Pages

Sunday, January 24, 2016

Legenda Bola Sepak Malaysia Salim Mahmud Muhaidin



Untuk dua Sukan SEA berturut-turut, Salim Mahmud Muhaidin kempunan menaiki podium juara namun pada percubaan kali ketiga, dia antara 18 orang pemain Malaysia yang mengucup pingat emas kejayaan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Semasa temasya Bangkok 1985, anak jati Kelantan ini cuma mampu meraih pingat gangsa diikuti pingat perak dua tahun kemudian gara-gara jaringan tunggal masa tambahan Indonesia di Jakarta 1987. Di Stadium Supachalasai, Bangkok, kegagalan Salim menyudahkan sepakan penalti keenam telah menyekat kemaraan Malaysia di peringkat separuh akhir menentang Singapura apabila tewas 6-5 dan terikat 2-2 dalam permainan sebenar.

Khan Hung Meng terdahulu menyelamatkan Malaysia menerusi gol penyamaan, seminit sebelum perlawanan tamat dan Salim diberikan tanggungjawab mengambil sepakan penalti seterusnya apabila Singapura mendahului menerusi Leong Kok Fann. Semua sepakan Malaysia sebelum itu disempurnakan oleh Dollah Salleh, Nasir Yusuf, Zainal Abidin Hassan, Hung Meng dan Kamaruddin Ahmad.

Namun kenangan pahit yang terbuku selama empat tahun itu akhirnya terpadam di Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 apabila kilauan pingat emas berjaya dikutip oleh bek kiri ini selepas menewaskan Singapura 3-1 yang berkebetulan dengan hari ulang tahun kemerdekaan negara kali ke 32. Salim sentiasa menjadi pilihan jurulatih dari England, Trevor Hartley dalam kesebelasan utama skuad negara yang menjuarai Kumpulan A dengan mengatasi Indonesia 2-0, Filiina 3-0, Brunei 2-1 sebelum mengecewakan Thailand 1-0 di peringkat separuh akhir.

Salim yang lahir pada 27 Jun 1961,  turut mengumpan bola untuk gol perdahuluan daripada Radhi Mat Din pada minit ke-19 ketika menentang Brunei. Kejayaan tanggal 31 Ogos 1989 itu turut mengakhiri kemarau pingat emas sedekad bola sepak negara di Sukan SEA hingga mendorong kejayaan mengisytiharkan cuti umum pada keesokan hari.

Antara rakan sepasukan Salim dalam skuad Hartley ketika itu ialah Rashid Hassan, Azmi Mahmud, Lee Kin Hong, Serbegeth Singh, Chow Siew Yai, Razip Ismail, See Kim Seng, Ahmad Yusoff, Azizol Abu Haniffah, Lim Teong Kim, Mat Zan Mat Aris, Radhi, Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan, Subadron Aziz, A.Anbalagan dan P Ravindran. Dari tahun 1976 hingga 1980, karier bola sepak Salim berputik di arena Piala Rahman dan Piala Razak sebelum dipanggil ke pasukan senior Kelantan pada usia 19 tahun.

Seangkatan dengan Salim dalam skuad Kelantan ketika itu ialah Rosli Hussien, Wan Affandi Yusoff, Yasin Mohd Noor, Mohamad Nor Yaakob dan Anizan Daud. Dari tahun 1981 hingga 1982, dia dipilih menyertai skuad pelapis negara, Harimau Malaysia yang disasarkan ke Sukan Olimpik 1984 malah cukup bertuah kerana sempat menerima tunjuk ajar daripada bekas Kapten England dan Liverpool, Kevin Keegan. Mulai tahun 1982 hingga 1991, Salim menyarung jersi skuad senior negara, menyertai beberapa pertandingan antarabangsa seperti Piala Ovaltine, acara tahunan menentang Singapura dan Piala Presiden Park di Korea Selatan 1985.  

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078