sopan dan mencium tangan si kaya dan penaung mereka. (Mungkin sahaja Ahmad Nisfu ialah lambang penjajah Inggeris dan samseng menjadi lambang orang tempatan yang menjadi tali barut penjajah).

Hierarki merupakan elemen terpenting di dalam feudalisme dan hierarki di dalam Pendekar Bujang Lapok telah digariskan awal-awal lagi apabila Ahmad Nisfu memberikan arahan kepada Sharif Dol untuk menutup mulut Pendekar Mustar, Sharif Dol pula telah menyuruh orang-orang di bawahnya untuk melaksanakan arahan yang diberikan oleh Ahmad Nisfu. Ini merupakan bentuk feudalisme yang paling mudah dikesan dan masih wujud dengan jayanya di dalam masyarakat kita pada hari ini. Bentuk feudalisme ini juga boleh ditafsirkan sebagai birokrasi yang melemaskan. Rantaian arahan yang akhirnya menjerut leher sendiri.

Gangster-gangster di penambang ini juga hanya berani terhadap golongan yang lemah dan pada fikiran mereka tidak mempu melawan. Lihat bagaimana getarnya ketua gangster lakonan Shariff Dol apabila digertak oleh Pendekar mustar dan lihat bagaimana kelam kabutnya gangster-gangster ini apabila warga penambang bangun melawan.           

Kira-kira 15 minit awal filem ini kita dilihatkan dengan babak pembukaan yang cukup baik, malah boleh disifatkan sebagai yang paling baik dalam dunia perfilemen melayu. Babak awal di penambang ini boleh diibaratkan sebagai sebuah filem pendek dan bukan sekadar pemula sebuah filem berdurasi panjang. Babak ini bermula dengan sampan menghampiri penambang dalam keadaan penambang dilihat aman tanpa sebarang masalah. Namun, di penghujung babak ini, kita dapat melihat sampan menjauhi penambang dalam keadaan penambang kecoh dengan insiden pergaduhan di antara warga penambang dengan gangster-gangster yang menunjuk belang sedari awal. P.Ramlee bijak menggunakan ruang yang ada dan beliau menjadikan sampan sebagai ssubjek membuka dan menutup babak berkenaan. Babak pergaduhan di penambang juga ialah babak yang cukup asli, insiden yang nampak seperti benar-benar berlaku. Kita dapat merasai kekecohannya dan kita dapat merasakan bagaimana warga penambang itu melepaskan rasa marah semahu-mahunya terhadap gangster-gangster yang menjaga penambang.

Semasa babak di penambang ini juga dipaparkan beberapa syot-syot dekat wajah-wajah golongan tua yang dilihat termenung dan tidak memiliki sebarang reaksi atau berinteraksi dengan apa yang terjadi di sekeliling. Ini seolah-olah memberikan makna mereka (golongan tua) sudah lali dengan kezaliman yang melanda dan sudah tidak mahu lagi masuk campur (sudah lelah melawan barangkali).

Babak di penambang ini juga melihatkan keupayaan dan kepintaran P.Ramlee di dalam menggambarkan kebangkitan rakyat yang mampu mencetuskan kebangkitan dan revolusi, namun hasilnya tidak kemana. Kita dapat lihat bagaimana rakyat ditindas, kemudian muncul watak Pendekar Mustar yang menunjukkan keberanian dan bangun melawan. Melalui keberanian Pendekar Mustar ini rakyat di penambang mendapat suntikan semangat untuk melawan. Malangnya, Pendekar Mustar hanya melawan mewakili diri sendiri dan bukannya mahu membela nasib keseluruhan warga di penambang.

Ini dapat kita lihat apabila sebaik sahaja menunjukkan kegagahan memukul samseng di penambang, Pendekar Mustar beredar dengan sampan meninggalkan warga penambang untuk terus ditindas. Kemudian muncul pula sosok Ramlee, Aziz dan Sudin yang cuba meniru kaedah yang digunakan oleh Pendekar Mustar dan kehadiran tiga lelaki itu yang kemudiannya kita dapat ketahui mereka adalah Bujang Lapok, hadir tepat pada masa dan mencuri perhatian warga di penambang. Akhirnya kita dapat melihat gelombang kebangkitan dan tujuan mereka juga hanya untuk menaiki sampan. Di sini kita dapat simpulkan bahawa, kebangkitan rakyat untuk melawan penindasan sering dikecewakan dengan tindakan segelintir pemimpin kebangkitan yang mementingkan diri sendiridan mahu memenuhi kepentingan diri sahaja. Namun isu terpenting dalam filem Pendekar Bujang Lapok ialah kebangkitan melawan kezaliman tidak akan kemana-mana dan tidak akan memberikan sebarang hasil jika kita melawan tanpa pendidikan dan akal.

