Pages

Thursday, January 7, 2016

Sinopsis Filem Laksamana Do Re Mi

MERDEKA FILEM SETUDIO mempersembahkan LAXMANA DO RE MI
PELAKON UTAMA P.RAMLEE A.R.TOMPEL IBRAHIM DIN DAYANG SULU
BINTANG JEMPUTAN HUSSEIN ABU HASSAN
DIBANTU OLEH OSMAN BOTAK BAKAR KERINTING NORIZAN OSMAN HAJI ISMAIL IDRIS HASHIM MENAH YEM AINON CHIK ZAITON SALLEH
JURUGAMBAR LOW YEW WAH
JURUSUARA AWAL ANUAR YUSSOF
RAKAMAN AKHIR TAN CHUAN HOCK
EDITING JOHARI IBRAHIM
PEREKA BANGUNAN & SET ESA AHMAD
PENOLONG PENOLONG PENGARAH HASHIM HAMZAH J.
GAMBAR NG HOONG NGAIM
SUARA JOHAN IBRAHIM
P.MAKE.UP AZIZAH ALI
MAKMAL ROSELINE TEOH DAN ZAINUDDIN HUSSEIN
ARAHAN P.RAMLEE A.M.N.


TAHUN DIEDARKAN: 1973 (Mei)
MASA TAYANGAN: 1 jam 50 minit

RINGKASAN CERITA

Pengembaraan Do, Re dan Mi diteruskan. Kali ini mereka membina rumah di atas pokok. Masing-masing membahagikan-bahagikan kerja. Mi pergi ke pasar untuk membeli barangan makan, Re ditugaskan mencari kayu api untuk masak manakala Do pula tugasnya memasak. Bagaimanapun, mereka terpaksa mengembara lagi apabila tuan punya tanah mahu menebang pokok tempat mereka membina rumah itu. Ketika mereka sampai di sebuah hutan, mereka dikejutkan dngan suara seorang perempuan meminta tolong dan bila mereka mencari-cari suara tersebut Do, Re dan Mi bertemu dengan buluh boleh bercakap yang terkena tombak. Buluh merayu supaya tombak itu dicabut. Antara takut dan berani mereka mencabut tombak tersebut dan bila tercabut sahaja tombak itu muncul Puteri Buluh Betong. Atas jasa Do, Re dan Mi menolong Puteri itu, mereka telah dihadiahkan dengan Tikar Hikmat boleh terbang untuk Do, Teropong Hikmat untuk Re dan Bangzi (Serunai) Hikmat untuk Mi. Setelah itu Puteri pun ghaib pulang ke tempat asalnya bagi mengubati kecederaan yang dialaminya.

Menerusi teropong hikmatnya Re dapat melihat Negara Pasir Berdengungsedang mencari pendekar untuk dijadikan Laxmana. Dengan menaiki tikar terbang mereka menuju ke negara tersebut yang mana bila sampai sahaja pertandingan sedang diadakan iaitu menentang 5 Laxmana berhajat boleh masuk gelanggang beradu kekuatan. Pertandingan tersebut diadakan sempena Keputeraan Sultan Negara Pasir Berdengung - Damsiq Jani. Dengan memakan makjun kuat yang dihasilkan dari permintaan Mi menerusi bangzinya, Do, Re dan Mi berjaya menumpaskan kesemua 5 Laxmana yang sedia ada, dan dengan itu mereka pun dilantik sebagai Laxmana Negara Pasir berdengung. Setelah dilantik sebagai Laxmana, Sultan Damsiq Jani memerintah mereka pergi menentang Menteri Pasola yang telah menderhaka terhadap Sultan Negara Dua Butir. Dengan menaiki tikar terbang Do, Re dan Mi pun sampai di negara tersebut yang kini menjadi padang jarak padang terkukur yang menyebabkan Sultan dan Permaisurinya serta Menteri dan Pengikut setianya terpaksa berlindung di bawah sebatang pokok.

