Pages

Friday, January 15, 2016

Legenda Bola Sepak Malaysia Hashim Mustapha

Hashim "Mesin Gol" Pantai Timur



Tiga kali merangkul anugerah Kasut Emas 1990, 1993, dan 1994 merangkul Piala FA 1996 serta gelaran Liga Perdana Dua 1999, karier bola sepak Mohd Hashim Mustapha ternyata gemilang.


Hanya jaringan tunggal Indonesia pada masa tambahan di Sukan Sea Jakarta 1987 yang menafikan hasrat Hashim untuk sebaris dengan Nik Pauzi Hasan, Wan Rashid Muhamad, Abd Hamid Ramli dan Kamarudin Mohd Nor sebagai anak jati Kelantan yang pernah mengucup emas di temasya serantau itu. Keempat-empat mereka sebelum ini membanggakan Malaysia dengan emas Sukan Sea Kuala Lumpur 1977 dan Jakarta 1979 namun Hashim dan seorang lagi rakan senegeri, Salim Mahmud Muhaidin terpaksa akur dengan tuan rumah yang turut bertemankan 120.000 penyokong fanatik di Stadium Gelora Bung Karno.

Namun empat hari sebelum itu tetap menjadi kenangan manis buat anak kelahiran Kota Bharu ini, yang bersama Dollah Salleh menumbangkan juara bertahan, Thailand 2-0 di peringkat separuh akhir di sebalik harapan tipis yang diberikan ramai pemerhati kepada mereka. Skuad Thailand memiliki nama besar seperti Piyapong Pue-Onn, Ronnachai Sayomchai, Vitoon Kijmongkolsak dan Attapol Buspakom yang juga berpengalaman bermain di Liga Malaysia namun tetap tewas dengan tandukan terbang Hashim dan Dollah pada minit ke-68 dan 73.

Lahir pada 31 Januari 1966, Hashim mula menyarung jersi No 10 Kelantan pada tahun 1984 hingga 1995 sebelum menyerlah bersama Kedah apabila menjulang Piala FA pada tahun 1996 dan membantu Johor menjuarai Liga Perdana Dua 1999. Hashim layak digelar sebagai mesin gol kerana 15 gol yang terhasil di Divisyen Dua 1990 telah membawa skuad Kijang melangkah ke Divisyen Satu 1991 manakala jaringan hatrik dalam perlawanan terakhir liga 1993 telah menghimpunkan 13 gol untuk memintas penyerang import Pahang, Jose Iriarte sebagai penjaring terbanyak   


Kejayaan Hashim mempertahankan Kasut Emas pada tahun 1994 lebih menonjol apabila menyumbat sejumlah 29 gol selepas terlibat dalam kesemua 39 perlawanan Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia buat Kelantan sepanjang musim itu malah tidak pernah digantung atau tercedera. Namun, Hashim yang kini berusia 49 tahun tidak terlepas daripada berselisih dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan apabila dua kali meninggalkan negeri itu sebelum kembali untuk mewakili kelab JKR dan TNB pada era penghujung karier pada tahun 2000 sebelum menggantung but setahun kemudian.



Setelah dilantik sebagai jurulatih skuad Piala Presiden Kelantan pada tahun 2008, Hashim dinaikkan pangkat sebagai penolong jurulatih pasukan utama yang turut menyaksikan impian untuk menjulang Piala Malaysia tertunai selepas mereka menewaskan Negeri Sembilan dan Angkatan Tentera Malaysia 2-1 dan 3-2 pada tahun 2010 dan 2012. Berdasarkan pengalaman kejurulatihan selama lima musim dari tahun 2010 hingga Mac 2015 membantu B.Sathianathan, Datuk M. Karathu, Peter Butler, Bojan Hodak, Steve Darby dan George Boateng, Hashim kini melatih Kelab Kementerian Kewangan yang menduduki tangga keempat Kumpulan B Liga FAM 2015. 


No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078