Sudah tentu babak paling kontroversi dalam filem Pendekar Bujang Lapok ialah babak ketika Ramlee,Aziz, dan Sudin baru tiba di Kampung Pinang Sebatang dan melintasi sebuah sekolah untuk oang-orang tua yang dikenali sebagai Sekolah Umum Buta Huruf. Apa yang menarik, Sudin walaupun dia tidak tahu apa-apa tetapi dia memiliki tahap keyakinan yang tinggi untuk muncul sebagai watak bodoh sombong. Watak yang konon mengetahui semua perkara. Watak ego.

Lihat bagaimana 
  

ULASAN & KRITIKAN

Setelah menggelikan hati penonton menerusi "Bujang Lapok", sekali P.Ramlee mengelak ketawakan dengan telatah lucu Ramlee, Aziz dan Sudin yang lebih mantap lagi. Boleh dikatakan dari awal lagi penonton telah disajikan dengan kelakar-kelakar yang menarik membuatkan penonton ketawa walaupun tidak terbahak-bahak. Cerita dihasilkan bersama P.Ramlee dan S.Sudarmaji (Madjilee). Namun kemungkinan ia disadur dari filem Cina adalah besar berpandukan kepada pakaian yang dipakai pelakon-pelakonnya terutama sekali samseng-samsengnya. Kalau "Bujang Lapok" membawa kita ke masyarakat moden, filem ini P.Ramlee membawa kita ke masyarakat kampung yang mana penduduknya masih ramai yan buta huruf walaupun telah berumur lanjut. Dalam pada itu ada pula di kalangan orang kampung yang cerdik sedikit mengambil kesempatan kelemahan orang kampung dengan menunjukkan lagak samseng, membuli dan mengugut. Bagaimanapun di antara mereka ada juga pendekar yang boleh mengajar tauke dan pengikut-pengikutnya termasuklah Ramlee, Aziz dan Sudin yang belajar ilmu pendekar dari Pendekar Mustar Pinang Sebatang.

Filem ini memang menggelikan hati dan sudah kena pada tempatnya dianugerahkan dengan Anugerah Komedi Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik yang diadakan di Kuala Lumpur dan telatah-telatah Ramlee, Aziz dan Sudin merupakan kekuatan filem ini. Tidak boleh dinafikan lakonan mereka tetap memuaskan. Turut memberikan lakonan berkesan Mustarjo sebagai Pendekar Mustar dan Ahmad Nisfu sebagai tauke sampan. Rose Yatimah (anak Neng Yatimah dengan penyanyi Jasni) walaupun ini filemnya yang pertama lakonannya tidaklah mengecewakan. Adegan pembukaan di Penambang boleh dikatakan mengambil masa yang agak lama (diiringi pukulan bango, tiupan seruling dan mainan muzik pimpinan P.Ramlee sendiri) tetapi dengan kebijaksanaan P.Ramlee ia telah digaraf dengan beitu baik - tidak jemu malah menyeronokkan. Pada keseluruhannya filem ini baik dan memuaskan dan merupakan salah satu filem komedi terbaik yang diarahkan oleh P.Ramlee baik di MFP mahupun MFS. Kejayaannya merangkul anugerah "Golden Gong" di Festival Filem di Kuala Lumpur itu sudah kena pada tempatnya.

