Pages

Sunday, January 31, 2016

Legenda Bola Sepak Malaysia Khalid Ali


Masih terpahat kenangan pahit manis ketika dan selepas Kelayakan Olimpik Moscow 1980 buat Abd Mohd Khalid Mohd Ali atau lebih dikenali sebagai Khalid Ali, bekas midfielder negara dari tahun 1977 hingga 1983. 

Antara kejayaan manis itu termasuklah menganggotai skuad Malaysia bimbingan Karl Heinz Weigang yang menjuarai Kumpulan 2 selain koleksi enam gol yang dijaringkan Khalid sepanjang pusingan Kelayakan Asia tersebut yang berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Paling mengejutkan adalah bagaimana perubahan posisi Khalid dari bek kanan ke midfielder bertahan yang dilakukan oleh Weigang, menjadikan dirinya cukup digeruni pemain lawan seperti Korea Selatan, Jepun, Indonesia, Brunei dan Filipina. 

Anak kelima daripada sembilan adik beradik itu baru berusia 22 tahun semasa kejohanan berlangsung, bergandingan mantap dengan Datuk Shukur Salleh di bahagian tengah selain Datuk Abdah Alif serta Bakri Ibni. "Saya memulakan karier dengan Selangor dalam Piala Burnley kemudian Piala Malaysia sebagai bek kanan sejak tahun 1975 tetapi Weigang menukar posisi saya ke bahagian midfileder bertahan yang terus melekat sehingga saya bersara," kata Khalid.

Bekas penuntut Sekolah Lelaki Ampang itu menjaringkan hatrik bersama Hassan Sani ketika Malaysia membelasah Indonesia 6-1 selain dua gol ketika membenam Filipina 8-0 dan satu membolosi gawang Korea Selatan dalam kemenangan 3-0 untuk aksi liga. Namun seperti kesemua 19 rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan, kemanisan itu bertukar pahit apabila Kerajaan Malaysia mengarahkan pemulauan Olimpik Moscow sebagai membantah percerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan. 

Piala Presiden Park 1977 di Seoul, Korea Selatan merupakan aksi sulung Khalid bersama skuad negara yang mara sehingga ke peringkat separuh akhir sebelum memenangi tempat ketiga. Bersama Selangor, dia juga tidak pernah lekang dengan kejayaan seperti memenangi Piala Malaysia beberapa kali pada akhir era 70-an dengan menewaskan musuh tradisi, Singapura.

Khalid turut memiliki saudara bola sepak yang pernah menyarung jersi Selangor dan Malaysia seperti Hanafiah, Rahman dan Zainal Abidin Hassan. Khalid yang gemar berambut gaya afro ketika usia muda, sempat berkelana semusim ke Kuala Lumpur dari tahun 1981 hingga 1982 membantu pasukan tetangga Lembah Klang ini memenangi Piala Emas Raja-Raja. Kecederaan lutut yang dialami dalam satu pertandingan peringkat kelab telah memaksa Khalid menjalani perbedahan yang secara beransur-ansur membataskan prestasi terbaik pemain kelahiran ibu kota itu sebelum memilih untuk bersara pada tahun 1985.


SUMBER: Wikipidea

Legenda Bola Sepak Malaysia Wan Jamak Wan Hassan

Wan Jamak Wan Hassan cukup arif tentang hakikat untuk menembusi kesebelasan utama negara dari era lewat 70-an hingga awal 80-an sememangnya sukar kerana ramai pemain tonggak telah berjaya mengukuhkan tempat mereka.

Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh, Kamaruddin Abdullah dan Datuk Jamal Nasir Ismail sentiasa menutup ruang buat dirinya untuk mengambil bahagian dalam kejohanan utama antarabangsa seperti Kelayakan Olimpik Moscow 1980. Justeru bangku simpanan kerap dipanaskan oleh bek kelahiran Johor Bahru ini walaupun teraju pasukan negara sempat berpindah ke tangan jurulatih dari Jerman Barat, Karl Heinz Weigang.

