Pages

Friday, January 15, 2016

Sinopsis Dan Pengajaran Filem Seniman Bujang Lapok








MALAY FILM PRODUCTION LTD. 
MEMPERSEMBAHKAN AZIZ SATTAR S.SHAMSUDDIN P.RAMLEE SENIMAN BUJANG LAPOK (THE NITWIT MOVIE STAR) SALOMA SHARIFF DOL AHMAD NISFU LENG HUSSAIN KEMAT HASSAN M.RAFEE BABJAN ZAINON FIJI IBRAHIM HASSAN MOHD ZAIN H.M.BUSRA AHMAD.C AINI JASMIN JUNE HARTINAH ZAINUDDIN NYONG ISMAIL
PELAKON UNDANGAN: AHMAD MAHMOOD HASHIMAH YON S.KADARISMAN DAYANG SOFIA KUSWADINATA K.FATIMAH MUSTARJO MARIAM SRI RAHAYU
JALAN CERITA: H.M.ROHAIZAD
JALAN BAHASA: ROHAILEE
LAGU: MENCECEH BUJANG LAPOK, GELORA, SENANDUNG KASEH CIPTAAN P.RAMLEE
EMBON MENITIK: CIPTAAN ALLAHYARHAM AHMAD PATEK
GURINDAM: S.SUDARMARJI
ARRAGEMENTS: P.RAMLEE
ORKESTRA: P.RAMLEE ORKESTRA
PENYANYI-PENYANYI: SALOMA P.RAMLEE AZIZ SATTAR S.SHAMSUDDIN DAN PANCHA SITARA
TEKNIK FOTOGRAFI: A.BAKAR.ALI
RAKAMAN SUARA: KAMAL MUSTAFA
EDITING; H.R.NARAYANA
DIRECTOR: MUSTAFA YASSIN
RAKAMAN AKHIR: KAM SHIN BOON
LABORATORIAN: CHOW CHENG KOK
PEMBANTU-PEMBANTU TERAJU: S.SUDARMARJI
KAMERA: YA'AKOB MAHMOOD
RAKAMAN: AHMAD SURADI
EDITING: LEE THIAM YIAK
MUSIC: KASSIM MASDORE
CONTINUITY: KASSIM MASDORE
STUDIO MANAGER: KWEK CHIP JIAN
TERAJU UTAMA: P.RAMLEE

Tahun Diedarkan: 1961 (Julai)
Masa Tayangan: 1 Jam 45 Minit

RINGKASAN CERITA

Tiga Bujang Lapok (Ramlee, Sudin dan Aziz) menganggur dan ketika sedang minum di sebuah gerai datang lori promosi filem "Panji Semerang" (dengan iringan muzik filem "Bridge On The River Kwai") berhampiran gerai tempat mereka minum. Ketika lori tersebut berhenti kerana tayar meletup dan pancit Sudin mengambil kesempatan bertanya dengan mereka yang bertugas di mana boleh mereka bermohon untuk menjadi orang wayang atau pelakon filem. Sudin diberitahu pergi ke Jalan Ampas. Dengan tidak berlengah lagi mereka menaiki beca pergi ke Jalan Ampas. Mereka bertiga hampir putus asa kerana telatah-telatah yang ditunjukkan oleh beberapa orang petugas di situ dan juga sikap mereka. Bagaimanapun setelah ditegur oleh Jaga katanya: "Oii.. panggil orang macam tak ada nama." Barulah mereka bersemangat kembali dan Jaga tersebut mencadangkan mereka pergi menemui Manager Kemat Hassan.

Pemohonan Ramlee, Sudin dan Aziz untuk menjadi bintang filem telah dicemuh oleh Ali Fiji yang kebetulan berada di situ. Katanya: "Ini macam punya muka mahu jadi  'film star', ka...." Tetapi cemuhan tersebut telah dibalas oleh Jaga. Bidasnya: "Lu pun satu la....., bu orang minta kerja lu macam-macam cakap. Apa macam lu punya banga mahu maju." Manager Kemat Hassan mengarahkan Pengarah Ahmad Nisfu jalankan 'screen test' terhadap mereka bertiga yang pada ketika itu sedang mengarahkan satu adegan lakonan S.Kadarisman dan Hashimah Yon. Dan disebabkan tidak tahu peraturan penggambaran filem keadaan semasa penggambaran menjadi kecoh apabila Sudin bertindak memarahkan S.Kadarisman kerana mahu memancung Hashimah Yon kerana makanan yang mahu dimakannya tidak ditaruh belacan. Perbuatan Sudin dan juga Aiz yang masuk campur kemudian membuatkan Pengarah Ahmad Nisfu naik marah dan menghalau mereka keluar. Bagaimanapun Ahmad C. memberitahu Pengarah Ahmad Nisfu mereka datang untuk menjalankan 'screen test' atas arahan Manager Kemat Hassan.