IRAMA & LAGU

Hanya 3 lagu terdapat dalam filem ini:

  1. Pok Pok Pok Bujang Lapok (Malindo Trio - P.Ramlee, Aziz Sattar & S.Shamsuddin)
  2. Maafkan Kami (Malindo Trio - P.Ramlee, Aziz Sattar & S.Shamsuddin)
  3. Malam Bulan Di Pagar Bintang (P.Ramlee & Saloma)
          Ciptaan & gubahan: P.Ramlee
          Lirik: S. Sudarmaji
          Muzik Iringan: Orkestra pimpinan P.Ramlee


FAKTA & ANGKA


  1. Filem pertama dijurugambarkan A.Bakar Ali selepas memenangi anugerah di festival Filem Asia Pasifik di manila kerana filem "Sumpah Orang Minyak".
  2. Filem pertama lakonan Rose Yatimah.
  3. Satu-satunya filem lakonan Rose Yatimah di MFP.
  4. Satu-satunya filem lakonan bersama P.Ramlee dengan Rose Yatimah di MFP.
  5. Satu-satunya filem Rose Yatimah berlakon di bawah arahan P.Ramlee di MFP.
  6. Selepas filem ini Rose Yatimah pindah ke Cathay Keris dan tidak pernah kembali ke MFP. Antara filemnya di Cathay Keris termasuk "Pak Pander Moden", "Tunang Pak Dukun", "Sri Mersing" dan "Tun Fatimah".
  7. Rose Yatimah (Rosnah) lahir di Singapura (1943) dan meninggal dunia di Kuala Lumpur 14 Disember 1987.
  8. Mustarjo atau nama sebenarnya Mustar Ahmad berasal daripada Puwardo, Benyu Mas, Pulau Jawa meninal dunia 3 Januari 1970.
  9. Filem kedua arahan P.Ramlee memenangi anugerah selepas "Sumpah Orang Minyak".
  10. Momo Latiff tidak sepatutnya diiktiraf sebaai 'introducing' dalam filem ini kerana dia pernah berlakon dalam "Topeng Syaitan" pada tahun 1941.
  11. Adegan ketika Ramlee, Aziz dan Sudin mengekori Rosnah selepas mengajar diilhamkan dari filem "C.I.D" (1956) yang dibintangi Dev Anand dan Shakila. Dalam filem tersebut Shakila diekori tiga orang termasuk Dev Anand juga menuju ke rumahnya sama seperti Rosnah pulang ke rumahnya. Tinggal lagi Dev Anand dan kawan-kawannya menyanyi lagu Leka Pehla Pehla Pyar ciptaan O.P.Nayyar dan dinyanyikan Mohd Rafi dan Shamshad Begum.
  12. Adegan memperlihatkan Ramlee, Aziz dan Sudin menyanyi lagu Pok Pok Bujang Lapok dengan jalan sebegitu rupa dipinjamnya dari adegan yang terdapat dalam filem "The Wizard Of Oz" yang dibintangi Judy Garland. P.Ramlee bertiga Judy Garland berempat.
  13. Filem "Da Di Du" yan diarahkan Aziz Sattar dan dibintangi A.R.Badul dan Ibrahim Pendek dilaksanakan mirip seperti filem ini.


Krew Penerbitan

DIALOG-DIALOG MENARIK DAN LUCU FILEM PENDEKAR BUJANG LAPOK

Petikan-petikan menarik filem Pendekar Bujang Lapok arahan P Ramlee.


Filem PENDEKAR BUJANG LAPOK yang diterbitkan pada tahun 1959 adalah salah satu siri Bujang Lapok yang paling menarik.Kita ikuti beberapa dialog-dialog menarik yang saya sertakan di bawah.   


Adegan ketika Ramli,Ajis dan Sudin sampai ke kampong Pinang Sebatang untuk mencari rumah pendekar Mustar.


