Pages

Friday, January 22, 2016

Legenda Bola Sepak Malaysia Matlan Marjan


Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Matlan Marjan mampu menghampiri status legenda Supermokh sekiranya skandal rasuah bola sepak yang menjerat dirinya pada Jun 1995 tidak berlaku dan memendekkan kariernya sebagai pemain negara

Jika Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari meledakkan rembatan penyamaan untuk mengikat England B 1-1 pada tahun 1978, dua gol Matlan memecahkan rekod jaringan itu meskipun Malaysia tumpas kepada England 4-2 pada tahun 1991. Dua gol dalam aksi pesahabatan itu juga menyamakan rekod 35 tahun milik Toni Fritsch yang menewaskan England dalam penampilan sulung buat Austria pada 26 Oktober 1965 di Wembley, London.

Penyerang berambut panjang dan bertubuh sederhana ini juga kerap digelar sebagai pewaris kepada Hassan Sani atau James Wong ketika menyarung jersi skuad Sabah dari tahun 1988 hingga 1995. Jika James Wong memukau Stadium Merdeka dengan membenam Korea Selatan dalam aksi Kelayakan Olimpik 1980, Matlan juga menggamatkan gelanggang bersejarah itu menerusi gol minit ke 52 dan ke 76 pada 12 Jun 1991.  

Rembatan kaki kiri Matlan hasil tolakan tumit Zainal Abidin Hassan berjaya menewaskan Chistopher Woods sebelum dia menyambar hantaran lawan ke belakang untuk memperdayakan penjaga gol England bagi gol kedua. "Matlan? Dia mengambil peluang dengan amat baik bagi gol Malaysia," puji pengurus England, Graham Taylor selepas pelawanan siri jelajah mereka yang sebelum itu gagal dibolosi oleh Australia dan New Zealand.

Kehebatan Matlan menyaingi England sepanjang perlawanan pasti dikenang Ketua Pasukan England Gary Linekar yang menjaringkan keempat-empat gol tersebut menewaskan Hassan Miskam dan Khairul Azman Mohamad. Sabah yang membariskan Hassan dan James sekadar mara ke separuh akhir Piala Malaysia 1978 dan 1979 namun Matlan berjaya menghadiahkan Piala FA buat Sabah pada tahun 1995 selepas menewaskan Pahang 3-1.

Namun atas satu tuduhan rasuah, Matlan dan empat rakan sepasukan dalam skuad Sabah telah diharamkan daripada bola sepak seumur hidup malah turut dibuang daerah ke Semporna ketika usia baru 26 tahun .Pemuda kelahiran Kampung Timbang Dayang, Kota Belud pada 18 Oktober 1968 ini memulakan karier bola sepak dengan skuad Piala Presiden Sabah mulai tahun 1987 sebelum menyertai pasukan senior, setahun kemudian. Adiknya, Zainizam Marjan yang muda 12 tahun, pernah membantu Sabah dan Malaysia bergelar naib juara Piala Malaysia 2003 dan meraih tempat keempat Piala Tiger AFF 2002.

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078