Pages

Wednesday, January 20, 2016

Legenda Bola Sepak Malaysia D. Devandran


Ahad, 14 September 2014 - Arena bola sepak Malaysia kehilangan seorang lagi tonggak skuad yang layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980, buat selama-lamanya.

Allahyarham Hanis Devandran Abdullah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti, Petaling Jaya, Selangor lebih kurang pukul 9 malam. Bekas pemain negara kelahiran Pahang ini, berusia 60 tahun ketika itu, merupakan tonggak Olimpik 1980 yang ketiga meninggal dunia selepas mendiang Datuk R.Amurugam dan Ong Yu Tiang.

Ketika hayatnya, D.Devandran turut menganggotai barisan pemenang pingat emas Sukan SEA dua kali berturut-turut di Kuala Lumpur 1977 dan Jakarta 1979. Bek kiri ini juga di antara kalangan pemain yang mengukir percapaian terbaik Malaysia dalam Kelayakan Piala Dunia 1977 di Singapura dan Piala Asia 1980 di Kuwait meskipun gagal ke peringkat berikutnya. 

Namun detik kemuncak karier bola sepaknya pastinya kelayakan Olimpik Kumpulan 2 Asia 1980 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Dia dimasukkan oleh jurulatih Malaysia dari Jerman Barat, Karl Heinz Weigang sebagai pengganti Datuk Jamal Nasir Ismail pada minit ke 29 perlawanan kedua, menentang Korea Selatan tanggal 25 Mac 1980.

Membentuk gandingan benteng dengan Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh dan Kamarudin Abdullah selain penjaga gol Arumugam, mereka kekal tanpa dibolosi lawan malah menang selesa 3-0. Dua hari kemudian, dia diharapkan Weigang sekali lagi untuk menghadapi Brunei yang menyaingi sengit malah sempat membolosi gawang yang dikawal oleh mendiang Peter Rajah sebelum tewas 3-1 menerusi dua jaringan daripada James Wong dan Zulkifli Hamzah. 

Dua lagi jurulatih negara, Datuk M.Kuppan dan Allahyarham Mohamed Che Su turut menyakini kemampuan dengan menyenaraikan Devandran ke Kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia. Dia menjadi pilihan mereka sebagai tulang belakang negara di samping Jamal, Wan Jamak Wan Hassan, Nik Pauzi Hasan, Kamaruddin, Allahyarham Yahya Jusoh dan Chin Aun. Di peringkat kebangsaan, sentuhan Devandran turut terserlah apabila membantu Pahang memecahkan monopoli Singapura dan Selangor untuk menjulang Piala Malaysia buat kali pertama pada tahun 1983.  

Sepasukan dengan Devandran yang menewaskan Selangor 3-2 dalam perlawanan akhir itu ialah Sanusi Daud, Tajuddin Nor, Nordin Mohamad, T.Pathanatan, Datuk Abdah Alif, R. Suriamoorthy, Hamidon Abdullah, Yunus Alif dan Zainal Abidin Hassan. Jurulatih Pahang ketika itu, Frank Lord juga menggemari gaya permainan Devandran malah warga England ini yang kemudian dilantik melatih skuad negara pada awal 80-an, menamakannya bagi menghadapi kejohanan antarabangsa.   

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078