Ramli:     Hey mana punya kampong kita dah sampai haa..?
                Ha..apa dia tulis ni?
Sudin:     Jalan Sekapur Sireh Road daa..
Ramli:     Alamak kita mau cari kampong pinang tapi jumpa sireh..salah kampong laa..
Ajis:        Eh ini kali kita jumpa sireh lain jalan kita jumpa pinang barangkali?
Ramli:     Eh itu rumah apa besar hah?
Ajis:        Mari kita pergi tengok haa..!
Sudin:     Mari..
               (Suasana di sekolah dewasa)
Ramli:    Eh Sudin..ni bacanya amacam bacanya?
Sudin:    Alef Mim Nun Wau ..Alef tendang wau sarkeslah..!
Ajis:       Apa pulak sarkees!
Ramli:   Hiss.tulis begitu punya panjang bacanya siket sarkes?
Sudin:    Tu yang panjang bunganya sajee..yang sikit tu lah sarkes!Tak reti?
Ramli:   Tulis pun pakai bunga?
Sudin:    Habis takkan hutang saja pakai bunga?
Ajis:      Hei..ini barangkali sekolah daa..!
Ramli:   Ye daa sekolah...
Sudin:   Sekolah kepala hotak kau sekolah..kau tak tengok ni satu satu,semua orang tua-tua..
             sekolah budak-budak kecik!Ni diaorang malam belajar dengan rimau!
Ramli:  Oh tak boleh baliklah?
Sudin:   Tak boleh balik! Duduk dalam sini tengok rumah macam kandang!
Ramli:  Alah..mari kita duduk bawah pokok sana..terlepas nanti naya!
             (Bunyi loceng sekolah..murid-murid dewasa keluar)
Ramli:  Hei apa da kau bilang makan sini tidur sini..
             Mana dia orang nak pergi ni?
Sudin:  Ini sarkes dah jinak...dah berapa lama diaorang training..
Ajis:     Ini sekolah daa..
Ramli: Ye daa..
Ajis:     heh..tua tua kerepot dah semua.?
Ramli:  Alamak toksah peduli..mau cari rumah pendekar Mastor punya rumah..
Ajis:     Apa daa Mastor..Mustar!!
Ramli:  Cari yang muda-muda tanya haa...!

Adegan di rumah Pak Mustar dalam sessi suaikenal .

Pak Mustar:   Anak ni nama apa?
Ramli:           Nama saya Ramli..binnya Putehh..
Pak Mustar:  Yang ni..?
Ajis:              Saya Ajis ..bin Satarrr..
Pak Mustar:  Yang ni?
Sudin:           Saya Shamsudin..bin Daliii..
Pak Mustar:  Eh..kalau begitu engkao bertiga bukan sudara agaknya,sahabat saja ya?
Ramli:           Kita sahabat sudah lama pakcik..
Ajis:              Ye pakcik.. sejak dari dalam perut..!
Pak Mustar:   Dulu kerja apa nak?
Ramli:           Uh..kerjanya bukan main teruk pakcik..!
Sudin:            Siang malam tak dapat tidor!
Ajis:               Iya pakcik..!
Pak Mustar:   Kerja apa itu nak Ramli..?
Ramli:            Kira bulu kambing!
Pak Mustar:   Eh Eh Eh Eh..tak terkira tu nak..! Ajis!
Ajis:               Oh..kerja saya paling berat sekali pakcik!
                       Siang malam tak boleh baring!
Pak Mustar:    Apa itu kerja?
Ajis:                Kerjanya menunggu ayam jantan bertelor pakcik!
Pak Mustar:    Eh Eh Eh berapa lama nak tunggu..?
Ajis:                Entahlah pakcik..!
Pak Mustar:    Sudin?
Sudin:             O kerja saya merbahaya pakcik! Siang malam berjaga jagaa saja..
Pak Mustar:    Kerja apa..?
Sudin:             Kerja sambung ekor beruang..!
Pak Mustar:    Eh Eh Eh salah salah beruang tu ngap!
Sudin:             Kalau dia ngap saya tinggal ngep!
Pak Mustar:    Eh Eh  kenapa cari keja yang berat-berat nak?
Ramli:            Apa boleh buat pakcik..nasib badan...



Adegan Kemat Hassan dan geng penambang bercerita tentang penangan Pendekar Mustar
dan berselang seli dengan cerita Pak Mustar semasa makan malam.

Sharif Dol:   Hei Kemat nanti dulu daa..apa daa kau dgn  Pendekar Mustar pun tak boleh menang!
Kemat :        Hey..orang tu berantai kao..!
Sharif Dol:   Eh cuba cerita kita semua mau dengar daa..!
Kemat:         Bila saja kao suruh bawak orang tua tu keluar,sekali aku tolak dia! Dia jatuh!
                     Bila dia jatuh dia nak bangun ni..! Bila dia nak bangun dia nak lawan pulak..!
                     Apa lagi..aku tak kasi chan! Aku pun tumbuk muka dia daa..!
Pak Mustar:  ...Pakcik elak!Sekali pakcik ketis kakinya! Gedebeb dia jatuh!
Kemat:          ..macam nangka daa.aku kena..!Sekali Rafi datang terkam.!.Rafi masuk terajang
                      siam pulak!
Pak Mustar:   ..Pakcik keluar kunci Kelantan..dia tersepit! Satu kali pakcik shebat kepalanya..
                      pinggg..! berpusing..
Kemat:          ..macam gasing da Rafi kena...sekali aku dapat aku gigit telinga dia!
Pak Mustar: ..huuuu..pakcik menjert!
Kemat:         sekali..kami tangkap macam rimau!
Pak Mustar: Pakcik tendang macam tikus!