Menteri Pasola ialah Menteri Pertahanan Pasir Dua Butir. Dia ingin memperisterikan Puteri Baginda Sultan - Puteri Puncak Mahligai. Apabila Baginda Sultan menolak pinangannya, Menteri Pasola menderhaka. Banyak rumah dibakarnya, ramai rakyat dibunuhnya, ramai gadis-gadis diperkosanya dan macam-macam lagi kekejaman yang telah dilakukannya. Sebenarnya Negara Pasir Dua Butir dulu memang cantik, hebat dan makmur. Tetapi sekarang semuanya sudah musnah angkara kedurjanaan Menteri Pasola. Bagi mendapatkan semula Puteri Puncak Mahligai, Re telah menggunakan teropong hikmatnya untuk mengesan di mana Menteri Pasola (wajahnya menyerupai Jason King) berada begitu juga Puteri Puncak Mahligai yang diculik oleh menteri derhaka itu. Sultan Pasir Dua Butir berjanji sesiapa di antara tiga Laxmana itu dapat menyelamatkan Puteri Baginda, dia akan dikahwinkan dengan Puteri Puncak Mahligai. Dengan terbang menaiki tikar terbang Do itu, mereka bertiga pun pergi ke tempat Menteri Pasola dan Puteri Puncak Mahligai berada. Setelah menewaskan pengawal-pengawal Menteri Pasola akhirnya Do, Re dan Mi sampai ke tempat Menteri Pasola menyembunyikan Puteri Puncak Mahligai. Pertarungan antara Do dengan Menteri Pasola begitu sengit yang mana berkesudahan Menteri Pasola tewas apabila Do mendapat tahu kelemahan Menteri Pasola (dia kebal tidak berkesan apabila Do berjaya menikam badannya) iaitu dengan menikam di tapak kakinya dengan buluh runcing yang diperolehi dari teropong hikmat dan atas permintaan bangzi hikmat.

Puteri Puncak Mahligai sembuh dari penyakit yang dialaminya (dia pengsan sekian lama) apabila diubat menerusi bangzi hikmat. Laxmana Do, Re dan Mi sudah terpikat dengan kejelitaan Puteri Puncak Mahligai dan masing-masing berbuat berbagai cara untuk menawan hati puteri tersebut. Puteri Puncak Mahligai kemudian dibawa pulang menaiki tikar terbang ke Negara Pasir Dua Butir untuk menemui ayahanda dan bondanya iaitu sebelum dibawa pergi menemui Sultan Damsiq Jani - Sultan Negara Pasir Berdengung. Puteri Puncak Mahligai kemudian diperintahkan oleh Sultan Damsiq Jani berkahwin dengannya apabila Laxmana Do,Re dan Mi tidak mahu mengalah mahu juga berkahwin dengan Puteri Puncak Mahligai sedangkan mereka bertiga berperanan menyelamatkan Puteri Puncak Mahligai. Sebagai membalas jasa, Sultan Damsiq Jani menghadiahkan kepada Laxmana Do,Re dan Mi dengan tiga orang dayang istana yang dianggap Do seperti "buah mengkudu masak". Apa lagi mereka bertiga pun lari lintang pukang sambil dikejar oleh tiga orang dayang itu yang teringin sangat untuk bersuami.    


ULASAN & KRITIKAN

Sebagai pengarah P.Ramlee gagal mengarahkan filem ini dengan baik. Diukur dari filem ini dapat diagak P.Ramlee mengarahkannya dalam kekecewaan. Pertama, kontraknya dengan MFS tidak akan disambung lagi. Kedua, hasratnya untuk menjadikan "Hidayah" sebagai filem arahannya ditolak kerana kos penyelengaraannya yang dijangka mahal. Dalam filem ini P.Ramlee kelihatan kekeringan idea. Beberapa adegan yang terdapat dalam filem ini sudah pun diperlihatkannya dalam filem-filem arahannya yang lepas. Contohnya, ketika mereka mahu bertemu dengan Puteri Puncak Mahligai. Ini sama seperti dalam "Pendekar Bujang Lapok" di mana Ramlee, Ajis dan Sudin mahu bertemu dengan Rose (Rose Yatimah). Dari segi lakonan pula P.Ramlee tidak menunjukkan kesungguhan, ala kadar sahaja. Pun begitu telatahnya tetap juga menggelikan hati.