Sungguhpun, 'screen test' dijalankan boleh membuatkan Pengarah Ahmad Nisfu jadi gila lain yang disuruh lain yang dibuat. Namun mereka berjaya menambat hati Manager Kemat Hassan dan dengan itu jadilah mereka anak wayang dan digelar "Seniman Bujang Lapok". Sementara itu, di rumah tempat mereka menyewa Ramlee sedang berkasih-kasihan dengan Salmah yang bekerja sebagai jururawat yang juga dicintai oleh Shariff Dol yang seringkali mengusiknya. Dalam pada itu, mereka sering terganggu ketika menghafal skrip. Ada penyewa beristeri dua tidak bertimbang rasa dengan membuka radio kuat-kuat dan kemudian bergaduh pula dengan isteri pertamanya. Aa pula penyewa menghidupkan enjin motorsikalnya dengan bunyi yang membisingkan suasana. Ada pula penyewa berlatih meniup trompet dengan kuat hingga memekakkan jiran-jiran sebelah yang mana semuanya itu terpaksa diselesaikan oleh Ramlee, Sudin dan Aziz dengan cara baik mahupun kekerasan.

Ketika membuat penggambaran filem "Bujang Lapok Dalam Negeri Baghdad" Ramlee, Sudin dan Aziz terus datang membuatkan Pengarah Ahmad Nisfu naik berang kerana membuat macam-macam kesalahan hingga menyebabkan dia diserang sakit jantung hingga terpaksa dirawat di hospital. Wajah Ramlee, Sudin dan Aziz sangat-sangat menghantuinya hinggakan ketika mereka datang ke hospital melawatnya (bila terpandang saja wajah mereka) Pengarah Ahmad Nisfu pengsan semula. Apabila pulang ke rumah didapati oleh mereka Salmah bersedih yang menyebabkan Ramlee runsing. Rupa-rupanya kesedihan itu disebabkan ada orang datang meminangnya untuk samseng Kampung Dusun - Shariff Dol yang selama ini sering mengganggu Salmah. Kerana marahkan Ramlee membuat pertemuan dengan Salmah, Shariff memberi amaran kepada Ramlee katanya: "Aku akan pecahkan muka kau." Cabar mencabar berlaku yang mana akhirnya mereka bergaduh yang mana Ramlee tewas dan jatuh pengsan. Selepas itu, Shariff dan ibunya datang meminang Salmah dan telah dipersetujui ibu Salmah.

Ramlee masih mahu berusaha merebut Salmah daripada tangan Shariff Dol tetapi dia perlukan 200 ringgit untuk tujuan tersebut. Untuk menolong Ramlee, Sudin (dengan menggunakan batu akik yang yang kononnya hikmat) pergi bertemu dengan Manager Kemat Hassan untuk meminjam wang. bagaimana pun setelah bertemu dengan manager tersebut Sudin hanya memperoleh 5 ringgit sahaja. Salmah terus-terang menyatakan kepada ibunya dia tidak mahu berkahwin dengan Shariff yang dianggap oleh ibunya orang kaya. Setelah Salmah menerangkan keadaan sebenar yang Shariff selama ini sering mengacaunya, ibu salmah marah lalu dia memulangkan gambar dan wang yang diterimanya sebagai tanda putus tunang. Shariff marah dan memberi amaran katanya: "Jangan menyesal" Kemudian Ramlee dan Salmah merancang untuk berkahwin dengan menggunakan wang 800 ringgit kepunyaan Salmah untuk masuk meminang. Tetapi malangnya, apabila Ramlee dan Salmah pulang mereka dapati rumah sewa tempat mereka menginap terbakar dan menurut Salmah pembakaran tersebut dilakukan oleh Shariff yang marah kerana Salmah memutuskan pertunangan dengannya.

