Menurut kajian oleh Pusat Penerbangan Asia Pasifik (CAPA) hari ini, penyertaan syarikat baharu itu dilihat berupaya meningkatkan pertumbuhan pasaran domestik Malaysia pada 2016, berbanding 2015 yang dijangka hanya mampu mencatatkan pertumbuhan dua peratus iaitu pertumbuhan terendah sejak 2006.

Jelas CAPA, setakat 11 bulan pertama 2015 trafik penumpang domestik hanya meningkat dua peratus daripada 20.37 juta kepada 20.78 juta. Malaysia dijangka mencapai sasaran penumpang domestik 23 juta pada 2015 berbanding 22.5 juta pada 2014 iaitu peningkatan dua peratus.

“Persaingan industri 2016 dijangka rancak dengan kehadiran Rayani Air serta pemulihan semula Malaysia Airlines (MAS). Ia mungkin menyaksikan pertumbuhan penumpang domestik yang lebih baik, namun akan menjejaskan keuntungan syarikat,” jelas CAPA dalam kajiannya di sini hari ini.

Berdasarkan statistik yang dikumpul oleh pusat itu, jumlah penumpang domestik Malaysia mencatatkan pertambahan berganda sejak 2002 daripada hanya sekitar 10.2 juta kepada 23 juta pada tahun ini. Dalam tempoh tersebut, hanya 2006 sahaja yang mencatatkan pertumbuhan terendah iaitu kepada sekitar 13 juta sama sahaja seperti tahun 2005.