Disebabkan kontraknya hampir tamat dan merasakan ia tidak akan disambung lagi, minat P.Ramlee untuk mengarahkan filem ini sebaik "Sabarudin Tukang Kasut" dan "Ahmad Albab" sudah tidak ada. Kekecewaannya kerana tidak dapat mengarahkan cerita "Hidayah" sbagaimana yang dikatakan, yang dirancangkannya sekian lama terbawa-bawa ke filem ini lagi satu punca menyebabkan "Laxmana Do Re MI" bolehlah dianggap sebagai salah satu filem paling gagal yang dilakon dan diarahkan P.Ramlee. Kali ini P.Ramlee membawa penonton mengembara ke alam fantasi "Arabian Nights" yang mengandungi bermacam-macam kesaktian. Memang pun cerita dipetik dari hikayat "1001 Malam" tetapi diubahsuai dan dikomedikan. "Trickshot-trickshot" yang diperlihatkan terutama tikar terbang tidak realistik dan tidak memuaskan tidak seperti yang terdapat dalam "Panca Delima" dan "Sumpah Orang Minyak". Walau bagaimanapun pun disebabkan filem ini bercorak komedi dan telatah-telatah lucu yang dibawakan A.R.Tompel, Ibrahim Din dan P.Ramlee sendiri masih bertenaga filem ini tetap menimbulkan ketawa penonton dan seterusnya menghiburkan juga. Dayang Sulu sebagai Puteri Puncak Mahligai (filem kedua selepas "Darma Kesuma)", lakonannya mengecewakan kerana terlalu banyak kelemahannya.

I
RAMA & LAGU

Hanya 3 lagu sahaja terdapat dalam filem ini:

  1. Bujang Merempat (P.Ramlee, A.R.Tompel & Ibrahim Din)
  2. Malam Tak Berguna (Saloma)
  3. Tiga Sahabat (P.Ramlee, A.R.Tompel & Ibrahim Din)
  • Bujang Merempat yang bertradisikan (lirik) lagu Pilih Menantu (nyanyian Bing Selamat & Ratna) sama iramanya dengan Kami Penyamun (Nujum Pa Blalang) dan Do Re Mi (Do Re MI).
  • Tiga Sahabat (dwibahasa - Melayu dan Jepun) disadurkan oleh P.Ramlee dari lagu patiotik Jepun - Aikoku Koushinkyoku yang begitu populr sewaktu pemerintahan Jepun di Malaya dalam Perang Dunia Kedua. Lagu tersebut telah diajar di sekolah-sekolah ketika itu.

FAKTA & ANGKA


  • Filem terakhir lakonan dan arahan P.Ramlee di MFS dan juga tercatat dalam sjarah filem Malaysia sebagai filem terakhir yang dilakon dan diarahkan P.Ramlee.
  • Pada mulanya P.Ramlee berhasrat memilemkan cerita "Hidayah' yang dirancang sejak di MFP dulu. Tetapi kerana perbelanjaan menyenggarakannya begitu besar pihak studio tidak mahu mengambil risiko. Lebih-lebih lagi "Raja Bersiong' tyang menelan belanja besar di MFP gagal di "box-office).
  • Berikutan penolakan itu, P.Ramlee dan A.R.Tompel telah berbincang membuat sambungan 'sequel' pengembaraan Do Re Mi. Dengan itulahirlah filem ini.
  • Selesai sahaja filem ini, P.Ramlee pun meninggalkan MFS tempatnya berkarya sejak 1964. Kemudian bergiat dengan PERFIMA dan selepas itu dengan Rumpun Melayu sebelum meninggal dunia pada 29 Mei 1973.
  • Filem ini diselenggarakan di penghujung 1971 dan mula ditayangkan di Singapura pada 12 Mei 1973. Sambutan hangat diperolehinya disebabkan P.Ramlee meninggal dunia. Filem ini sedang ditayangkan di Kuala Lumpur semasa P.Ramlee pergi menemui Tuhannya.
  • Ibrahim Din meninggal dunia tetapi tarikh sebenar tidak diperolehi.
  • Inilah satu-satunya filem P.Ramlee menggunakan huruf X sebagai tajuk filemnya - "Laxmana Do Re Mi". Huruf ini digunakan Aziz M.Osman 20 tahun kemudian - "XX Ray" dan disusuli pula "XX Ray II"
  • Agak mengelirukan, tajuk dalam filem "Laxmana Do Re Mi" tetapi apabila di iklankan di media tajuknya "Laksamana Do Re Mi". Bagaimanapun, tajuk di dalam filem ini diguna pakai.
  • Filem ini turut dihantar ke Festival Filem Asia Pasifik ke-19 di Singapura bersama "Cengkaman Maut" (arahan S.Sudarmaji). P.Ramlee, Saloma, Sarimah, Sharifah Hanim dan Mariati Abdul Rahman mewakili Malaysia.
  • Kali kedua dan terakhir Norizan (bekas isteri P.Ramlee) berlakon di bawah arahan P.Ramlee selepas "Putus Sudah Kaseh Sayang".
  • A.R.Tompel (nama sebenarnya Aman Ramli Bin Jaafar) berasal dari Tanjung Balai, Sumatera (juga ayah A.R.Badul) meninggal dunia setelah mendapat kemalangan jalan raya di Setapak, Kuala Lumpur pada 30 Januari 1973 -  4 bulan sebelum pergi menemui Illahi.
  • Hussein Abu Hassan yang lahir di Alor Gajah melaka pada 18 Mei 1937 meninggal dunia di Kuala Lumpur pada 26 November 2007.
  • Kalau dalam "Chinta" dialog pertama diucapkan P.Ramlee: "Chinta". Sebagai dialog terakhir yang diucapkannya dalam filem menerusi fuilem ini; "Zam-zam alakazam".
  • Inilah satu-satunya filem lakonan Dayang Sulu dalam filem yang diarahkan oleh P.Ramlee. Dayang Sulu yang turut membintangi beberapa filem - "Darma Kasuma" (S.Kadarisman) dan "Menanti Hari Esok" (Jins Shamsudin) - pernah juga menerbitkan sebuah filem iaitu "Penentuan" yang diarahkan oleh Aziz Jaafar.