Ketika Ramlee sedang mengenangkan nasib badannya, dia terjumpa dompet kepunyaan Shariff lantas Ramlee pergi ke Kampung Dusun bertemu Shariff untuk membuat perhitungan. Di rumahnya, Shariff Samseng sedang berjudi dan mengaku membakar rumah sewa mereka tetapi dia tidak takut kerana tidak ada bukti untuk membawanya ke balai polis. Pergaduhan antara Ramlee dan Shariff berlaku dan oleh kerana tidak tahan dengan penangan Ramlee di samping menunjukkan dompetnya yang tercicir akhirnya Shariff Dol rela dirinya diserahkan kepada polis. Ramlee dan Salmah dapat juga berkahwin kerana wang Salmah tidak menjadi korban api disebabkan sebelum kejadian berlaku ibu Salmah telah memasukkannya ke dalam pejabat pos. Bagi Aziz dia tidak kecewa kerana mata airnya - Dayang Sofia, datang memanggilnya manakala Sudin pula didatangi tunangnya - Zaiton. Ayu (adik Zaiton) tetap dengan perangai lamanya membuat tuntutan 20 sen daripada Sudin sebagai menutup rahsia.

PENGAJARAN

Seniman Bujang Lapok (1961) terhasil selepas beberapa tahun Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957. Terdapat dua perkara yang cuba ditonjolkan dalam babak pembukaan filem ini. Pertama, syot sulung untuk filem ialah patung Stamford Raffles yang boleh ditafsirkan sebagai mewakili perjajahan kuasa asing dan seterusnya beberapa syot poster-poster gergasi di pawagam-pawagam utama di Singapura yang memaparkan filem-filem asing. Ini menunjukkan bahawa walaupun negara sudah merdeka, tapi pemikiran asing tetap wujud dan mempengaruhi masyarakat.

Keduanya ialah filem-filem asing mendapat tempat dan promosi utama di pawagam-pawagam besar. Sedangkan pula filem-filem tempatan terpaksa melakukan promosi secara kendiri dengan membawakan filem mereka menggunakan kereta buruk yang tayarnya pancit. Lebih menarik, Panji Semerang (juga dikeluarkan pada 1961) merupakan filem terbitan Shaw Brothers tetapi terpaksa dipromosikan dengan cara seolah-olah ia sebuah wayang pacak. Walhal filem-filem asing (di dalam babak berkenaan dipaparkan poster gergasi filem The Great Imposter dan Cimarron) mendapat tempat utama di pawagam-pawagam milik Shaw Brothers.



P.Ramlee telah menyindir Shaw Brothers secara terbuka tanpa disedari. Jelas sekali babak pembukaan filem ini memberikan gambaran penuh mengenai apa yang mahu ditonjolkan P.Ramlee di dalam Seniman Bujang Lapok. Filem sinikal tentang nasib industri filem Melayu yang dikawal kuasa asing dan dijadikan medan mengaut untung yang menindas pekerja-pekerja filem. Hal tentang sindiran terhadap nasib filem Melayu ini turut disentuh oleh Amir Muhammad dalam bukunya 120 Malay Movies (Matahari Books, Julai 2010).  

Selain daripada menyindir Shaw Brothers, babak pembukaan ini juga merupakan satu sindiran kepada penonton filem Melayu. Ini kerana semasa kereta yang melakukan kerja-kerja promosi filem Panji Semerang melalui kawasan bandar, tidak ada penduduk bandar yang tertarik dengan kereta dan promosi berkenaan. Tetapi apabila kereta berkenaan memasuki kawasan kampung, kelibatan penduduk kampung memberikan sambutan hangat kepada promosi filem berkenaan. P.Ramlee menonjolkan di sini bahawa masyarakat bandar lebih gemar memberi perhatian kepada filem-filem Barat, manakala filem-filem tempatan mendapat sambutan hangat dalam kalangan masyarakat di kampung. Filem tempatan boleh meletup di kampung seperti meletup dengan kuatnya tayar kereta yang membuat promosi filem Panji Semerang itu.



"Apa encik-encik ini semua kontrak muzik orang mati kah?"

Cukup tajam persoalan yang dibangkitkan Sudin apabila dia tidak menyedari yan lori pancit tayar itu sedang melakukan kerja-kerja promosi sebuah filem Melayu.

Di dalam Seniman Bujang Lapok, beberapa kali P.Ramlee merujuk kepada golongan asing yang mengawal industri filem Melayu. Khususnya tentang pengaruh Shaw Brothers. Misalnya, ketika babak Salmah cuba menghulurkan wang kepada Ramlee, Ramlee menolaknya.

"Tak payah saya bilang, bapa saya baru kirim dari Hong Kong."