Adegan ibu Ros(Momo) yang ingin membetulkan tanggapan buruk Ros kpd Bujang Lapok

Ibu Ros:   Ros  Ros lekas mari sini Ros..!
Ros:         Apa mak?
Ibu Ros:   Engkao lekas salah sangka..budak bertiga yang datang tu semua baik budi bahasanya Ros!
Ros:         Alah.mak dengan bapak pun sama je!
Ibu Ros:   Eh Eh Eh..kalao sudah emak dengan bapak sama,yang mana jantan yang mana betina..?

Selepas menyanyi lagu Maafkan Kami..Ajis ternampak sepucuk surat di bawah daun pintu.

Ajis:      Eh..ni ada surat daa..
Ramli:   Eh apa daa terpusing-pusing..
Ajis:      Sekali syaer..
Sudin:   Baca baca baca..
Ajis:      Al kesah..(toyip..) alkisah maka tersebutlah kisah ..(toyip..) sang kancil datang beramai
              ramai mengadap ke bawah duli yang mulia sultan Firaun..
Ramli:   Mana Firaun pakai sultan..!
              Tak tau baca kau mengarut saja..tengok aku baca..!
Sudin:    Kau tau baca ya..?
Ramli:   Jauh sangat daa..
Sudin:   Dekatlah sikit!
Ajis:      Eh kau terbelek-belek..?
Ramli:   Hurufnya kecik daa..kaca mata aku ketinggalan daa..
Sudin:   Kau berdua ni memang buta huruf! Kau tengok aku baca..
              Dia tulis arab!
Ramli:   Arab arab bacalah kami tak reti daa..cuba kau baca.
Sudin:   Ku baca ya..! Wal fadang fasirul.tak adha dhil fokok kayu wil..Panassutani kuk!
Ajis:      Eh apa da kuk?
Sudin    Padang pasir takde pokok kayu panas terik laa..
             Wal kurmak!
Ramli:  Eh apa da buah kurmak?
Sudin:  Eh kau tau baca?
Ramli:  Itu bunyinya kurmak!
Sudin:  Wa kurmak  nak buka puasuu..kehabisanhu lazi..!
Ajis:     Apa dia tu?
Sudin:  Eh buah kurma untuk buka puasa dah kehabisan..
Ajis:     Oh..
Ramli:  Sambung..sambung..
Sudin:  Ku pandonge kiri karo nik!
Ajis:     Oh ya apa da nik?
Sudin:   Ku pandang kiri kanan saki bakhi  tuhuk..tahi unta!
Ramli : (rampas) Apa da pakai taik unta..!..Buta kayu da korang...  


Adegan belajar isim-isim silat di rumah Pak Mustar

Pak Mustar:   Apa yang pakcik kata tulis ha?
                      Hai mambang tanah mambang air mambang api mambang angin mambang
                      berasal dari gunung simambang
Ramli:           Eh..berapa banyak mambang mau tulis da...?
Pak Mustar:   Heh jangan cakap..tulis haa..!
Ramli:           Baik pakcik..
Pak Mustar:   Berdampinglah denganku simambang..hanya itulah pesanku mambang...!
                       Itu saja  isim isimnya ya nak! Cuba baca cik Ajis!
Ajis:               Baik pakcik..saya baca pakcik haa.
                       Hai mambang tanah ..hai mambang tanah mambang pokok mambang daun
                       mambang buah..! mambang panjang mambang pendek mambang hutan mambang
                       melintang mambang kurus mambang gemuk mambang tua mambang....
Pak Mustar:   Apa yang kau baca dan apa yang aku ajar?Aku tak ajar ni segala mambang membujur 
                       mambang pendek mambang persegi...
                       Eh apa yang kau tulis?
Ajis:               Saya tulis short hand pakcik!
Pak Mustar:   Kenapa tak boleh baca?
Ajis:               Saya tulis short hand..saya baca long hand..
Pak Mustar:   Betul kau ni buta huruf,Ajis Ajiss...
                       Ramli cuba baca..
Ramli:            Kalau saya baca kena berdiri pakcik!
Pak Mustar:    Ha  berdiri!
Ramli:            Bodoh tak tau baca..huh!
                       Hei mambang kuning mambang merah mambang puteh mambang biru 
                       mambang coklat mambang hitam mambang biru air laut...
Pak Mustar:    (rampas)..Pakcik tak ajar mambang kuning mambang biru mambang coklat
                       mambang hijo hah! 
                       Eh! ini apa yang kao tulis?
Ramli:            Tulis arab pakcik! 
Pak Mustar:    Tulis arab mengapa ke bawah?
Ramli:             Pasal lama dia duduk di atas!
Pak Mustar:     Huh! Bodoh! Buta kayu..duduk!
                        Ha..sekarang Sudin baca!
Sudin:             Saya baca pakcik yaa..hai mambang tanah mambang air mambang api
                        mambang angin..
Pak Mustar:    Bagus..!
Sudin:             Mambang mabuk minum brandy...
Pak Mustar:    (rampas) negeri mambang sana ada jual brandy?Huh!
                        Eh! apa ni gambar orang-orang ni..?
Sudin:              Ni bukan orang pakcik..mambang..!!
Pak Mustar:     Mambang kepala hotak kau jambul!Huh!..rupanya kao bertiga ni semuanya
                        buta huruf buta kayu!


