Pages

Sunday, January 17, 2016

Legenda Bola Sepak Malaysia Zainal Abidin Hassan


Nama Zainal Abidin Hassan mula meniti bibir masyarakat bola sepak tanah air apabila bertukar posisi dari pertahanan kepada penyerang olh jurulatih dari England, mendiang Frank Lord pada tahun 1983 di Pahang.

Tiga tahun sebelum itu, pemain berambut Alfo era 70-an ini cuma dikenali sebagai pemain Selangor yang bersaudara dengan jagoan silam Selangor dan Malaysia seperti Khalid, Rahman dan Hanafiah Ali. Dari tahun 1980 hingga 1982, karier senior Zainal telah dihabiskan bersama Selangor malah dia meraih penampilan sulung antarabangsa di Pestabola Merdeka 1980, menyaksikan Malaysia tewas kepada Maghribi 2-1 dalam perlawanan akhir.

Lord terpikat dengan susuk fizikal Zainal yang tinggi dan besar - pemain ini sebenarnya berketurunan Sudan, Afrika di sebelah bapa - lantas lebih wajar dimanfaatkan di bahagian hadapan. Tahun 1983 menyaksikan 13 gol dijaringkan oleh Zainal sehingga Pahang menjulang Piala Malaysia buat kali pertama dengan menewaskan Selangor 3-2 termasuk gol kedua pada masa tambahan perlawanan akhir di Stadium Merdeka itu.

Dia kerap bertukar pasukan di antara Selangor dan Pahang dari tahun 1985 hingga 1990, 1991 hingga 1996 dan 1997 hingga 1999, merekodkan hampir 200 gol serta pingat Juara Piala Malaysia bersama kedua-dua negeri itu. Setelah beberapa kali kempunan pingat emas di Sukan Sea 1981, 1983 dan 1985, Zainal beroleh sedikit penawar gol yang dijaringkan pada minit ke 47 membantu Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka 1986 setelah menewaskan kelab Sigma Olomouc dari Czechoslovakia 3-0.

Sukan Sea Kuala Lumpur 1989 menyaksikan penantian emas Zainal dan Malaysia selama sedekad berakhir apabila jaringan Lim Teong Kim dan Dollah Salleh serta gol sendiri Borhan Abu Samah mengirim Singapura pulang dengan kekalahan 3-1. Zainal yang meniti penghujung karier pada era90-an, secara tiba-tiba kembali melonjak apabila dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai Piala Tiger 1996 walaupun pasukan kebangsaan ditewaskan Thailand 1-0 dalam perlawanan akhir di Singapura sebelum menggantung but sepenuhnya pada tahun 1999.

Dia dilantik melatih pasukan belia negara pada tahun 2001 dan penolong jurulatih senior kebangsaan tahun 2002 seterusnya membimbing Pahang memenangi Liga Super 2004 dan Piala FA 2006 malah bergandingan semula dengan rakan lama, Dollah Salleh di kelab Shahzan Muda sebagai pengurus dan jurulatih dari tahun 2009 hingga 2010. Zainal-Dollah membawa Tok Gajah menjulang Piala Malaysia 2013 yang pertama selepas kemarau 21 tahun dan dilantik sebagai jurulatih baru mulai Mac 2014 menggantikan jurulatih import Ronald Smith untuk mempertahankan trofi Piala Malaysia. Mulai tahun 2016, Zainal kembali ke pangkuan pasukan Selangor dengan menjadi jurulatih.  

Pemilik Restoran Legenda 17, Shah Alam ini yang mengumpul 138 penampilan dan 78 gol antarabangsa, juga pernah diundang menjadi juri program komedi TV Astro Warna, Maharaja Lawak Mega 2011. Lahir pada 9 November 1961, dia kini bahagia bersama isteri Zalina Zaini dan lima orang anak - Zaiza juga bek tengah Selangor dan Pahang, Zairi, Zaihim, Zaifiq dan Zahira Aisyah.   

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078