Babak Ramlee, Aziz, dan Sudin menaiki beca dan dikenakan caj 30 sen juga sebenarnya menyindir Shaw Brothers. Pada sekitar tahun 1960an sudah wujud krisis dan pergeseran di antara tenaga kerja di Shaw Brothers termasuk para pelakon dan krew dengan pihak pengurusan studio. Pergeseran ini terjadi akibat masalah pembayaran gaji yang disifatkan oleh tenaga kerja sebagai tidak mencukupi dan rendah, berbanding dengan jumlah filem yang perlu mereka hasilkan. Dialog menunjukkan yang mengikut perjanjian, Bujang Lapok perlu membayar kepada tukang beca sebanyak 30 sen tetapi mereka hanya membayar sebanyak 25 sen dan tidak sepadan dengan kepayahan tukang beca mengayuh. Ini sama dengan situasi menindasan pengurusan studio yang dirasakan oleh tenaga kerja di studio. Dialog yang paling mencengkam ialah apabila tukang beca menyebut terpaksa membikin union (kesatuan sekerja) jika ada ramai lagi pelanggan seperti ini (yang tidak mahu membayar tambang secukupnya). Ini menggambarkan bahawa tenaga kerja di studio akan melakukan protes jika penindasan (soal pembayaran gaji) masih berlaku.

Penindasan terhadap pekerja filem dipaparkan di dalam dua babak. Pertama semasa Manager Kemat Hassan memarahi pekerja melalui telefon untuk membawa pulang lori yang pancit tayar.

"Hello. Ha? Okay. Kau bawa balik lori tu sekarang juga! Ya sekarang juga! Kalau lori tu tak boleh jalan, kau pikullah!"

Kedua apabila Manager Kemat Hassan memarahi pekerja juga melalui telefon kerana pekerja berkenaan tidak datang kerja.

"Hey! kau ini apa ha? Kau nak keja ka nak main-main? Semalam kau bilang kau sakit gigi, ini hari kau bilang kau sakit perut. Jangan-jangan esok kau sakit nak mampus pula!"

"Apa boleh buat tuan, saya demam. Bukannya saya panggil itu demam tuan ya."

"Haa! Kau ini memang ada-ada sahajalah. Kepala otak kau berjambul!"

(ketukan pintu)

"Masuk!"

"Tuan, telefon ini kecil, macam mana saya nak masuk tuan."

"Hey! Aku bukan cakap dengan kaulah. Takkan aku nak suruh kau masuk dalam telefon ini. Kau ingat aku nak mampus macam kau ke? Bodoh! Jikalau esok kau tak datang kerja, aku sack sama kau!"

Lebih memberikan nilai ialah Bujang Lapok hanya masuk ke pejabat Manager Kemat Hassan sebanyak dua kali sahaja di dalam filem ini dan kedua-duanya dimulakan dengan babak Manager Kemat Hassan memarahi pekerja studio melalui telefon.

Semasa Ramlee, Aziz dan Sudin sampai di Malay Film Poduction (studio milik Shaw Brothes) untuk mencuba nasib menjadi pelakon filem, ketiga-tiga mereka ternampak satu tajuk filem yang dipapakan pada papan kenyataan di luar pagar studio. Tajuk filem itu ialah 'Yatim Tua dan Setan Angkat Dulang'. Dipercayai P.Ramlee menyindir filem-filem keluaran syarikat pesaing Shaw Brothers waktu itu iaitu Cathay Keris. Pada tahun 1961, Cathay Keris juga mengeluarkan dua filem iaitu Yatim Mustapha (diarahkan oleh BN Rao) dan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang diarahkan oleh KM Basker).

Babak kemudiannya pula kita diperlihatkan bahawa pengarah yang mengarangkan filem 'Yatim Tua dan Setan Angkat Dulang' ini ialah Director Ahmad Nisfu. Pemilihan Ahmad Nisfu juga mempunyai kaitan dan sindiran. Wajah Ahmad Nisfu yang kelihatan iras seorang asal India adalah parodi kepada pengarah kedua-dua filem Cathay Keris tadi yang juga berasal dari India. Simbolik pengaruh India dalam filem-filem Melayu dipaparkan P.Ramlee dengan cukup bersahaja dan sinikal.

Turut dipaparkan P.Ramlee ialah campur tangan pengurusan di dalam soal kreativiti dan pemilihan pelakon oleh seseorang pengarah. Misalnya semasa screen test yang dilakukan terhadap Ramlee, Aziz dan Sudin, ternyata ketiga-tiga mereka tidak menepati kriteria yang dimahukan oleh Director Ahmad Nisfu. Namun mereka tetap diterima sebagai pelakon kerana Manager Kemat Hassan mahukan mereka.

