Pages

Wednesday, November 11, 2015

!7 Destinasi Malaysia Mesti Pergi Tahun 2016

1. Bukit Merah Laketown Resort (Kerian, Perak)

Pelbagai tarikan seisi keluarga boleh anda temui di salah satu taman tema terbaik yang ada di Malaysia. Permainan menarik di taman tema air seperti boomerang, tube slides dan Perak mining memang mengujakan. Taman Eko juga tidak kurang hebatnya dengan keluasan 3 ekar yang menjadi tempat tinggal spesies pelbagai haiwan dalam kawasan menyerupai habitat semula jadi mereka.



2. Lost World Of Tambun (Ipoh,Perak)

Taman tema yang bersatu dengan alam semula jadi. Itu satu kelebihan yang dimiliki Lost World Of Tambun yang menyediakan pelbagai kemudahan rekreasi bukan sahaja untuk famili, tetapi peminat aktiviti lasak seperti memanjat dinding gua batu kapur yang menakjubkan. Tarikan utama di sini? Semestinya Jungle Wave Pool yang merupakan kolam ombak buatan yang terbesar di Malaysia. Tarikan lain ialah Taman Air, Taman Permainan, Lost World Petting Zoo dan Tiger Valley.

Lost_World_of_Tambun 5

3. Taman Marin Pulau Redang (Terengganu)

Jika tidak berkesempatan berkunjung ke semua pulau-pulau indah di Terengganu, pastikan sekurang-kurangnya anda berkunjung ke Taman Marin Pulau Redang. Ia merupakan archipelago yang terdiri daripada Pulau Redang, Pulau Pinang, Pulau Ekor Tebu, Pulau Kerengga Besar, Pulau Kerengga Kecil, Pulau Lima, Pulau Paku Besar dan Pulau Paku Kecil. Tiada kebenaran untuk menangkap ikan diberikan di kawasan ini. Justeru para pelancong yang datang boleh menikmati keindahan airnya yang bewarna biru kehijauan serta pelbagai spesies ikan boleh ditemui. Aktiviti yang sesuai dilakukan ialah snorkeling dan selam skuba. Bila nak pergi ialah April hingga September setiap tahun. 



4. Taman Tamadun Islam (Terengganu)

Pulau Wan Man menjadi terkenal dalam sekelip mata dengan kemunculan Taman Tamadun Islam yang merupakan satu-satunya taman tema berkonsepkan kesenian dan budaya Islam. Ia mempamerkan keunggulan seni bina Islam yang merangkumi binaan replika bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia. Antara monumen replika yang dapat dilihat seperti Masjid Sultan Omar Syarif dari Brunei, Masjid Al Aqsa di Palestin, Masjid Xian di China, Taj Mahal di India, dan banyak lagi. Mesti singgah di Masjid Kristal yang merupakan masjid pertama dibina menggunakan bahan daripada kaca dan keluli. Nantikan waktu senja dan rakam foto bangunan masjid kaca ini berlatarbelakangkan langit berwarna oren kebiruan. Sangat menakjubkan.



5. Ikan Celup Tepung (ICT) Pantai Batu Buruk (Terengganu)

Pantai Batu Buruk bukan sekadar lokasi popular untuk aktiviti riadah. Ia juga dikenali sebagai port makan menarik dengan sajian santai ikon Terengganu iaitu Ikan Celup Tepung (ICT). Memang tidak sah jika ke Terengganu jika tidak mencuba set hidangan ICT yang terdiri daripada sotong celup tepung (RM8), ikan celup tepung (RM4) yang dihidang bersama sos khas sambil diselang seli dengan keropok lekor yang enak. Makan begitu sahaja tanpa nasi dan rasai kulit dan isi sotong yang digoreng bersama tepung menjadikan ia rangup. Memang terbaik!



6. Villa Sentosa (Melaka)

Usah pandang enteng dengan Villa Sentosa. Mungkin ramai yang tidak pernah mendengari lokasi ini, namun ia pernah mendapat liputan portal kembara terkemuka dunia, iaitu Lonely Planet. Ia cukup membuktikan betapa anda seharusnya datang ke rumah yang bertapak sejak tahun 1920an di Kampung Morten ini. ia berfungsi seperti sebuah muzium di mana keluarga yang menetap di sini akan menunjukkan pelancong sekitar kawasan rumah termasuk bahan artifak bersejatah seperti seramik zaman Dinasti Ming dan Al Quran berusia 100 tahun.



