Pages

Thursday, January 28, 2016

Legenda Bola Sepak Malaysia Wan Zawawi Wan Yusoff





Minit ke-77 sekitar pukul enam petang di Ingolstadt, Jerman Barat tanggal 29 Ogos 1972.

Tidak mungkin detik itu boleh luput dengan mudah daripada ingatan Wan Zawawi Wan Yusoff sampai bila-bila walaupun kini sudah mencecah 67 tahun. Rembatan mudah Wan Zawawi melengkapkan kemenangan 3-0 pasukan negara ke atas Amerika Syarikat dalam perlawanan Kumpulan A Sukan Olimpik Munich.

Anak jati Kampung Penambang, Kota Bharu Kelantan ini bijak menyambar peluang yang terhidang biarpun lompatan penyerang Shaharudin Dollah sebelum itu terlepas satu umpanan lintang dari sebelah kanan. Ia bermakna pintu gol Amerika Syarikat yang dikawal oleh Michael Ivanov berjaya dibolosi buat kali ketiga selepas sepakan bebas Shaharuddin pada minit ke 14 dan ledakan kaki Salleh Ibrahim minit ke 67 menggegarkan gawang.

Wan Zawawi juga bermain sepenuh masa dalam ketiga-tiga perlawanan Olimpik itu termasuk ketika dikalahkan Jerman Barat 3-0 dan dibelasah Maghribi 6-0. Bekas Pegawai Penjara Pengkalan Chepa ini turut membarisi skuad yang menempah tiket Olimpik itu semasa menjuarai Kelayakan Asia Timur 1971 di Seoul, Korea Selatan.

Dia juga membantu Malaysia memenangi pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974, beraksi bersama-sama Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Allahyarham Isa Bakar, Syed Ahmad Abu Bakar dan Shaharudin. Mereka dibelasah Israel 8-3 dalam Kumpulan C dengan Wan Zawawi menyumbat gol pertama negara menerusi sepakan penalti minit ke 61 setelah Syed Ahmad dijatuhkan dalam kotak penalti ketika mereka ketinggalan 0-5.

Skuad negara kemudian diikat Jepun 1-1 namun mara ke pusingan kedua menerusi kelebihan gol setelah membelasah Filipina 11-0 hasil lima gol daripada Mokhtar dan masing-masing dua jaringan Syed Ahmad, Isa dan Harun Jusoh. Dalam liga pusingan kedua, Malaysia dibenam Iran 1-0, seri 0-0 menentang Iraq dan menewaskan Korea Selatan 3-2 namun meraih gangsa setelah menjinakkan Korea Utara 2-1 dalam penentuan tempat ketiga.

Lahir tanggal 11 April 1949,  Wan Zawawi menceburi bidang bola sepak seawal usia 17 tahun dan mula bertugas di Jabatan Penjara pada 9 Februari 1970. Midfielder bertubuh cilik tetapi tangkas Piala Burnley 1966 dan seterusnya Malaysia dari tahun 1969 hingga 1977 yang melitupi Sukan SEAP 1971, 1975, dan 1973, Sukan Asia Bangkok 1970 dan beberapa edisi Pestabola Merdeka.

Malang sekali, dia terlepas untuk menjulang Piala Malaysia 1970 selepas Kelantan dikecewakan oleh Perak dengan keputusan 2-0 malah gagal menyudahkan empat peluang gol dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Merdeka. Sebaik sahaja bersara dari arena antarabangsa, dia menyertai Pahang dan berjaya membawa skuad Tok Gajah ke empat aksi separuh akhir Piala Malaysia sebelum menggantung but sepenuhnya pada tahun 1981.


No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078