Sindiran turut dilemparkan P.Ramlee terhadap gaya penceritaan filem-filem Melayu pada ketika itu yang kadangkala berlebih-lebihan dan menyuntik emosi yang tidak sepadan serta memiliki tema yang terlalu remeh. Ini dapat dilihat apabila Sudin menyuarakan rasa tidak puas hati disebabkan watak S.Kadarisman mahu memancung isterinya hanya kerana memasak sayur asam yang tidak dicampur belacan. Sikap pelakon juga ditonjolkan P.Ramlee di dalam filem ini misalnya watak Aziz semasa screen test dipaparkan sebagai seorang pelakon yang memiliki ciri-ciri over acting dan memilih. Ini dapat dilihat apabila dia mengubah dialog asal kepada satu peringkat yang tidak diperlukan dan sebelum itu dia memohon untuk diberikan hanya menjalani screen test sahaja. Watak Ramlee dan Sudin ketika screen test juga menunjukkan pelakon yang tidak tahu berlakon.

P.Ramlee dan sindiran terhadap golongan feudal sememangnya tidak dapat dipisahkan. Di dalam setiap filem arahan beliau, pasti akan ada babak yang menyentuh soal ini. Seniman Bujang Lapok juga tidak terkecuali.

"Hey Ramlee! Siapa kau?"

"Aku King!"

"King apa?"

"King Kong!"

"Hey Ramlee!"

"Ya"

"Kau tahu aku siapa?"

"Belum tau! Siapa kau?"

"Akulah keturunan Raja!"

"Raja mana?"

"Raja Kapur!"

"Hai Raja Kapur!"

"Ya!"

"Kenapa muka kau macam tepung gomak?"

"Hey apa dah gomak?"

Satu lagi babak yang menyentuh mengenai golongan ini boleh dikesan semasa Bujang Lapok sudah diterima sebagai pelakon dan melakonkan filem pertama mereka.

"Betapa senang beta punya hati, betalah yang digelarkan Setan Aminurrashid!"

"Cut! Bukan setan, syaitan. Sultan?"

Babak Doktor lakonan Ahmad Mahmud dalam Seniman Bujang Lapok yang merawat Direktor Ahmad Nisfu, ialah satu babak transisi penting dalam filem ini. Sebaik sahaja Direktor pengsan selepas melihat Bujang Lapok membawa bunga, Doktor terus marah kepada Bujang Lapok dan mengatakan mereka sebagai muka pembawa penyakit (sumpahan). Ini sebenarnya satu gambaran P.Ramlee terhadap bomoh dalam masyarakat Melayu. Bomoh bukan sahaja boleh mengubati, tetapi boleh memberikan sumpahan. Ternyata selepas disumpah, sebaik sahaja pulang dari klinik, Bujang Lapok malang sampai ke hujung Sharif Dol masuk meminang Salmah, Ramlee dipukul Sharif Dol, Sudin ditipu penjual batu yang kononnya hikmat dan malang paling besar bagi Bujang Lapok ialah apabila rumah yang mereka alami terbakar.

Seperkara lagi yang menarik selepas Seniman Bujang Lapok, P.Ramlee membikin Ibu Mertuaku (1962) dan seolah-olah dalam Seniman Bujang Lapok, P.Ramlee sudah memberikan gambaran awal yang Ahmad Mahmud akan memegang watak yang sama dalam Ibu Mertuaku, seorang doktor yang sombong dan memiliki kuasa mengubat dan memusnah.

Selain daripada unsur-unsur berkaitan industri perfileman Melayu, terdapat beberapa isu yang disentuh secara sepintas oleh P.Ramlee di dalam filem ini. Misalnya sikap berhutang dalam kalangan masyarakat. Ramlee, Aziz dan Sudin minum kopi di sebuah warung yang diberi nama Kedai Kita. Mentang-mentang kedai bernama Kedai Kita, lantas Ramlee,Aziz dan Sudin menjadikan kedai itu seperti milik mereka apabila beredar tanpa membayar harga kopi yang diminum. Namun, Wak yang menjaga warung berkenaan meminta mereka membayar harga kopi berkenaan.

"Nah, Wak, lain kali bila kita orang minum dekat sini, janganlah minta duit. Kira sahaja tak boleh!"

(Ketawa) "Kira sahaja ya? Ini kedai kopi kau ingat bapa kau ada kongsi dengan aku ya?"

