Pages

Monday, January 18, 2016

Legenda Bola Sepak Malaysia Lim Teong Kim


Tercedera angkara rakan sekelab Hertha Berlin, diperlekehkan FAM dan membelanjakan $10.000 demi ilmu kejurulatihan Jerman, menjadi antara rintangan terbesar Lim Teong Kim yang kini menjawat jawatan Pengarah Program Projek Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Dia juga terpaksa berdepan cabaran bahasa, cuaca dan makanan malah persaingan rakan yang hanya mementingkan diri malah sanggup memusuhi dirinya, semata-mata mahukan tempat utama di kelab divisyen tiga Jerman itu. Meskipun hanya semusim (1987) Teong Kim di sana selepas membina karier peringkat Piala Malaysia bersama Melaka (1983) dan Selangor (1984 hingga 1986) tetapi ia tetap berbaloi sebaik dia kembali ke tanah air untuk mewakili Kuala Lumpur.

Skuad ibu kota itu menguasai Piala Malaysia but tiga musim berturut-turut dari tahun 1987 hingga 1989 dan menyaksikan midfielder lasak ini membantu Malaysia mengakhiri kemarau pingat emas sedekad dalam Sukan SEA selepas menewaskan Singapura 3-1 di Stadium Merdeka. Gol Teong Kim pada minit ke 59 menjadi hadiah terbaik buat Malaysia sempena ulang tahun kemerdekaan negara kali ke 32 selepas pemain lawan, Borhan Abu Samah menjaringkan gol sendiri dan diakhiri oleh Dollah Salleh pada minit ke 60.

Minat dan keazaman mendalam untuk mengembangkan karier profesional menambat Teong Kim dengan kelab divisyen dua Austria, Gak Graz pada tahun 1990 walaupun cuma seketika sebelum kembali ke Kuala Lumpur seterusnya Negeri Sembilan dan Kedah dari tahun 1992 hingga 1994. Anak kelahiran Melaka pada 26 Ogos 1963 ini dibesarkan dalam sebuah keluarga besar bola sepak yang turut mengandungi Lim Seng Koon, Lim Kim Chon, Lim Chuan Chin, dan Lim Hong Guan selain saudara perempuan mereka, Mary iaitu bekas pemain hoki negara.

Kim Chon merupakan bekas Pengarah Teknikal Konfederasi Bola Sepak Asia dan FAM, Chuan Chin - bekas penjaga gol Malaysia, Melaka, Selangor, Perak dan Pahang, Hong Guan (Melaka dan Selangor) manakala Seng Koon pernah mewakili Johor dan Angkatan Tentera. Mengumpul 75 penampilan bersama Malaysia dari tahun 1982 hingga 1991, Teong Kim kemudian beroleh lesen kejurulatihan Jerman pada tahun 1995 dan 1997 dari Sekolah Sukan Henref untuk menganggotai barisan jurulatih kelab belia Bayern Munich.

Dia kembali semula ke tanah air, kali ini untuk memimpin Akademi FAM dan skuad Bawah 14 Negara yang menjuarai Zon Asia Pasifik Piala Perdana Antarabangsa Nike pada tahun 1998 namun melepaskan kesemua jawatan itu, setahun kemudian. Selepas itu, Teong Kim menetap beberapa tahun di Jerman malah mengahwini wanita tempatan dan dikurniakan seorang anak lelaki serta dua perempuan.

Di Universiti Cologne, dia melengkapkan kursus kejurulatihan selama enam bulan dengan Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) pada tahun 2005 yang melayakkan dirinya untuk melatih mana-mana kelab Bundesliga dan bergelar fussball lehrer (guru bola sepak). Jurulatih skuad remaja Bayern Munich dari tahun 2001 hingga 2011 ini turut menyaksikan permulaan dan perkembangan karier bintang Piala Dunia Jerman seperti Andreas Moeller, Holger Badstuber, Thomas Muller dan Bastian Schweinsteiger di kelab itu. Tanggal 21 Ogos 2013, Teong Kim dilantik oleh Kementerian Belia dan Sukan sebagai Pengarah Projek NFDP menerusi kontrak lima tahun dan menetapkan sasaran Malaysia layak ke Piala Dunia Bawah 17 pada tahun 2019. 

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078