Peluang Wan Jamak cuma terbuka luas apabila Santokh tercedera semasa Pestabola Merdeka 1979 yang menyaksikan kejuaraan dikongsi antara Malaysia dan Korea Selatan semasa perlawanan akhir di Stadium Merdeka, berkesudahan 0-0. "Saya diletakkan sebagai bek tengah, posisi kegemaran saya dengan Chin Aun. Namun saya sebenarnya boleh bermain di kiri atau kanan pertahanan," kata Wan Jamak yang lahir pada 22 November 1957.

Dia turut menganggotai skuad juara Sukan SEA Jakarta 1979 dan sempat bermain dua perlawanan ketika Malaysia menempah tiket Sukan Olimpik Moscow selepas menjuarai Kumpulan 2 Kelayakan Asia. Dia masuk menggantikan Jamal ketika membelasah Indonesia 6-1 dan bermain sepenuh semasa membenam Filipina 8-0 sepanjang kempen tersebut yang berlangsung di Stadium Merdeka dari 21 Mac hingga 6 April 1980.

Mengumpul 36 penampilan di peringkat antarabangsa, dia berkata. "Kami reda dengan keputusan kerajaan untuk memulaukan Sukan Olimpik walaupun ia adalah pentas tertinggi dan menjadi impian sekian lama buat setiap pemain bola sepak," "Lawatan ke Amerika Syarikat dan Eropah sebagai hadiah ganti daripada FAM tetap tidak sama," sambung Wan Jamak yang turut beraksi dalam pusingan akhir Piala Asia di Kuwait 1980. 

Wan Jamak juga mencipta kejayaan besar setelah karier sebagai pemain berakhir pada tahun 1982 dengan membantu Johor menjuarai Piala Malaysia buat kali pertama pada tahun 1985 selaku penolong jurulatih kepada Michael Urukalo. Dia kemudian membawa skuad negara bergelar naib juara Piala Tiger (kini Piala Suzuki AFF) selepas dikecewakan Thailand di Singapura tetapi dikecam teruk selepas Malaysia tewas mengejut 1-0 kepada Laos di Sukan SEA Jakarta 1997. Selain mengemudi Johor di antara tahun 1993 dan 1995, Wan Jamak turut membimbing TM (2006-2007), Negeri Sembilan (2008-2011), Kedah (2011-2012) dan PKNS (2013-3014) dengan detik kemuncak adalah menjuarai Piala Malaysia 2009 dan Piala FA 2010.


SUMBER: Wikipidea

Legenda Bola Sepak Malaysia Reduan Abdullah


Seorang guru sekolah pernah memperkecilkan kemampuan Mohd Reduan Abdullah untuk bermain bola sepak malah menyuruh dia pulang ke rumah di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Hanya gara-gara bertubuh kecil dan rendah, dia berasa seperti dihina guru itu lantas enggan menyentuh bola langsung ketika bersekolah menengah di Ampang sekalipun dia pernah mewakili pasukan sekolah rendah. Namun kejayaan menyarung jersi Selangor malah Malaysia dari 1973 hingga 1985 sudah cukup untuk menjawab dan membidas kembali penghinaan semasa sesi pemilihan pasukan sekolah menengah itu.

Kelab Keramat, Hong Chin dan PKNS juga banyak mengasah bakat pemain bakat pemain tengah ini, yang lahir pada 26 Disember 1952, sebelum bergelar pemain Selangor dan juara Piala Malaysia sebanyak tujuh kali. Reduan seangkatan nama besar bola sepak Selangor dan Malaysia era 70-an hingga 80-an seperti Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Mendiang Datuk R. Arumugam, Datuk Santokh Singh dan Datuk Soh Chin Aun.

Bekas Jurulatih MPPJ, Felda United, Pulau Pinang ini pernah mengukir kenangan manis dengan skuad negara yang menjuarai Piala Raja Thai 1978 malah menyumbangkan satu gol untuk menewaskan Singapura dalam perlawanan akhir. Kejayaan itu turut melenyapkan detik suram Reduan untuk mengecap gelaran Pestabola Merdeka 1977 setelah Malaysia cuma dinafikan perbezaan gol kepada Iraq untuk ke perlawanan akhir hasil enam perlawanan liga sepusingan.