Begitu juga dengan sikap Ramlee yang mahu berkahwin tetapi tidak ada wang. Sudin yang cuba membantu dengan meminjam daripada Manager Kemat Hassan tetapi gagal dan akhirnya Ramlee berkahwin dengan wang yang diberi pinjam oleh Salmah. Satu lagi perkara lucu yang ditonjolksn P. Ramlee mengenai masyarakat di dalam filem ini ialah paranoid yang muncul khususnya dalam kalangan orang Melayu terhadap babi. Ini dilihatkan di dalam babak semasa Ramlee sedang mengintip Salmah dan ditegur jirannya.

"Apa tu Encik Ramlee"

"Ish! Melekat dekat lampu pula. Alamak! Haa! Diam. Diam. Diam. Diam. Hmm. Ini kau ya!" (sambil menampar pipi jiran yang menegurnya)

"Apa itu Encik Ramlee?"

"Kutu Babi!"

"Kutu Babi? Allah! Batal air sembahyang saya."

Satu lagi perkara menarik di dalam filem ini ialah teguran yang dibuat P.Ramlee mengenai sikap masyarakat yang tidak berbudi bahasa. Ini ditonjolkan menerusi babak Sudin bertanya kepada seorang pengawal keselamatan, Mr singh mengenai cara-cara memohon pekerjaan di studio filem berkenaan.

"Hoi! Sini wayang gambar pusing ke? Ha? Oh! Lu pun tersampuk ka? Eh! Sudahlah mari kita balikla, sini dia orang semua banyak anginlah"

"Ini nama sahaja orang Melayu, bikin adat pun tak tahu. Orang punya dekat panggil hoi! Hoi! Hoi! Saya ini apa? Batu ke? Kayu ke?"

"Alamak Benggali itu bahasakan kita."

"Memang betul dia cakap. Kau itu mana ada bahasa, panggil orang hoi. Hoi! Hoi! Bahsa menunjukkan bangsa tau."

Selain budi bahasa, masalah berdengki, khususnya sesama bangsa juga dipaparkan. Ini apabila selesai Bujang Lapok masuk ke dalam kawasan studio, muncul seorang lelaki bertanyakan kepada Mr.Singh mengenai Bujang Lapok.

"Singh, itu tiga orang apa dia mahu?"

"Dia mahu minta kerjalah"

"Ini macam muka mahu jadi film star ka?"

"Lu pun satulah!Baru orang mau minta kerja, lu macam-macam cakap. Apa macam lu punya bangsa mau maju?"

"Alamak Singh, lu bahasa sama gua nampaknya ni Singh!"

"Bukan bahasa, lu punya nasib lu makan, dia punya nasib dia makan, apa salah lu makan sama-sama."

P.Ramlee juga mengemukakan sindiran terhadap golongan yang sering menggunakan alasan agama untuk menutup dan melindungi kepentingan diri sendiri. Ini dapat dikesan pada babak semasa Bujang Lapok cuba menenangkan pergaduhan suami isteri.

"Allah! sumpah Tina. Perempuan ini bukan aku simpan, bini aku nombor dua Tina. Bukan orang lain, madu kau juga Tina."

"Oh. Bini kau nombor dua ya? Kalau dulu aku tak mahu kahwin dengan kau nak bunuh diri. Sekarang dalam diam dah buat kira ya. Jantan tak guna! Nak mampus! Sepatutnya kau ditembak dengan senapang gajah."

"Allah! Sabar Tina. Sabar. Kita orang Islam. Menurut undang-undang Islam boleh kahwin sampai empat sayang. Ini baru dua, lagi dua nampak akan datang Tina. Entah next change ka, entah coming soon ka."

"Oh! Pasal nak berbini, ikut undang-undang Islam ya? Pasal sembahyang, puasa kenapa tak mahu ikut undang-undang Islam? Ha?"

P.Ramlee sering mengaitkan setiap babak-babak di dalam filemnya dengan baik dan ini menampakkan satu jalinan yang kemas dan menarik. Misalnya sebelum Bujang Lapok masuk ke pejabat Manager Kemat Hassan, Manager berkenaan pada ketika itu sedang memarahi pekerjanya untuk membawa lori yang pancit tayar pulang ke studio dan kita ketahui lebih awal bahawa Bujang Lapok menjadi saksi kepada insiden tayar pancit itu. Selepas telefon diletakkan, Bujang Lapok pun masuk ke berjumpa Manager Kemat Hassan.