7. Jonker Walk (Melaka)

Antara lokasi paling happening di Melaka dengan gabungan deretan bangunn lama berusia ratusan tahun, lampu berwarna warni menghiasi jalan dan para peniaga yang menjual pelbagai jenis produk daripada yang antik hinggalah kepada aksesori moden. Sekali pandang, ia seperti pasar zaman dahulu kala dengan aura kontemporari. Antara barang dijual yang mesti dilihat di sini ialah galeri seni, kedai perabot antik, terompah kayu dan semestinya t-shirt dihasilkan pereka tempatan dengan corak eksklusif yang sukar diperolehi di tempat lain.



8. Commonwealth Forest Park & Resort (Selangor)

Siapa sangka di laluan jalan lama dari Selayang menuju ke Rawang tersimpan sebuah kawasan rekreasi unggul yang begitu memukau. Commonwealth Forest Park mungkin underrated sebagai destinasi perlancongan pilihan, tetapi percayalah bahawa ia merupakan destinasi hebat yang seharusnya diberikan perhatian. Dikelilingi kehijauan alam dengan kawasan air terjun yang memukau, ia turut menyediakan sejumlah 24 bilik penginapan selesa serta doom untuk penginapan berkumpulan.



9. Taman Negara Pulau Pinang

Buat mereka yang gemar mendekatkan diri dengan alam semula jadi, pasti Taman Negara Pulau Pinang menjadi lokasi pilihan andai bertandang ke Pulau Mutiara ini. Banyak aktiviti yang dapat dilakukan seperti jungle trekking dan juga berkhemah. Dengan berjungle trekking, pengunjung dapat menjejaki keindahan Sungai Tukun dan Pantai Kerachut dan Teluk Ketapang (Monkey Beach) pula mengambil masa kira-kira dua jam. Jangan lupa untuk singgah ke Muzium Taman Negara yang mempamerkan banyak informasi mengenai khazanah flora dan fauna.



10. Escape Adventure Play (Pulau Pinang)

Tarikan terbaru Teluk Bahang ini pasti menjadi destinasi yang mesti anda kujungi suatu hari nanti. Tarikan di taman tema bermula di tempat letak kereta di mana terdapat tempat letak kenderaan yang diliputi pegola sayur-sayuran dan buah-buahan. Menawarkan tarikan yang menguji keberanian anda dalam suasana adventur, banyak permainan menarik yang harus dicuba. Antaranya ialah Tuber Racer, Tarzan's Rope, Atan's Leap, Coco Climb dan banyak lagi. Tiket untuk dewasa berharga RM60 dan kanak-kanak berharga RM45 dengan tawaran 20% diskaun untuk pemegang MyKad.



11. Lebuh Armenia (Pulau Pinang)

Dalam tahun 1800-an awal jalan ini dikenali sebagai Malay Lane. Orang Cina menamakannya 'Pak Thang Ah Kay' (Lorong Tukang Tembaga) kerana ini adalah di mana kebanyakan barangan yang diperbuat daripada tembaga ada dijual.Ia terletak di dalam kawasan warisan UNESCO George Town. Lorong-lorong yang sempit dipenuhi dengan rumah kedai lama yang menjual perabot, cenderamata dan barangan antik. Armenian Street yang terkenal dengan Street Art. Karya yang terkenal ialah dinding mural (Little Children on a Bicyle) dan This Old Man oleh Ernest Zacharevic dan dua arca rod keluli iaitu Procession dan Then & Now yang berdasarkan watak karikatur oleh Tang Mun Kian.



12 . Sandakan Memorial Park (Sandakan)

Menjadi destinasi popular buat mereka yang bertandang ke bandar yang terkenal dengan mutiara asli, Sandakan Memorial Park diwujudkan bagi memperingati sejumlah 2400 wira yang terkorban dalam tiga perarakan berasingan sejauh 240km yang menyeksakan dari Sandakan ke Ranau yang dikenali sebagai Death March. Pengunjung yang datang ke sini dapat menyusuri perjalanan dan mengimbau sejarah perjalanan bandar Sandakan sejak dari zaman dahulu. Sambil itu, anda dapat menenangkan fikiran sambil menikmati langskap indah taman yang kaya dengan tumbuhan hijau ini.