Laksamana Do Re Mi merupakan sebuah filem Melayu yang diterbitkan di Malaysia pada tahun 1972. Filem Laksamana Do Re Mi diterbitkan dalam bentuk filem hitam putih tanpa warna. Filem Laksamana Do Re Mi diarah oleh pengarah P. Ramlee pada 1972.

Filem Laksamana Do Re Mi (atau diterbitkan sebagai Laxmana Do Re Mi) merupakan sebuah filem terakhir P. Ramlee terbitan Studio Merdeka. Ia merupakan filem hitam-putih dan diarah oleh P Ramlee sendiri.
Filem ini berkisahkan cereka fantasi tentang tiga orang lelaki yang tiada kerja dan ingin mencari kerja untuk menampung hidup. Setelah dihalau dari rumah (yang didirikan secara haram di atas pokok), mereka merantau dan menyelamatkan Puteri Bunian iaitu Puteri Buluh Betung. Puteri tersebut mengurniakan tiga ganjaran untuk mereka kerana menyelamatkannya. Do mendapat tikar terbang yang akan membawa mereka ke mana sahaja yang dikehendaki. Re pula mendapat teropong sakti yang mampu melihat mana-mana tempat, mana-mana peristiwa yang berlaku pada bila-bila masa di seluruh dunia. Mi pula mendapat bangsi (atau harmonika) hikmat yang akan mendapatkan benda yang diingini setelah berniat dan meniupnya.
Mereka bertiga menuju ke negara Pasir Berdengung untuk mencari kerja sebagai pendekar. Di sana, mereka menyertai perlawanan untuk mencari pendekar. Mereka bertiga berjaya mengalahkan pendekar negara setelah memakan ubat kuat (ma'jun) lalu mereka dilantik menjadi Laksamana Negara. Mereka diminta untuk memberi bantuan kepada Negara Pasir Dua Butir yang telah diserang Menteri FaSoLa. Menteri FaSoLa merupakan bekas menteri pertahanan negara Pasir Dua Butir (memberontak terhadap negara disebabkan pinangannya kepada Puteri Punchak Mahligai ditolak baginda Sultan Pasir Dua Butir). Pengembaraan mereka berterusan untuk mencari Puteri negara itu dan mengalahkan Raja Fasola dengan alatan yang mereka ada.

Barisan Pelakon
1. P. Ramlee sebagai Do
2. A. R. Tompel sebagai Re
3. Ibrahim Din sebagai Mi
4. Hussein Abu Hassan sebagai Raja Fasola
5. Dayang Sulu sebagai Puteri
6. Mak Enon sebagai Dayang Istana
7. Yusof Haslam

SUMBER: FILEM-FILEM P RAMLEE

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078