Di sekolah buta huruf (adegan pertama)


Cikgu:             Ha..sekarang murid-murid,saya mulakan dengan pakcik Mat..pakcik Mat..
                        cuba sebutkan perkataan ini...?
Pakcik Mat:    Alip ye mim..buaya..
Cikgu:             Bukan buaya..!Alif ye mim..a yammm..
Pakcik Mat:     Oh ayaaam..pakcik fikir buaya!
Cikgu:              Pakcik Dol..cuba sebutkan perkataan ini..
Pakcik Dol:      Be wau re nge..unta!
Cikgu:              Bukan unta..Be wau re nge burunggg..
Pakcik Dol:      O buruuung..ku fikirkan unta..!
Cikgu:              Pakcik Hamid tutup mulunya sedikit nanti masuk lalat!
Pakcik Hamid: (tersengeh)
Cikgu:              Pakcik Man..cuba sebutkan perkataan ini..
Pakcik Man:     Eh..tak nampak cikgu hurufnya halus halus benar!     
Cikgu:              Tak nampak...?  
Pak Man:          Pakai teropong nampak..!  
Cikgu:              Sudahlah pakcik Man..duduk!   


Adegan di sekolah buta huruf di kelas Cikgu Ros

Cikgu Ros:   Ha sekarang murid-murid semua sudah faham huruf-huruf itu..?
                     Kita akan pindah ke huruf baru ya..
Murid2:        Baik cikgu!
Cikgu Ros:   Alif (alif) Be, (be) Te (te) The (the).....(sambil menunjuk huruf seterusnya)
Murid2:        (Gelabah)
Sudin:           Tang sinilah cikgu kita mati ya Ramli?
Cikgu Ros:    Huruf apakah ini?Baiklah sekarang..saya nak tanya pada murid-murid
                      yang baru..Cik Ramli..huruf apakah ini?
                      Ha dia ada tanah, ada ekor dan ada satu mata di tengah-tengah..
Ramli:           Matanya satu saja cikgu?
Cikgu Ros:    Satu
Ramli:           Ada ekor?
Cikgu Ros:    Ada..
Ramli:           Atas tanah? Haa..huruf mambang tanah!
Pak Abu:       (ketawa) mambang tanah hahahaa...
Cikgu Ros:    Yang ini bukan mambang tanah cik Ramli..yang ini huruf jim!
Ramli:            Jim...? Eh jin dengan mambang kan tak jauh..?
Pak Abu:        (ketawa lagi)..hahaha hahaha hahaha..
Cikgu Ros:     Ha cik Ajis..huruf apakah huruf ini?
                       aa..huruf ini sama dengan huruf jim tetapi takde matanya saja..
Ajis:               Ohh.dia takde mata...sama-sama jim?haa..jin mata buta cikgu!
Pak Abu:        (ketawa).Ha ha ha..mata buta haha haha hahaaha..mata buta..haha haha
                       Tik tik tik..(bunyi meja diketuk..)
Cikgu Ros:     Yang ni bukan jim mata buta cik Ajis..yang ini huruf Ha..
Ajis:                Haa...
Cikgu Ros:     Ha sekarang cik Sudin pulak..!
Sudin:             Saya cikgu...!
Cikgu Ros:     Kenalkah dengan huruf ini..?
Sudin:             Saya kenal cikgu!
Cikgu Ros:     Huruf ni sama dengan huruf jim...huruf jim matanya di tengah-tengah..
                       tapi huruf ini matanya di atas..
Sudin:            Jim ni matanya di tengah-tengah..jim ini matanya di atas cikgu..?
                      Jin pakai toncit!!
Pak Abu:       (ketawa) Toncit!! Hahahah hahahaha hahahaa..
                      Tik tik tik...!!!
Cikgu Ros:    Pak Abu tu ketawa terlalu banyak sangat..!
Pak Abu:       ..Cikgu...
Cikgu Ros:    Ha cepat..sekarang Pak Abu pulak..!
Pak Abu:       Aa..yang mana..?
Cikgu Ros:    Yang ini..!
Pak Abu:       Ooo..ini saya kenal dan tahu ni..huruf ini..
                      Nikan huruf M..!
Cikgu Ros:    Tulah jangan suka selalu ketawakan orang..!Yang ni bukan huruf M..
                      yang ini huruf Kha..!
Pak Abu:       Khaaa..?
BujangLapok: HAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHA
                        HAHAHAHAHAHAHHAHAHAHAHA...