Terdahulu Malaysia menewaskan Burma 1-0 dan Thailand 3-0, seri tiga perlawanan menentang Libya 1-1, Iraq 0-0, dan Korea Selatan 1-1 sebelum satu jaringan Reduan membantu membelasah Indonesia 5-1 selain gol daripada Mokhtar, Allahyarham Isa Bakar, Santokh Singh dan Soh Chin Aun. Beberapa bulan sebelum itu, Reduan, yang kini menjadi penolong jurulatih pasukan Malaysia, hanya sekali bermain buat Malaysia berdepan Hong Kong semasa terkandas dalam pusingan Kelayakan Piala Dunia 1977 di Singapura apabila sekadar menduduki tangga ketiga Kumpulan 1.

Empat mata yang diraih bagaimana tetap percapaian terbaik Malaysia dalam sejarah Kelayakan Piala Dunia yang turut disertai D.Devandran, Allahyarham Yahya Jusoh, Datuk Shukor Salleh, mendiang Wong Chong Wah, Abdullah Ali, Bakri Ibni dan James Wong. Namun nama Reduan sekali lagi meniti bibir jurulatih negara apabila dia disenaraikan bagi aksi persahabatan menentang England B, bimbingan Mendiang Bobby Robson di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Mei 1978

Reduan masuk menggantikan pemain Sarawak, James Yaakub dalam perlawanan yang menyaksikan rembatan deras Mokhtar sejauh 30 meter berjaya menewaskan penjaga gol, Joe Corrigan untuk mengikat England B dengan keputusan 1-1. "Satu pengalaman manis apabila dapat bermain menentang bintang-bintang England," ulas Reduan, yang sempat bertukar jersi selepas perlawanan dengan David Needham, pemain kelab Nottingham Forest. Turut terpahat dalam memori Reduan adalah ketika mewakili Pilihan Selangor menentang kelab Argentina, Boca Juniors yang diketuai pemenang Piala Dunia 1986, Diego Maradona untuk satu aksi persahabatan pada tahun 1982.


SUMBER: Wikipidea


Saturday, January 30, 2016

Legenda Bola Sepak Malaysia Soh Chin Aun


Di sebalik nama Datuk Soh Chin Aun yang sentiasa meniti dalam kisah kejayaan pasukan negara ke Sukan Olimpik Munich 1972 dan Moscow 1980 pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974 serta pelbagai emas Sukan SEA atau Pestabola Merdeka, tidak ramai yang tahu ejaan sebenar legenda ini dalam dokumen rasmi.

Soh Chin Ann ialah nama yang sebenar tetapi kesilapan ejaan dalam satu laporan akhbar sekitar tahun 70-an telah menyebabkan nama Chin Aun melekat hingga ke hari ini. Tauke, nama gelaran Chin Aun kerana dia kerap menyarung lilitan lengan sebagai ketua pasukan negara, dilahirkan pada 28 Julai 1950 di Alor Gajah, Melaka.

Namun karier bola sepak Chin Aun di peringkat kebangsaan lebih banyak berkisar di Selangor sejak 1970 hingga 1980 sebelum kembali ke negeri kelahirannya, Melaka dari 1981 hingga 1983. Bek tengah yang gemar menyingsing stoking hingga ke paras buku lali ini, menikmati pengalaman terindah apabila beraksi di Munich sebagai pemain termuda, berusia 21 tahun biarpun Malaysia gagal melepasi peringkat kumpulan. 

