Pages

Sunday, January 24, 2016

Legenda Bola Sepak Malaysia Wong Kuw Fou


Masyhur dan handal di peringkat kebangsaan sepatutnya turut berjangkit ke pentas antarabangsa bagi bek tengah Malaysia era 70-an hingga 80-an, Wong Kuw Fou.

Namun kehadiran mereka yang lebih gah seperti Datuk M.Chandran, Datuk Soh Chin Aun dan Datuk Santokh Singh, telah menipiskan peluang pertahanan lampai itu untuk menyertai kesebelasan utama negara. Kuw Fou sekadar menjadi pemanas bangku simpanan biarpun tetap berbangga berada dalam pasukan yang berjaya mengalungkan Malaysia pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974.

Barisan benteng negara ketika itu turut memiliki P. Umaparam dan Mohd Hanafiah Ali selain gawang pula dikawal kukuh oleh mendiang Datuk R.Amurugam dan Wong Hee Kok. "Waktu itu pasukan kebangsaan kita memang dianggotai ramai pemain yang cukup matang dan berbakat. Mereka dalam prestasi terbaik dan calang-calang lawan susah hendak menewaskan kita," kata Kuw Fou.

Kenyataan Kuw Fou jelas berasas jika merujuk kepada kejayaan Malaysia menewaskan Korea Utara 2-1 dalam penentuan pingat gangsa Sukan Asia selain membenam Korea Selatan 3-2 dalam perlawanan terdahulu. Malah sebulan sebelum itu, Korea Selatan juga ditundukkan menerusi jaringan tunggal Datuk Mokhtar Dahari dalam perlawanan akhir di Ipoh, Perak untuk mempertahankan gelaran Pestabola Merdeka.

Kuw Fou juga tersenarai dalam skuad 17 pemain negara di bawah bimbingan Chandran untuk menentang Arsenal dalam dua perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pada 11 dan 13 Mei 1975. Dia masuk menggantikan Chin Aun ketika Malaysia menewaskan kelab England itu 2-0 di Stadium Merdeka namun bermain sepenuh maa apabila jaringan Allayarham Isa Bakar disamakan oleh Brian Kidd menerusi gol lewat di Stadium Bandaraya.

Tahun sama menyaksikan Kuw Fou diturunkan taraf ke skuad Malaysia B bagi memberikan peluang beraksi sambil dilantik untuk memimpin pasukan ke Piala Raja Thai di Bangkok. Ketua pasukan Melaka dari tahun 1972 hingga 1976 itu juga menyimpan kehampaan yang agak mendalam berikutan kegagalan ke perlawanan akhir Piala Malaysia sepanjang karier di peringkat negeri hampir dua dekad sejak 1969.   

Hanya gelaran liga dan Piala MCFA (Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia) mampu menjadi sedikit penawar buat Kuw Fou kerana berjaya membawa Melaka bergelar juara dari tahun 1978 hingga 1981. Seperti Datuk Ng Boon Bee, yang memenangi Pestabola Merdeka 1958 dan 1960 dan emas badminton Sukan Asia 1962 serta Piala Thomas 1967, Kuw Foo turut serba boleh dalam sukan lain. Tubuh agam melayakkan Kuw Foo mengisi posisi selaku pemain 'three quarter' dalam skuad ragbi negeri Melaka selain pernah beraksi dalam acara lompat jauh Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (Maksak) Malaysia. 


No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078