Sebenarnya ialah semasa insiden jiran-jiran Bujang Lapok yang bising di tengah-tengah malam. Pertamanya selepas Bujang Lapok menyelesaikan masalah pergaduhan suami isteri, kelihatan watak seorang lelaki berbadan besar, lakonan H.M.Busra memasuki bilik Fatimah, watak isteri kedua dalam pergaduhan tadi. H.M.Busra mengakui dia tersalah bilik. Selepas babak itu, jalan cerita beralih ke babak lelaki yang membuat bising menggunakan motorsikalnya. Selepas itu kita kembali ke babak H.M.Busra bermain trompet dan membuat bising sehingga dikerjakan oleh Bujang Lapok. Usai mengerjakan H.M.Busra, Aziz menegur lelaki motorsikal tadi yang sedang berusaha gigh menurunkan motorsikalnya menggunakan galah. Di situ P.Ramlee menjalinkan babak berkenaan secara berselang-seli. Walaupun ditonjolkan H.M.Busra dahulu, tetapi babak seterusnya bukan melibatkan beliau, tetapi terus kepada babak lelaki motorsikal berkenaan, dan selepas lelaki motorsikal, kembali ke lelaki berbadan besar dan penutupnya kembali ke lelaki motorsikal.

Begitu juga dengan dua babak berikut ini. Pertama menunjukkan Aziz cuba memikat seorang gadis di dalam bas yang kemudian kita ketahui melalui apa yang Aziz ceritakan, gadis tersebut merupakan seorang bisu. Kedua pula Ramlee terbaring dan termenung memikirkan tiada wang untuk berkahwin. Kemudian bila mereka tidur, berlau pula dua insiden. Pertama, polis datang mencari isteri Pak Mat Tempe untuk memaklumkan Pak Mat Tempe ada di hospital kerana terlibat dalam kemalangan, namun isteri Pak Mat Tempe seorang yang pekak dan ini menyebabkan Sudin terpaksa bercakap kuat dengannya. Ini ada kaitan dengan babak Aziz di dalam bas. Kedua pula pergaduhan sepasang suami isteri India hanya gara-gara tahi anak kecil yang terkena ke muka si suami. Ini pula ada kaitan dengan babak Ramlee terbaring dan termenung.

 P.Ramlee berjaya mengikat empat babak ini sebagai satu kaitan. Pertama memberikan petanda akibat kepada Aziz yang sebelum ini memikat seorang gadis bisu dan kedua memberikan petanda akibat kepada Ramlee yang terlalu ingin berkahwin.

Seterusnya kita dapat melihat babak semasa Sudin membuang batu yang kononnya hikmat itu ke longkang dan syot ketika itu menunjukkan batu itu dibuang dan selepas itu, babak berikutnya memaparkan Sharif Dol juga dibuang kerana pertunangannya dengan Salmah telah diputuskan. Seniman Bujang Lapok juga ialah filem tentang nilai wang, 30 sen untuk tiga cawan kopi, 30 sen untuk berpuluh-puluh akhbar lama, 40 sen untuk beberapa botol kosong, 10 riggit untuk batu hikmat, 30 sen untuk menggunakan beca, 1 riggit untuk menggunakan teksi, 20 riggit untuk belanja anak-beranak dan 200 riggit untuk berkahwin.

ULASAN & KRITIKAN

Kejayaan "Bujang Lapok", "Pendekar Bujang Lapok" dan "Ali Baba Bujang Lapok" yang bukan sahaja merupakan komedi yang menghiburkan tetapi juga memberi pendapatan (kewangan) yang agak lumayan kepada MFP. Dengan itu, P.Ramlee terus diberi 'green light' untuk menyambung siri komedinya itu. Cerita filem ini dihasilkan oleh H.M.Rohaizad dengan dialog oleh RohaiLee (H.M.Rohaizad dan P.Ramlee), mengisahkan tiga bujang lapok (Ramlee, Aziz dan Sudin) terlibat pula dengan dunia perfileman. Biasanya setiap filem P.Ramlee mengandungi sindiran dan tauladan. Oleh itu, filem ini tidak lari dan ke situ juga tujuannya. Banyak perkara ditonjolkan dalam filem ini yang bukan sahaja dalam masyarakat dunia filem, filem Melayu khususnya tetapi juga manusia yang duduk di rumah sewa yang mempunyai berbagai ragam dan kerenah.