Lapan tahun kemudian, Chin Aun ditugaskan oleh jurulatih dari Jerman, Karl Heinz Weigang untuk mengemudikan benteng Malaysia sehingga mampu melepasi tentangan Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Filipina dan Brunei untuk mara ke Moscow. Nama Chin Aun terus meniti bibir peminat bola sepak tanah air dengan beberapa pemain lain termasuk James Wong, Santokh Singh, Hassan Sani, Khalid Ali, Jamal Nasir, R Arumugam dan Bakri Ibni berjaya menewaskan Korea Selatan 2-1 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Namun kejayaan itu tersekat gara-gara pemulauan Kerajaan Malaysia terhadap Olimpik Moscow 1980 kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan. Setahun kemudian, aksi Kelayakan Piala Dunia di Kuwait turut mencalarkan memori pahit karier Chin Aun apabila Malaysia yang membariskan lebih ramai pemain bernama besar dalam pasukan, dibenam Korea Selatan 2-1, kuwait 4-0 dan hanya mengikat Thailand 2-2.

Pasukan Malaysia ketika itu memiliki Mokhtar Dahari, James, Hassan, Chow Chee Keong, Yip Chee Keong dan sebahagian besar tonggak yang meraih tiket Moscow, tetapi longlai dengan keadaan cuaca panas terik di Kuwait. Pernah menjadi pengurus pasukan Bawah 23 Tahun Malaysia sebelum dinaikkan status menjadi skuad utama negara dari 2007 hingga 2009, bagaimanapun ketika itu khidmat Chin Aun tidak disambung bersama jurulatih B.Sathianathan. Dia mencatat 252 penampilan antarabangsa malah terpilih sebagai pembawa Obor Olimpik Sukan Olimpik Athens 2004 bersama beberapa atlet negara seperti Datuk Dr. M. Jegathesan (olahraga), Nurul Huda Abdullah (renang), Nicol Ann David (skuasy) dan Wong Chong Hann (badminton).  


SUMBER: Wikipidea

Legenda Bola Sepak Malaysia Lim Fung Kee


Lim Fung Kee seperti bermimpi untuk bermain di Sukan Olimpik Munich 1972, apatah lagi pusingan kelayakan setahun sebelum itu yang menyaksikan gawang Malaysia tidak dibolosi oleh empat pasukan lawan.

Penjaga gol Selangor ini juga tiada dalam barisan negara bagi kempen di Seoul itu, sebaliknya Wong Kam Fook dan Wong Hee Kok yang menjadi pilihan jurulatih negara, Dave Mclaren dari Scotland. Kedua-dua pemain Perak itulah yang membantu Malaysia mengekalkan rekod tanpa kalah di pusingan Kelayakan Olimpik Asia Timur 1971 dengan menewaskan Jepun 3-0, Korea Selatan 1-0, Taiwan 3-0, dan Filipina 5-0.

Walau bagaimanapun, nasib Fung Kee berubah apabila tugas jurulatih negara berpindah tangan kepada Jalil Che Din apabila dia dipilih sebagai penjaga gol kedua skuad Olimpik Munich di belakang Kam Fook. Namun bagi Fung Kee sendiri, mana mungkin dia dapat memintas Kam Fook yang sempat mengekang Jerman Barat dalam tempoh 55 minit di Stadium Olimpik Munich sebelum tewas 3-0 tetapi bangkit menewaskan Amerika Syarikat 3-0 di Ingosltadt.

Prestasi Kam Fook tiba-tiba merosot apabila dibolosi empat gol hasil hatrik pemain Maghribi, Ahmed Faras dan Boujamma Benkhrif dalam tmpoh 25 minit pertama perlawanan terakhir Malaysia yang berlangsung pada 31 Ogos 1972. Kam Fook dikeluarkan Jalil sekaligus ia memberikan beban kepada Fung Kee untuk memikul tugas berat sebagai galang ganti bagi mempertahankan maruah negara yang turut meraikan Ulang Tahun Kemerdekaan kali ke-15 pada hari itu. 

Namun gawang Fung Kee pula dirobek dua kali menerusi jaringan Mohamed El Filali dan Ahmed Mohamed Tati pada babak kedua, menetapkan keputusan akhir 6-0 yang jelas meranapkan impian Malaysia untuk mara ke pusingan kedua dari Kumpulan A. Kejayaan membantu Malaysia menjulang kejuaraan Pestabola Merdeka 1973 dan 1974, kian menyakinkan Fung Kee untuk mempertaruhkan bakat dalam liga profesional Hong Kong pula.