13. Pulau Lankayan (Sandakan)

Dikelilingi perairan biru, Pulau Lankayan merupakan sebuah pulau tropika kecil yang terletak di Lautan Sulu di bahagian utara kepulauan Borneo Sabah. Jaraknya dengan bandar Sandakan dengan kira-kira 15km. Menjadi tumpuan para penyelam, pulau ini kaya dengan kecantikan terumbu karang dan spesies ikan Yu serta banyak lagi spesies hidupan marin yang lain. Untuk pengetahuan semua, hanya sebuah resort didirikan di pulau ini pada tahun 1997 yang dikenali sebagai Lankayan Island Dive Resort. Pulau ini turut terkenal sebagai pusat pendaratan penyu hijau dan penyu hawksbill untuk bertelur.



14. Labuk Bay Proboscis Monkey Santuary (Sandakan)

Santuari Monyet Proboscis menjadi tempat perlindungan kepada spesies monyet proboscis yang kian diancam oleh kepupusan. Monyet Proboscis dikenali dengan nama saintifiknya Nasalis Larvatus. Ia diberi jolokan dengan nama Orang Belanda oleh penduduk tempatan kerana badannya yang kemerehan, berperut buncit dan berhidung panjang. Nama lainnya yang popular ialah Bekantan atau Bayau. Jika anda ingin membuat lawatan ke destinasi ini dalam masa sehari, masa terbaik untuk merancang perjalanan anda di Santuari Monyet Proboscis Labuk Bay pada pukul 11.30 pagi. Bayaran Pas Masuk ke Santuari Monyet Proboscis adalah sebanyak RM10 dan RM20 bayaran tambahan untuk penggunaan kamera.



15. Agnes Keith Home (Sandakan)

Turut dikenali dengan nama Newlands, Rumah Agnes Keith ini pernah didiami oleh seorang penulis wanita kelahiran Amerika Syarikat, Agnes Keith pada tahun 1839. Tiga bukunya yang terkenal ialah Land Below The Wind, Three Came Home dan White Man Returns. Bukunya itu menceritakan secara jelas mengenai kehidupan masyarakat tempatan pribumi Sabah dan keindahan alam semulajadinya semasa pemerintahan kolonial British. Rumah Agnes Keith telah menjadikan Sabah sebuah destinasi terkenal dan salah satu sebab utama pelancong luar datang ke bandar Sandakan.



16. Kilim Geoforest Park (Pulau Langkawi)

Kilim Geoforest  Park merupakan lokasi yang ideal untuk menikmati keindahan alam. Salah satunya kawasan yang dikelilingi hutan bakau adalah merupakan destinasi mesti kunjung oleh pencinta alam semula jadi. Menaiki bot boleh diambil daripada jeti Kilim amat menenangkan. Perjalanan bot ini membawa pengunjung menyelusuri sepanjang kawasan paya bakau senyap. Udara yang nyaman dengan percikan air laut yang sekali sekala menerjah ke dalam bot merupakan keasyikkan yang mampu menghilangkan tekanan kerja. Jangan lepaskan peluang untuk ke Pelantar Ikan Pak Su Bakar di mana anda mempunyai peluang untuk bermain bersama ikan Archar. Orang tempatan memangil ikan ini dengan gelaran ikan sumpit.



17. Pantai Tanjung Rhu (Pulau Langkawi)

Tanjung Rhu terkenal dengan persisiran pantainya yang indah, sesaujana mata memandang. Suasana damai tanpa sebarang aktiviti air yang bermotor menjadikan lokasi sunyi ini ideal buat mereka yang ingin mencari ketenangan. Nama Tanjung Rhu mungkin diambil dek kerana pokok rhu yang tumbuh melata di sekitar pantai. Ia juga merupakan lokasi yang baik buat mereka yang gemar mengambil foto dan berjalan di tepi pantai terutamanya buat pasangan yang romantik. Andai berada di sini, jangan lepaskan peluang untuk menikmati hindangan tempatan iaitu Mi Gulung Tanjung Rhu yang terkenal.

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078