Pak Abu:      (terdiam malu..)




Tokeh jeti (Ahmad Nisfu) menuntut pampasan kepada Pendekar Mustar

Tokeh Jeti:   Jumlah semuanya tujus ratus dua puluh empat ringgit 71 sen..!
                    Diminta bayar sekarang jugak!
Ramli:         Satu sen pun kami tak mahu bayar..apa nak jadi,jadi!
Tokeh Jeti:  Kalau tak mahu bayar aku kasi tau penghulu!
Ajis:            Penghulu tak boleh datang!
Tokeh Jeti:  Kenapa tak boleh datang?
Ajis:            Pasal semalam dia makan julap..hari ini dia berak-berak!
Tokeh Jeti:  Baik.!.aku kasi tau pulis!
Sudin:         Pulis pun tak boleh datang!
Tokeh Jeti:  Kenapa tak boleh datang?
Sudin:         Semalam dia jatuh tergelincir masuk dalam sungai,semuanya sudah
                   hantar dobi..!
Tokeh Jeti: Pulis dan penghulu tak boleh datang, aku tunggu di sini jugak!
                   Kita semua duduk di sini (Baik enciikk!)
                   Korang ada bawak sireh atau tak?( Tak ada..)
                   Kepala hotak kao!
Tiba-tiba Ros meluru keluar dari rumah.
Ros:           Pak..jangan bayar pak..!Mereka semua penjahat di penambang!
Tokeh Jeti: Siapa perempuan ini masok campor?
P Mustar:   Anak aku,kenapa??
Tokeh Jeti: Huh  cantik!Baiklah..hutang boleh selesai,aku jadi menantu kau,ye pak?
Ros:            Tak hingin! Tua tak sedar diri!! Banyak cantik muka kau!
Tokeh Jeti: Sekarang tak cantik..nanti aku balik di rumah pakai bedak banyak,baru tau!
Ramli:        Pakcik saya habiskan dia pakcik..!
P Mustar:   Habiskan dia Ramli...!
Ramli:        Haitt..eyyahh (bersilat dan buka langkah)..yah...hiyahhh..hei!!
                   Apa macam langkahnya...?
P Mustar:   Huh..sumbang..!
Ramli:        Jadi apa macam pakcik..?
P Mustar:    Heh..hentam sajalah!
Ramli:        Hantam sajalah..hee yahh..(bersilat lagi..)..haip! yeehh..
okeh Jeti: Takpa..!Takpa..! Nanti kau terima pembalasan!
Ajis:           Heiyaah! eh..jangan kamu nak tunjuk samsing daa..
                   Mau lawan marilah....!
Tokeh Jeti: Sudah!..mari balik!
 Sebelum berlalu,Omar Suwita membaling batu kepada Ajis.
Ajis:           Aduiii..pakcik..dia lempar batu pakcik..!
P Mustar:   Kenapa kau tak elaaak..?
Ajis:           Camana saya nak elak..silat pakai batu pakcik belum ajar...

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078