Dia lantas menyertai Kam Fook, Chow Chee Keong, Wong Choon Wah dan Yip Chee Keong serta Khoo Luan Khen dengan meninggalkan Malaysia untuk berhijrah ke Hong Kong yang menawarkan gaji yang jauh lebih lumayan. Lahir pada 24 Mac 1950, Fung Kee menyertai Seiko Sports Association dari tahun 1973 hingga 1981 sebelum bersara dan terus menetap di negara bekas tanah jajahan British itu.

Kudrat Fung Kee turut membantu kelab itu memenangi Liga Divisyen Satu, Perisai Pusingan Senior, Piala FA dan Piala Viceroy Hong Kong selama beberapa musim. Seiko juga menjadi medan mata pencarian buat Kam Fook dari tahun 1981 hingga 1983 dan Luam Khen, pemain pertahanan simpanan negara di Munich dari tahun 1976 hingga 1982.


SUMBER: Wikipidea

Legenda Bola Sepak Malaysia R.Arumugam


Mendiang R.Arumugam dikatakan memiliki sepasang tangan yang panjang sekali gus melayakkannya menerima gelaran 'Spiderman' apatah lagi sebagai penjaga gol yang sentiasa berdekatan dengan jaring gawang. Pemain Selangor dan Malaysia itu cukup disegani kerana ketangkasan dan kecekapan menyelamatkan pintu gol daripada serangan lawan.

Anak jati Pelabuhan Klang, Selangor itu yang lahir pada 31 Januari 1953, mulai menyarung jersi Selangor sejak Piala Burnley (kemudian Piala Razak) seawal umur 18 tahun pada 1971. Dia kemudian beraksi di Piala Malaysia dari 1972 hingga 1988, yang menyaksikan trofi teragung bola sepak negara ini berjaya dijulang bersama Red Giant sebanyak lapan kali. Aksi Arumugam dengan skuad negara pula bermula semasa Kelayakan Piala Dunia di Seoul, Korea Selatan pada tahun 1973.

Pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974 menjadi percapaian terbaik Arumugam dengan skuad Malaysia selain menjuarai Pesta Bola Merdeka 1973, 1974, 1976 dan 1979. Namun hasrat Arumugam untuk beraksi dalam Sukan Olimpik Moscow 1980 berkecai susulan arahan Kerajaan Malaysia yang memulaukan temasya di Moscow itu selepas skuad negara berjaya menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam perlawanan akhir kelayakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Secara keseluruhan dia mengumpul 196 penampilan antarabangsa. Tanggal 18 Disember 1988, arena bola sepak negara kehilangan Arumugam yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Persekutuan berdekatan Petaling Jaya. Mendiang meninggalkan isteri dan dua anak perempuan.


SUMBER: Wikipidea


Legenda Bola Sepak Malaysia Santokh Singh


Jika rumah, tanah dan ribuan ringgit yang melimpahi pemain bola sepak ketika ini menjadi ganjaran buat mereka, Datuk Santokh Singh sepatutnya akan beroleh lebih daripada semua itu atas jasa membawa skuad bola sepak Malaysia layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980.

Malah ada antara ganjaran tersebut seperti keterlaluan dan tidak berbaloi selepas memikirkan ia sekadar di peringkat kebangsaan sedangkan bekas bek tengah Selangor dan Malaysia ini membarui sejarah kemaraan negara ke temasya itu selepas Munich 1972. Sebaliknya hanya seutas jam Rolex yang masih disimpan ketika ini sebagai membalas jasa Santokh dan rakan sepasukan yang menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam perlawanan penentuan ke Moscow di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 16 April 1980.

Perlawanan tersebut cukup bersejarah bagi Santokh yang mengawal benteng tengah bersama-sama Datuk Soh Chin Aun, ketua pasukan yang turut membantu Malaysia layak ke Sukan Olimpik Munich 1972. Korea Selatan tiba di Kuala Lumpur dengan misi untuk membalas dendam kerana Malaysia merupakan pasukan yang mengaibkan mereka semasa pusingan kelayakan di Seoul pada 1971.

