Pages

Sunday, January 31, 2016

Legenda Bola Sepak Malaysia Reduan Abdullah


Seorang guru sekolah pernah memperkecilkan kemampuan Mohd Reduan Abdullah untuk bermain bola sepak malah menyuruh dia pulang ke rumah di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Hanya gara-gara bertubuh kecil dan rendah, dia berasa seperti dihina guru itu lantas enggan menyentuh bola langsung ketika bersekolah menengah di Ampang sekalipun dia pernah mewakili pasukan sekolah rendah. Namun kejayaan menyarung jersi Selangor malah Malaysia dari 1973 hingga 1985 sudah cukup untuk menjawab dan membidas kembali penghinaan semasa sesi pemilihan pasukan sekolah menengah itu.

Kelab Keramat, Hong Chin dan PKNS juga banyak mengasah bakat pemain bakat pemain tengah ini, yang lahir pada 26 Disember 1952, sebelum bergelar pemain Selangor dan juara Piala Malaysia sebanyak tujuh kali. Reduan seangkatan nama besar bola sepak Selangor dan Malaysia era 70-an hingga 80-an seperti Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Mendiang Datuk R. Arumugam, Datuk Santokh Singh dan Datuk Soh Chin Aun.

Bekas Jurulatih MPPJ, Felda United, Pulau Pinang ini pernah mengukir kenangan manis dengan skuad negara yang menjuarai Piala Raja Thai 1978 malah menyumbangkan satu gol untuk menewaskan Singapura dalam perlawanan akhir. Kejayaan itu turut melenyapkan detik suram Reduan untuk mengecap gelaran Pestabola Merdeka 1977 setelah Malaysia cuma dinafikan perbezaan gol kepada Iraq untuk ke perlawanan akhir hasil enam perlawanan liga sepusingan.

Terdahulu Malaysia menewaskan Burma 1-0 dan Thailand 3-0, seri tiga perlawanan menentang Libya 1-1, Iraq 0-0, dan Korea Selatan 1-1 sebelum satu jaringan Reduan membantu membelasah Indonesia 5-1 selain gol daripada Mokhtar, Allahyarham Isa Bakar, Santokh Singh dan Soh Chin Aun. Beberapa bulan sebelum itu, Reduan, yang kini menjadi penolong jurulatih pasukan Malaysia, hanya sekali bermain buat Malaysia berdepan Hong Kong semasa terkandas dalam pusingan Kelayakan Piala Dunia 1977 di Singapura apabila sekadar menduduki tangga ketiga Kumpulan 1.

Empat mata yang diraih bagaimana tetap percapaian terbaik Malaysia dalam sejarah Kelayakan Piala Dunia yang turut disertai D.Devandran, Allahyarham Yahya Jusoh, Datuk Shukor Salleh, mendiang Wong Chong Wah, Abdullah Ali, Bakri Ibni dan James Wong. Namun nama Reduan sekali lagi meniti bibir jurulatih negara apabila dia disenaraikan bagi aksi persahabatan menentang England B, bimbingan Mendiang Bobby Robson di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Mei 1978

Reduan masuk menggantikan pemain Sarawak, James Yaakub dalam perlawanan yang menyaksikan rembatan deras Mokhtar sejauh 30 meter berjaya menewaskan penjaga gol, Joe Corrigan untuk mengikat England B dengan keputusan 1-1. "Satu pengalaman manis apabila dapat bermain menentang bintang-bintang England," ulas Reduan, yang sempat bertukar jersi selepas perlawanan dengan David Needham, pemain kelab Nottingham Forest. Turut terpahat dalam memori Reduan adalah ketika mewakili Pilihan Selangor menentang kelab Argentina, Boca Juniors yang diketuai pemenang Piala Dunia 1986, Diego Maradona untuk satu aksi persahabatan pada tahun 1982.


SUMBER: Wikipidea


No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078