Pages

Friday, January 15, 2016

Legenda Bola Sepak Malaysia Khairul Azman Mohamad

Khairul Azman Si Tangan Emas Sedia Berkhidmat


Selama 20 tahun Khairul Azman Mohamad memilih untuh mengerah keringat dan membanting tulang di padang bola sepak tanpa mempedulikan kesihatan diri kemudian hari.

Dari tahun 1985 hingga 2005, penjaga gol berketinggian 1.85 meter itu menabur jasa dan rela berkorban demi melindungi gawang Malaysia, Pahang dan juga Sabah sedangkan terpaksa menanggung kesakitan dalam diam. Gara-gara diasak tuntutan keras bola sepak dan pelbagai insiden berlaga dengan pemain, lutut kanan Khairul kini sudah tidak lagi berligamen, tendon atau meniskus manakala lutut sebelah kiri tanpa komponen penting yang menghubungkan anggota.

Namun kesetiaan pemain berkumis dan berambut tocang ekor kuda itu - mirip bekas penjaga gol England dan Arsenal, David Seaman tetap berbaloi di arena tempatan ataupun antarabangsa. Bersama Pahang, trofi Piala Malaysia berjaya dijulang Khairul pada tahun 1992 sementara karier bersama Sabah menyaksikan dia mengutip gelaran Piala FA 1995 dan gelaran Liga Perdana Satu 1996.

Pada tahun 1992, Khairul dan rakan sepasukan seperti Zainal Abidin Hassan, Azman Adnan, A Jayakanthan, Shahrin Majid dan P. Ravindran mengejutkan Australia 1-0 selain membawa pulang Piala Kemerdekaan Jakarta Raya dari Stadium Senayan, Jakarta Indonesia. Setahun kemudian, skuad Malaysia yang sekali lagi diperkuatkan oleh Khairul Azman memenangi kejuaraan Piala Pestabola Merdeka hasil bimbingan pengurus dari Australia, Ken Worden, satu kejayaan yang diraikan seluruh negara apatah lagi selepas menewaskan Korea Selatan 3-1 di Stadium Merdeka.

Khairul bijak mengusik minda dan psikologi pemain lawan terutama ketika berdepan sepakan penalti sehingga pemain import Selangor, Mehmet Durakovic turut longlai membuat penyudahan walaupun Sabah terpaksa berpuas hati selaku Naib Juara Piala Malaysia 1996. Jika bukan kerana rembatan deras Kiatisuk Senamuang, keputusan perlawanan akhir Piala Tiger 1996 mungkin berlainan buat Khairul dan pasukan negara yang memburu gelaran edisi sulung 'Piala Dunia Mini Asia Tenggara' itu di Singapura.

Anak jati Kuantan, Pahang yang lahir pada 5 Mac 1968 itu, mengakhiri karier di peringkat antarabangsa yang meliputi 59 penampilan selepas Malaysia diaibkan Laos 1-0 dan gagal melepasi peringkat kumpulan Sukan Sea Jakarta 1997. Pesaing Khairul di gawang negara ketika itu ialah Muadzar Mohamad juga dari Pahang, pemain Selangor, Yap Kam Choon dan Azmin Azram Aziz serta Mazlan Wahid dari Sarawak.  

Dua percubaan Khairul untuk menghadiahkan Piala Malaysia kepada Sabah bagaimanapun tidak kesampaian pada tahun 2002 dan 2003 kerana disekat oleh Selangor 1-0 dan MPPJ 3-0 sebelum akhirnya memilih untuk bersara dua tahun kemudian. Dia kekal di Sabah selaku jurulatih penjaga gol sehingga tahun 2009 namun kembali ke Semenanjung apabila mendapat undangan bekas rakan sepasukan di Pahang, Fandi Ahmad untuk menyandang peranan sama dengan Johor Darul Takzim (JDT) pada tahun 2013.  

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078