Pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) kira-kira pukul 4 petang dan tiba di lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini pukul 4.40 petang dengan membawa 144 penumpang, termasuk 18 anak yatim dari Institut Taufik Islami, Klang.

Ketibaan penumpang yang menikmati perkhidmatan layanan penuh itu disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Datuk Md. Anizam Ab. Rahman.

Pengarah Urusannya, Jaafar Zamhari berkata, berdasarkan polisi pe­nerbangan patuh syariah pertama di Malaysia, pihaknya akan mengenal pasti beberapa elemen syariah yang perlu diperhalusi dengan lebih teliti.

Beliau berkata, untuk destinasi dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, pihaknya menggunakan dua buah pesawat sehingga hujung tahun ini dengan dua penerbangan sehari dan bercadang meningkatkan kekerapan penerbangan pada waktu pagi mulai tahun depan.

“Selain itu, kami juga akan menambah laluan terus dari Kota Bharu ke Langkawi bermula tahun depan berdasarkan sambutan pengguna di negeri ini yang lebih cenderung memilih kapal terbang sebagai peng­angkutan utama,” katanya kepada pemberita di sini semalam.