Dari segi persembahan, filem ini tetap melucukan. Peranan pelakon-pelakonnya juga tidak mengecewakan. Ramlee, Aziz dan Sudin ketika berada di tempat shooting ketika Ahmad Nisfu mengarah dengan bintang undangannya Hashimah Yon dan S.Kadarisman dibuat dengan begitu lucu sekali. Peristiwa-peristiwa di rumah sewa di mana Mohd Rafee terkejut apabila motorsikalnya terbang ke atas bumbung, dan ketika H.M.Busra diikat oleh Ramlee, Aziz dan Sudin kerana memekakkan telinga dengan tiupan trumpetnya juga sangat melucukan. Pendek kata, setiap adegan yang dikemukakan oleh P.Ramlee pasti membuat kita sebagai penonton terketawa kerana kelucuannya. Pada keseluruhan, filem ini merupakan sebuah filem komedi yang baik di samping mengandungi lagu-lagu yang menghiburkan terutama Gelora.

IRAMA & LAGU

  1.  Menceceh Bujang Lapok (P.Ramlee, Aziz Sattar, S.Shamsuddin & Pancha Sitara)
  2. Gelora (P.Ramlee & Saloma)
  3. Senandung Kaseh (P.Ramlee & Saloma)
  4. Embon Menitik (Saloma) Ciptaan & Gubahan: (Embon Menitik ciptaan Ahmad Patek) P.Ramlee. Lirik: S.Sudarmarji Muzik Iringan: P.Ramlee Orkestra
  5. Menceceh Bujang Lapok diilhamkan P.Ramlee daripada lagu begitu popular nyanyian Harry Belafonte, The Banana Boat Song (Day-0). Malah perkataan 'menceceh' terdapat juga dalam lirik lagu nyanyian Harry Belafonte itu.

FAKTA & ANGKA

  1. Filem pertama Saloma diambil berlakon sebagai heroine. Sebelumnya Saloma hanya menyanyikan lagu-lagu yang terdapat dalam filem arahan P.Ramlee seperti "Penarek Becha", "Semerah Padi", "Panca Delima" dan "Sumpah Orang Minyak".
  2. Nama Saloma yang sebenar Salmah Ismail tetapi ditukar kepada Saloma berdasarkan peranan Rita Hayworth (Salome) dalam filem "Salome" (1953) yang turut dibintangi Steward Granger. Ada juga yang kata berdasarkan "Salome, When She Dance" (1951) lakonan Yvonne De Carlo.
  3. Filem keempat dan terakhir yang mengisahkan kehidupan Bujang Lapok yang diperanankan oleh P.Ramlee, Aziz Sattar dan S.Shamsuddin. Sebelumnya "Bujang Lapok", "Pendekar Bujang Lapok" dan "Ali Baba Bujang Lapok".
  4. P.Ramlee ingin menyambungnya di MFS tetapi kerana menghadapi berbagai masalah (terutama mendatangkan Aziz Sattar dan S.Shamsuddin ke Kuala Lumpur) terpaksalah P.Ramlee mengambil A.R.Tompel dan Ibrahim Din sebagai pasangannya dalam siri komedi baru - "Do Re Mi".
  5. P.Ramlee juga merancang meneruskan siri Bujang Lapoknya ini dalam bidang luas (ShawScope) dan berwarnawarni bertajuk "Bujang Lapok Ke Hong Kong" sekiranya beliau menjdi pengarah filem di studio Shaw Brothers Hong Kong.
  6. Filem pertama P.Ramlee mengambil Ahmad Mahmood berlakon berperanan sebagai doktor.
  7. Filem ini telah dihantar ke Festival Filem Asia Pasifik Ke-9 di Korea Selatan (1962) bersama "Lubalang Daik" yang diarahkan Jamil Sulong. Bagaimanapun gagal mencapai sebarang kemenangan. Tajuk asal filem ini "Bujang Lapok Jadi Bintang".
  8. Adegan shooting di mana S.Kadarisman mahu memancung Hashimah Yon dan kemudian diganggu oleh Sudin dan Aziz diilhamkan P.Ramlee dari filem Charlie Chaplin - "A Film Of Johnnie".
  9. Menurut Aziz Sattar, pemilihan Saloma sebagai Salmah dalam filem ini diluar jangkaan. Ini kerana Rose Yatimah dan Siti Hawa Majid telah lulus 'screen test'. Oleh kerana Rose Yatimah sudah membintangi "Pendekar Bujang Lapok", tentulah Siti Hawa Majid memegang karekter tersebut. Bagaimanapun, tiba-tiba saja Saloma menjadi pilihan P.Ramlee. Siti Hawa Majid juga telah di 'screen test' untuk "Sumpah Orang Minyak" tetapi gagal. Hingga sekarang Siti Hawa Majid tidak pernah berlakon filem (ada karekter), begitu pun juga dia berjaya dalam bidang penyiaran.     
    
SUMBER: FILEM-FILEM P RAMLEE


No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078