Dengan Bakri Ibni meledak seawal minit ke 12, lima minit terakhir perlawanan jelas paling mendebarkan apabila Korea Selatan cuba menyamakan kedudukan selepas ketinggalan hasil jaringan James Wong pada minit ke 85. Namun kegembiraan layak ke temasya lebur beberapa bulan kemudian apabila kerajaan Malaysia mengumumkan pemulauan ke atas Olimpik Moscow sebagai membantah tindakan Soviet Union yang menceroboh Afghanistan.

Sebagai ganti, Santokh dan skuad negara hanya dibawa menjelajah ke beberapa negara untuk mengadakan perlawanan persahabatan biarpun ia masih tidak memadai bagi mengubat kehampaan dinafikan ke temasya terbesar dunia itu, yang hanya berlangsung empat tahun sekali. "Dahulu kami turun ke padang tanpa mengharapkan apa-apa jika menang. Keringat dan tenaga kami hanya demi negara," kata Santokh yang turut memenangi pingat gangsa Sukan Asia Tenggara 1974 - kali terakhir Malaysia meraih pingat dalam sukan bola sepak di peringkat Asia.


SUMBER: Wikipidea

Legenda Bola Sepak Malaysia Chow Chee Keong


Seawal usia 13 tahun lagi, Chow Chee Keong sudah pun menyarung jersi skuad bawah 20 tahun Malaysia. Malah dua tahun kemudian, dia sudah terpilih membarisi skuad utama kebangsaan dan bergelar antara pemain termuda yang berjaya berbuat demikian.

Mulai tahun 1965, namanya mula masyhur dan setahun kemudian hingga 1970, di dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik oleh Konfederansi Bola Sepak Asia (AFC) untuk lima tahun berturut-turut. Walaupun kurang dikenali di arena bola sepak Malaysia berbanding pencapaian antarabangsa, Chee Keong sempat bermain di beberapa kejohanan besar di tanah air seperti Pestabola Merdeka dan Kelayakan Piala Dunia pada era 80-an.

Namanya ternyata lebih harum di Hong Kong sebaik sahaja berkunjung ke bekas pulau jajahan Britain itu dengan sebuah pasukan pilihan Cina Malaysia pada 1968. Di situlah beberapa kelab bola sepak terpikat dengan ketangkasan mengawal gawang, lantas diikat oleh Hong Kong Rangers FC bagi tiga perlawanan sebagai pemain undangan. Pada 1970, kelab Jardines menggajinya HK 2500 sebulan sebagai pemain profesional yang merupakan rekod baru ketika itu. Penjaga gol lampai ini turut beroleh jolokan "Gerbang Besi Tanpa Karat Asia" dan "Pedang Gila" dalam liga Hong Kong.

Dia kemudian menyertai kelab South China AA kerana penarikan diri Jardines, aksinya sepanjang tiga musim di situ menghasilkan aneka gelaran dan anugerah peribadi. Pada 1974, dia beralih haluan ke Tung Sing dengan pendapatan bulanannya meningkat kepada HK 7000 termasuk penginapan sebelum kembali ke South China, tiga tahun kemudian dan menyertai Hong Kong Rangers FC.

Dia kembali ke Malaysia pada 1980 dan membantu pasukan negara muncul sebagai naib juara Pestabola Merdeka tahun itu selepas dikalahkan Maghribi 2-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Merdeka. Tiga tahun dia menyarung jersi Malaysia sebelum bersara pada tahun 1985 namun salah satu kenangan pahitnya adalah apabila skuad negara terkandas dalam Kelayakan Piala Dunia 1981. 

Ketika itu, Chee Keong, Yip Chee Keong dan Wong Choon Wah yang berpengalaman profesional di liga Hong Kong, dikatakan mendapat layanan istimewa pengurusan pasukan di Kuwait sehingga menjejaskan semangat berpasukan. Malaysia ditewaskan Korea Selatan 2-1, Kuwait 4-0 dan mengikat Thailand 2-2 biarpun turut beraksi ketika itu ialah Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, James Wong, Hassan Sani, Datuk Soh Chin Aun, Datuk Shukur Salleh dan ramai lagi bintang tempatan. Selepas menggantung but bola sepak, Chee Keong beralih ke lapangan golf dan pada 1991, dia beroleh lesen kejurulatihan. Selepas seketika sebagai jurulatih golf di Malaysia, dia mempraktikkan kemahiran sukan baru itu di Shenzhen, China dan Hong Kong pada 1995 dan 1997.


SUMBER: Wikipidea


Thursday, January 28, 2016

Legenda Bola Sepak Malaysia Wan Zawawi Wan Yusoff





Minit ke-77 sekitar pukul enam petang di Ingolstadt, Jerman Barat tanggal 29 Ogos 1972.

Tidak mungkin detik itu boleh luput dengan mudah daripada ingatan Wan Zawawi Wan Yusoff sampai bila-bila walaupun kini sudah mencecah 67 tahun. Rembatan mudah Wan Zawawi melengkapkan kemenangan 3-0 pasukan negara ke atas Amerika Syarikat dalam perlawanan Kumpulan A Sukan Olimpik Munich.

Anak jati Kampung Penambang, Kota Bharu Kelantan ini bijak menyambar peluang yang terhidang biarpun lompatan penyerang Shaharudin Dollah sebelum itu terlepas satu umpanan lintang dari sebelah kanan. Ia bermakna pintu gol Amerika Syarikat yang dikawal oleh Michael Ivanov berjaya dibolosi buat kali ketiga selepas sepakan bebas Shaharuddin pada minit ke 14 dan ledakan kaki Salleh Ibrahim minit ke 67 menggegarkan gawang.

Wan Zawawi juga bermain sepenuh masa dalam ketiga-tiga perlawanan Olimpik itu termasuk ketika dikalahkan Jerman Barat 3-0 dan dibelasah Maghribi 6-0. Bekas Pegawai Penjara Pengkalan Chepa ini turut membarisi skuad yang menempah tiket Olimpik itu semasa menjuarai Kelayakan Asia Timur 1971 di Seoul, Korea Selatan.

Dia juga membantu Malaysia memenangi pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974, beraksi bersama-sama Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Allahyarham Isa Bakar, Syed Ahmad Abu Bakar dan Shaharudin. Mereka dibelasah Israel 8-3 dalam Kumpulan C dengan Wan Zawawi menyumbat gol pertama negara menerusi sepakan penalti minit ke 61 setelah Syed Ahmad dijatuhkan dalam kotak penalti ketika mereka ketinggalan 0-5.

Skuad negara kemudian diikat Jepun 1-1 namun mara ke pusingan kedua menerusi kelebihan gol setelah membelasah Filipina 11-0 hasil lima gol daripada Mokhtar dan masing-masing dua jaringan Syed Ahmad, Isa dan Harun Jusoh. Dalam liga pusingan kedua, Malaysia dibenam Iran 1-0, seri 0-0 menentang Iraq dan menewaskan Korea Selatan 3-2 namun meraih gangsa setelah menjinakkan Korea Utara 2-1 dalam penentuan tempat ketiga.

Lahir tanggal 11 April 1949,  Wan Zawawi menceburi bidang bola sepak seawal usia 17 tahun dan mula bertugas di Jabatan Penjara pada 9 Februari 1970. Midfielder bertubuh cilik tetapi tangkas Piala Burnley 1966 dan seterusnya Malaysia dari tahun 1969 hingga 1977 yang melitupi Sukan SEAP 1971, 1975, dan 1973, Sukan Asia Bangkok 1970 dan beberapa edisi Pestabola Merdeka.

Malang sekali, dia terlepas untuk menjulang Piala Malaysia 1970 selepas Kelantan dikecewakan oleh Perak dengan keputusan 2-0 malah gagal menyudahkan empat peluang gol dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Merdeka. Sebaik sahaja bersara dari arena antarabangsa, dia menyertai Pahang dan berjaya membawa skuad Tok Gajah ke empat aksi separuh akhir Piala Malaysia sebelum menggantung but sepenuhnya pada tahun 1981.


 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078